MEREKA bertiga melangkah masuk ke dalam warung itu seperti orang lain. Jam sudah menganjak ke angka sebelas malam, namun masih ramai pengunjung di warung yang dikatakan menyediakan makanan yang sangat lazat sehingga tular di media sosial.
Melilau tiga pasang mata mencari tempat kosong. Mereka terus ke arah tempat duduk yang agak jauh dari pelanggan lain. Beberapa pasang mata liar kini memandang mereka tanpa berkelip.
"Aku rasa macam tak selesalah apabila semua orang tengok kita. Apa pelik sangat ke kita ni? Aku rasa aku tak adalah pakai crown, baju labuci, baju pengantin bagai. Tambah-tambah kau, Mia. Sakan dia orang perhatikan kau." Keysha membuka bicara tatkala melihat lelaki-lelaki muda memandang sahabatnya, Mia Adlina.
"Haah, betullah. Tengok tu, mata masing-masing tak berkerlip." Afina mengeyakan juga dengan nada yang kurang selesa. Matanya turut meliar memandang sekeliling.
"Biarlah... Dasar gatal. Tak pernah tengok orang ke apa? Handsome tak apa juga. Sedaplah sikit mata nak balas pandangan dia orang tu," balas Mia dengan gaya flip hair.
Tawa mereka bertiga bersatu.
"So, who's the naughty one now?" soal Afina dengan tawa yang masih bersisa.
"Entah. Not me okay!" jawab Mia dan Keysha serentak.
"Kau orang ni, aku main-main ajelah. Tapi apa-apa pun, setakat nak tengok tu tak apa. Kalau lebih-lebih memang mampus la dengan aku. Takkanlah aku nak menduakan orang yang bertakhta dalam hati aku ni." Mia mencari telefon bimbit di dalam beg tangannya.
"Hati aku, only for this charming guy..." sambung Mia sambil menayangkan wajah jejaka kacak yang terpapar sebagai wallpaper di skrin telefon bimbitnya.
"Aqil Thaqif! Aku suka tengok dia. Dahlah senyum manis, handsome, pandai ambil hati, caring, untung kau dapat dia," puji Keysha melambung.
"Romantik pula tu," celah Afina.
"Betul! Sebab tu aku terpikat dengan dia. Bukan sebab dia handsome, tapi dia pandai ambil hati aku. Yang lain tu bonus. Cumanya, kalau jumpa lelaki yang lain, yang sedap mata memandang, yang indah-indah, boleh lagi nak cuci mata. Aku kan suka tengok benda-benda yang indah." Mia tertawa halus.
"Amboi, ada hati nak skodeng mamat lain. Si Aqil tahu, mengamuk lepas tu merajuk, padan muka kau! Lelaki kalau merajuk ni memang tak boleh bawa bincang weh. Pening kepala nanti." Kata-kata Afina mendapat anggukan daripada Keysha.
Perangai Mia dari dulu tak berubah. Cuci mata memang menjadi hobi utama. Bukan setakat cuci mata tapi menganalisis watak-watak lelaki juga. Lepas menganalisis, masing-masing bergosip. Perangai kebanyakan wanitalah katakan tapi perangai seperti ini hanya sah dalam kalangan sahabat sahaja. Sahabat, bukan kenalan. Kalau bergosip dengan kenalan, silap hari bulan boleh kena ceramah. Kenapa hendak serius sangat pun tak tahulah. Chill sudahlah.
"Aqil dah tahulah hati aku ni untuk dia aje. Dia percayakan aku, aku pun percayakan dia." Mia tersengih.
"Eh, kau orang tak kesah kan makan kat sini?" sambungnya lagi sekadar mahu tukar topik. Kalau nak bercerita pasal Aqil ni, sampai esok pun dia tak kesah. Tapi tak naklah asyik bercerita pasal lelaki aje.
"Kau ingat kami memilih sangat ke? Janji kenyang dan murah. Itu aje yang penting sekarang. Tambah-tambah aku ni yang duduk merantau jauh, kenalah berjimat sikit. Sebulan sekali aje boleh makan mahal-mahal..." tutur Keysha bersemangat.
"Betul... Sekali-sekala naklah juga tukar selera. Dahlah sekarang ni semuanya harga tinggi, gayat!" Mia menambah.
Walaupun dia anak orang berada namun dia tidak cerewet tentang makanan. Yang mana nampak sedap, semua dia bedal. Janji halal. Kadang-kadang ada juga rakan-rakan lain yang datang dari keluarga berada tak suka dengan perangainya yang satu itu. Mereka fikir tempat macam ni makanan kotor agaknya.
YOU ARE READING
Cinta Tak Pernah Salah
General FictionTajuk: Cinta Tak Pernah Salah Penulis: Isandra Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2321-03-3 Halaman : 544 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Ogos 2019 Satu peristiwa membuatkan Hazril Mifzal menjauhkan dirinya dari...