Bab 3

793 18 0
                                    

TINGKAP diketuk buat kesekian kalinya. Setelah hampir seminit dia mengetuk, masih tiada respons daripada pemilik kereta.

Hazril sudah berkira-kira mahu beredar dari situ. Mungkin pemilik kereta tidak mahu diganggu. Belum sempat dia melangkah, cermin kereta diturunkan sedikit.

"Awak siapa?!" jerit Mia dari dalam kereta.

"Saya Hazril... Cik okey? Kereta rosak ke?" soal Hazril prihatin.

"Kenapa ketuk tingkap kereta saya? Awak ni pembunuh bersiri ke? Nak bunuh saya ke hah?! Ke awak nak samun saya?"

Ewah, lancangnya mulut! Ingat aku ni jahat sangat ke? desis hati Hazril.

"Kenapa diam? Memang ada niat jahatlah tu!"

Cermin topi keledarnya ditolak sehingga wajahnya dapat dilihat oleh Mia.

"Eh, kalau saya nak bunuh, tak adanya saya nak ketuk pakai tangan. Saya ketuk tingkap ni guna helmet terus. Biar pecah. Lepas tu bolehlah hijack kereta awak, cekik awak sampai biru lepas tu mati. Lepas tu campak awak ke dalam semak. Sebelum tu boleh kut nak kerat-kerat dulu, nak ke?"

Ya tak ya, kan? Mia garu kepala.

"Kalau cakap bodoh, marah pula."

Mia pantas menoleh lelaki itu semula. Sakit hati pula dia mendengar gumaman 'bodoh' tadi.

Tatkala memandang wajah lelaki itu betul-betul, cermin kereta diturunkan lagi. Terbeliak biji mata Mia. Rupa-rupanya pekerja warung tadi, mamat sombong tu!

Tapi entah kenapa, Mia rasa sedikit lega apabila memandang wajah lelaki itu. Kata-kata lelaki itu sebelumnya diabaikan saja.

Riak wajah Hazril serta-merta berubah apabila dia melihat dengan teliti wajah gadis di depannya. Terbit pula rasa menyesal dalam dirinya.

Kalau aku tahu ni kereta perempuan ni, tak ingin aku nak tolong!

"Tolong baiki kereta ni! Saya nak balik. Dah lewat ni!" Mia mengarah dari dalam kereta.

Hazril mendengus. Amboi, suka-suka hati nak arah aku. Ni dah lebih, melampau!

"Saya bukan mekanik. Saya ni kerja pelayan di warung, faham tak? Awak pun nampak tadi saya kerja apa, kan?" tutur Hazril spontan.

Mia mengetap bibir. "Kalau macam tu pinjam handphone boleh? Handphone saya bateri habis. Saya nak telefon kawan saya dan mekanik." Suara Mia sudah mula kendur.

"Saya miskin, tak pakai handphone."

Bukan dia tak ada telefon bimbit tapi dia jarang-jarang hidupkan telefon bimbitnya sejak kejadian itu. Kalau hidupkan pun sekejap saja, lepas tu dia akan matikan balik.

"What! Takkan telefon bimbit pun tak mampu nak beli?" Mia kembali menjerit. Kalau tak pandai baiki kereta, dia boleh faham tapi kalau tak ada telefon bimbit, memang mengarut.

"Tak!" Hazril menayangkan wajah selamba.

"Awak ni datang dari zaman kurun ke-17 ke apa hah? Mana ada orang zaman sekarang tak ada telefon bimbit. Budak-budak pun ada telefon bimbit, tahu tak? Ke awak ni kedekut tak nak bagi pinjam?"

"Hesy, betullah! Tak ada telefon bimbit! Tak faham bahasa ke?"

"Habis tu, macam mana?" Mia memegang kepalanya. Pening! Apa dia nak buat ni?

Kelibat gadis yang sedang memegang kepalanya direnung. Keluhan kecil dilepaskan. Mata dipejamkan rapat. Belakang kepala digaru. Hazril rasa bersalah pula kata begitu sebentar tadi. Tatkala kelopak mata dibuka, dia terfikirkan sesuatu.

Cinta Tak Pernah SalahWhere stories live. Discover now