BAB 1

132K 3.3K 348
                                    

DERINGAN panjang telefon bimbit memaksa Arya untuk menghentikan langkah. Tangan pantas menyeluk ke dalam beg untuk mengambil telefon bimbitnya itu. Simbol hijau disentuh lalu corong telefon didekatkan ke telinganya.

“Assa...”

“Kau kat mana?” Suara di hujung talian menjerkah tanpa sempat Arya memberi salam.

Arya terkebil. Telefon dijarakkan. Nama si pemanggil dilihat. Patutlah... Arya mendekatkan semula telefon ke telinganya.  “Assalam...”

“Kau kat mana?  Jawab soalan aku!” Suara itu menjerkah lagi.

Kepala yang berbalut instant shawl berwarna peach itu digaru perlahan.  “Aku kat depan kedai...”

“Tak balik lagi?  Kelas dah nak mula tahu tak!  Lama sangat kenapa?  Dah, jangan banyak cakap.  Aku nak kau sampai sebelum pukul tiga.”

Tut... Tut...

Berkerut dahi Arya apabila mendengar bunyi ringkas itu. Telefon dijauhkan daripada telinga. Masa yang tertera pada skrin telefon dilihat. 2.40 petang. Ada lagi 20 minit sebelum kelas sesi petangnya bermula. Arya mengeluh perlahan.  Tidak mahu membuang masa, kakinya laju mengatur langkah meninggalkan kedai alat tulis itu. Aplikasi Grab dibuka. Naik teksi?  Tahun depanlah jawabnya baru ada. 

Buk!

Tubuh Arya terkebelakang sedikit akibat perlanggaran itu. “Adoi...” Dia mengaduh perlahan.  Apa dia langgar ya?  Tiang elektrik ke? Keras semacam je.

“Buta ke?”

Tingkah Arya yang sedang mengusap dahi terhenti. Wajahnya diangkat. Terkedu sejenak dirinya sebaik melihat raut wajah lelaki di hadapannya itu. Handsomenya...  Bidadarakah ini?

Prak!

Bunyi ringkas itu automatik menyedarkan Arya. Bebola mata meliar mencari punca bunyi itu. Tatkala terpandangkan jalan raya, matanya membulat bersama mulut yang sedikit ternganga. 

My phone!” Arya terjerit kecil.  Dia pantas mencapai telefon bimbitnya yang baru saja dilanggar oleh sebuah kereta yang lalu tadi.  Bagai nak meraung dia di situ melihat telefon di tangannya yang sudah tiada rupa itu. Hancur!

RIP for your phone.”

Pandangan Arya yang tadinya tertumpu pada telefon mula beralih arah. Melihat lelaki yang melanggarnya tadi mula mengatur langkah mahu pergi, giginya terketap geram.

“Encik!  Hei!  Telefon saya siapa nak ganti?” Arya menyoal kasar, sambil bercekak pinggang. Selamba je ya, seakan tiada apa yang berlaku. Eh, senangnya hidup. 

Lelaki berkemeja biru tua itu menghentikan langkah.  Kepalanya menoleh.  “What?  Not my problem, dude.” Selamba dia menjawab bersama wajah tidak bersalah.  Langkah disambung semula.

Riak wajah Arya menjadi merah padam dek kerana geram yang teramat mendengar jawapan lelaki itu.  Seriuslah? 

“Encik ni memang tak ada adab ke? Dah buat salah, tak reti minta maaf. Acah tak bersalah pula.  Saya tak kira, saya nak encik ganti semula!” tegas Arya. Dia baru nak buka langkah mahu mengejar lelaki itu, namun pegangan tiba-tiba pada tangan kanannya membuat langkahnya terbantut.

BABY GIRL MR ICEBERG (TERBIT)Where stories live. Discover now