Catatan Pengarang

465 43 26
                                    

×××❇️🌺❇️×××

Mula : 14 Oktober 2018
Tamat : 26 Mei 2020

Syukur, Alhamdulillah... akhirnya noktah terakhir, berjaya saya letakkan pada ayat terakhir Epilog pada 26.05.2020. Dan bermakna berakhirlah jua cerita 1941 di sini. Walau hati masih ingin bercerita panjang tentangnya, tapi cukuplah 1941 tamat di Epilog itu saja.

Terima kasih kepada beberapa rakan pembaca yang saya selalu tunggu komen mereka tiap kali bab baharu dimuatnaikkan di sini. Kerana dalam diam-diam, saya mula 'mengenali' kalian. Barangkali kerana rasa 'kenal' itulah buatkan saya jadikan bingkisan cerita ini sebagai sebuah penamat bahagia. Dan tolong abaikan Epilognya yang longgar itu. Dalam tempoh dua tahun (rujuk perjalanan epilog), masih banyak sebetulnya saya hendak ceritakan, tapi memandangkan saban masa, saya nampak uols sudah seperti lelah untuk mendengar kisah sedih, saya ringkaskan di Epilog saja. Insya-Allah saya akan cuba betulkannya dalam versi lain kelak.

Seperti janji... 27.05.2020 lalu, saya keluarkan kembali seluruh bab 1941. Agar tidak timbul lagi pertanyaan tentang di mana bab-bab lain. Bacalah selagi berkesempatan kerana sesudah ini, 1941 akan dikeluarkan terus daripada Wattpad. Atau mungkin ditinggalkan beberapa bab awal saja (sebagai menghargai kemenangan 1941 dalam Wattys2019 dulu). Rasanya tempoh seminggu dah cukup kan buat uols selesaikan pembacaan?

Berbalik kepada 1941, saya juga mahu kongsikan dari mana cerita ini bermula. Ia mungkin sebahagian kecilnya adalah kisah benar, dan sebahagian besar lagi adalah cerita yang dikutip daripada pengalaman-pengalaman nenek moyang kita semua. Termasuk juga kaji selidik yang saya kumpul melalui kertas-kertas kerja tenaga pengajar di universiti, buku-buku dan novel, serta pencarian di Internet. Saya cantum dan jalinkan semuanya dalam 1941. Dengan harapan satu ketika nanti, apabila diselak kisah penjajahan Jepun kepada anak dan cucu, saya ada kisah & pengalaman orang dulu-dulu tentang zaman pahit itu.

Berbalik kepada secebis kisah benar. Sebetulnya sebelum saya memulakan cerita ini dulu, saya pernah terbaca kisah yang terjadi di selatan Siam pada tahun serangan ke atas Tanah Melayu berlaku. Ianya berkenaan seorang tentera Jepun yang tercedera akibat pertempuran antara tentera Jepun dengan tentera Siam sebelum dapat memasuki Tanah Melayu. Beliau diselamatkan oleh seorang gadis dan keluarga. Beliau disembunyi dan dirawat oleh keluarga tersebut sehinggalah pulih. Saya kira waktu itu, barangkali Siam juga tidak pernah 'merestui' kedatangan angkatan perang Jepun. Dan di akhir kisah, tentera terbabit memilih mengahwini gadis tersebut dan meneruskan hidup di Siam.

Di Tanah Melayu, ada juga fasal tentera Jepun. Saya rujuk sebuah dokumentari tahun 1970-an tentang usaha kerajaan Jepun untuk mencari saki baki tentera mereka di rantau ini, yang tidak pernah pulang setelah tamat Perang Dunia Kedua. Saya sendiri baru jumpa video terbabit. Dari penemuan itulah, kisah Haji Ali terbongkar. Beliau merupakan seorang tentera Jepun yang tidak pernah pulang ke negaranya. Dan memilih Islam dan malah memilih hidup di sini hingga ke akhir usia.

Video asalnya panjang sebetulnya. Tapi saya jumpa yang pendek ini. Dan menurut sumber, Haji Ali ini sudah pun meninggal dunia. Al-Fatihah. Kisahnya pernah viral.

Saya suka dengar cara Haji Ali ini berdakwah tentang Islam kepada pengacara rancangan.

Akhir kata daripada saya... Mohon maaf di atas segala kesilapan sepanjang menulis 1941. Mungkin ada mana-mana bahagian atau perkataan yang mengguris rasa kalian. Malah minta dihalalkan juga jika ada air mata yang jatuh.

Berakhirnya 1941, saya sudah rancang untuk kembali membaca cerita-cerita rakan penulis yang sudah banyak saya tertinggal. Insya Allah. Sekian...

×××❇️🌺❇️×××

30.05.2020

SURAT-SURAT DARI NAGASAKI (Terbit)Where stories live. Discover now