Bab 2

903 18 0
                                    

"ABANG Hazril..." panggil Sara lembut. Wajah Hazril yang sedang khusyuk membasuh pinggan direnung.

"Hmmm?" Hazril Mifzal memandang wajah comel Sara yang sedang berdiri di sebelahnya. Tangannya yang basah dilap menggunakan tuala yang sedia diselitkan di poket kiri.

"Errr..."

"Kenapa ni, Sara? Ada masalah ke?" sambung Hazril lagi apabila Sara hanya mendiamkan diri. Topi di atas kepalanya yang sedikit senget, dibetulkan.

"Kenapa abang tak nak hantar makanan dekat meja gadis-gadis jelita tu? Dia orang kacau abang eh?" soal Sara sambil tersengih kemudian dia muncungkan mulutnya ke arah tiga gadis yang berada di meja hujung dalam warung itu.

Hazril mengangkat keningnya. Mereka yang dimaksudkan Sara, dijeling sekilas lantas dia menjuihkan bibirnya.

"Jelita ke? Tak pun... Biasa aje dia orang tu. Not my tastelah, Sara. Sara lagi cantik."

"Hesy, abang ni... Macam tu tak cun ke? Abang tengok... Tu..." Sara menunjukkan beberapa orang lelaki yang sedang mencuri pandang gadis-gadis jelita itu dengan menggunakan jari telunjuknya.

"Tak berkelip mata dia orang, bang, pandang akak-akak tu. Tambah-tambah akak yang rambut beralun tu. Cantik betul!" tutur Sara bersungguh-sungguh.

Benar. Memang gadis itu turut menarik perhatian dia juga pada awalnya tapi lepas apa yang jadi, terus perasaan tu hilang.

Ingat aku tak tahu ke dia nak kenakan aku? Masa tengok kawan-kawan dia senyum pun aku dah boleh agak dah. Hazril mencebik.

"Abang..."

Panggilan Sara mengembalikan Hazril daripada lamunan.

"Kalau Sara nak tahu, yang itulah paling kurang cerdik! Baca menu pun tak reti..."

"Hah? Cantik macam tu takkan la tak cerdik pula?" omelnya sendiri.

"Tak ada apalah, dik..." Hazril menamatkan topik tentang gadis itu. Malas nak panjangkan lagi benda yang tak penting. Sempat lagi Hazril menghadiahkan senyuman nipis sebelum kembali membasuh pinggan.

"Abang nak basuh pinggan ni. Sara ganti tempat abang ya malam ni? Abang rasa, Mak Cik Wati tak marah kut. Abang dah malaslah nak ambil oder. Esok-esok abang bawa Sara jalan-jalan. Belanja Sara makan ke, okey?" ujarnya sambil mencuri pandang wajah Sara.

"Okey!" Sara tersenyum riang.

"Haaa lagi satu, Sara balik dengan Mak Cik Wati ya nanti. Abang nak beli barang kejap. Mungkin abang balik lambat sikit. Jangan lupa bagi tahu ibu, nanti dia risau pula."

Sara angguk berkali-kali. Bibirnya tak lekang dek senyuman. Syukurlah ada Abang Hazril yang sudah dianggap seperti abang kandung sendiri. Walaupun Hazril agak misteri, namun dialah yang banyak membantu Sara dan ibunya yang sedang sakit.

Sepanjang tempoh enam bulan tinggal bersama, dia sanggup kerja sebagai pelayan di warung Mak Cik Wati demi mencari duit untuk menyara keluarga itu. Katanya, dia ingin membalas jasa.

Jasa apa? Dia pun tak tahu. Itu rahsia ibu dan Abang Hazril.

"KAU cari siapa, Mia? Dari tadi asyik terjenguk-jenguk aje. Dahlah, jom balik." Keysha hairan apabila Mia seperti sedang mencari sesuatu.

"Aku nak cari mamat sombong tu tapi tak ada pula. Isy, geramnya!" jawab Mia kuat sambil menghidupkan enjin kereta.

"Kau nak buat apa cari dia?" Afina mencuit bahu Mia.

"Adalah! Tak apa, esok aku nak datang lagi kat sini." Kereta mula dipandu perlahan dan semakin lama semakin laju membelah jalan raya yang sudah lengang. Maklumlah, sudah pukul 12.30 pagi.

"Errr... Mia..." Keysha bersuara setelah lama mendiamkan diri.

"Ya, kenapa?" Mia mencuri pandang Keysha yang tergaru-garu kepala di sebelahnya.

Keysha berdeham berkali-kali kemudian dia tersengih.

"Aku rasa aku nak jumpa kekasih akulah."

"Haaa, aku pun!" celah Afina.

"Hesy, tak habis-habis nak jumpa. Dah lewat ni, takkan nak jumpa lagi? Kau orang tak takut ke, lelaki bukan semua boleh percaya tau! Kalau dia buat apa-apa kat kau orang macam mana?"

"Ala Mia, kau pun kenal kan dia orang tu. Positiflah sikit."

"Zaman sekarang nak positif pun kena tengok keadaan juga. Memanglah aku dah kenal. Aku ni dari jauh tau drive, nak jumpa kau orang. Boleh pula kau orang nak tinggalkan aku sorang-sorang..." sambung Mia dengan nada rajuk.

"Ala Mia, sorry la... Kami jumpa kejap aje. Kita orang nak ajak kau la ni, bukan nak tinggalkan kau sorang-sorang."

"Tak kuasa aku nak ikut kau orang." Mia mencebik. Geram betul dengan kawan-kawannya ini.

"Fina, nanti kalau parents kau tau, entah-entah lepas ni dia orang dah tak kasi kau tidur kat rumah Keysha lagi. Kau tak takut ke?" gertak Mia, cuba menakutkan.

"La, jangan risaulah. Mama dan papa aku sporting. Lagipun aku dan Keysha keluar sama-sama sebab boyfriend kita orang kan kawan baik. Please... Kejap aje. Kalau kau tak nak ikut tak apa. Esok kami janji, kami berkepitlah dengan kau. Kau berhenti dekat perhentian bas depan tu. Dia orang dah tunggu kat situ," ujar Afina bersungguh-sungguh.

Keluhan kecil dilepaskan. "Okey..." balas Mia sepatah. Tak guna nak pujuk. Kalau dah nekad, memang tak boleh buat apa dah.

Lampu isyarat sebelah kiri dinyalakan lalu diberhentikan keretanya di bahu jalan.

"Ni, kunci rumah aku letak dekat sini. Bye. Nanti kita orang balik, ya?" hulur Keysha sebelum dia dan Afina terkocoh-kocoh keluar dari perut kereta seraya menuju ke kereta Mitsubishi yang berada di hadapan kereta Mia.

"Kalau nak jumpa boyfriend, pagi-pagi buta pun kau orang sanggup. Ah, ni mesti pukul tiga ke empat pagi baru balik..." omel Mia seorang diri di dalam kereta sambil memandang kereta Mitsubishi yang sudah jauh di hadapan.

Aku datang dari jauh, dengan memandu lagi yang bukan sejam dua, boleh dia orang ni pergi dating. Kawan apa ni? Bukan nak lepak dengan aku. Isy! Benci la macam ni.

Tujuan dia datang ke Kuala Lumpur ini adalah untuk menghadiri majlis hari jadi Afina yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Sengaja dia datang awal. Lagipun, mereka sudah lama tidak bertemu sejak tamat pengajian di Universiti Putra Malaysia tiga bulan lepas.

Keysha berasal dari Ipoh dan bekerja di Kuala Lumpur. Jadi dia menyewa rumah di sini dan dapatlah Mia menumpang di rumah Keysha sepanjang keberadaannya di Kuala Lumpur. Afina pula memang asal dari Kuala Lumpur dan merupakan anak kepada seorang usahawan yang berjaya di Malaysia.

Tatkala Mia ingin menekan pedal minyak, tiba-tiba enjin keretanya mati. Matanya membulat!

"Oh, no no no! Please, not now!" Mia panik.

Enjin cuba dihidupkan namun masih tidak berjaya. Jantung Mia sudah berdegup kencang. Matanya liar memandang sekeliling. Air liur ditelan berat. Sunyi dan sepi! Gelap pula tu.

Telefon bimbit di dalam beg tangan diambil. Punat Home ditekan berkali-kali.

What! jerit Mia dalam hati. Sudah jatuh ditimpa tangga. Bateri telefon bimbitnya habis pula! Sudahlah power bank tertinggal di rumah Keysha. Aduh, macam mana ni?

"Argh!" Mia menghentak stereng kereta dengan tangan kanannya manakala tangan kirinya masih menggenggam erat telefon bimbitnya. Kelopak matanya sudah mula bertakung. Dadanya mula terasa berat. Sungguh, dia rasa takut. Macam-macam kes jenayah sekarang ni. Bunuh campak, bunuh kerat, bunuh bakar, rogol bunuh. Seramnya!

Mia memejamkan matanya. cuba untuk menenangkan diri. Segala bayangan yang tidak elok cuba dibuang jauh-jauh.

Ya Allah... Selamatkanlah aku.

Tok-tok!

Matanya membulat. Pandangannya dihalakan ke kanan dan...

"Argh!" jerit Mia sambil menutup kedua-dua belah telinganya. Tak cukup dengan itu, dia siap melompat ke tempat duduk penumpang.

Cinta Tak Pernah SalahWhere stories live. Discover now