Hazril memberhentikan motosikalnya di hadapan sebuah rumah kayu. Bahunya terasa benar-benar lenguh.
"Hei, bangun!" ujar Hazril tegas seraya menggerakkan sedikit bahunya.
Tiada reaksi daripada Mia. Hazril mengeluh. Mata beralih ke pinggangnya yang dilingkari sepasang tangan gadis yang belum diketahui namanya itu.
Hazril mengeluh lagi. Sudahlah dia lenguh, tak pula bangun-bangun lagi minah ni. Sedap betul jadikan belakang aku ni bantal dia. Hendak dia berdiri terus, gerenti perempuan ni jatuh. Hazril leraikan pelukan di pinggangnya sebagai usaha kedua.
"Bangunlah! Dah sampai!" kejut Hazril lagi dengan nada yang lebih kuat namun Mia masih tidak memberikan sebarang respons. Bahunya digoyangkan lagi. Kali ini lebih kasar. Mia tersedar akhirnya.
"Dah sampai ke?" Terpisat-pisat Mia.
"Dah!" Hazril terus memegang bahunya, sekadar mahu mengurut. Dia dapat rasakan bajunya di bahagian bahu sedikit basah. Mata Hazril membulat dan dia terus menghidu tangannya. Bibir diketap.
Tak senonohnya! Apa bala sampai air liur basi melekat kat baju aku?!
Hazril naik angin. "Turun cepatlah!"
Mia yang masih dalam keadaan mamai turun dengan perlahan. Belum sampai 30 saat dia berdiri, badannya terasa melayang. Dia rasa lemah sangat. Akhirnya dia jatuh. Namun badannya sempat disambut Hazril.
Membulat mata Hazril ketika itu. Terlepas habis topi keledar di tangannya. Hilang habis ayat yang dikarang untuk memarahi gadis itu.
"Awak, kenapa ni? Astaghfirullahalazim..." Hazril panik seraya menampar lembut pipi Mia.
Tolonglah... Hazril mula panik. Sungguh, dia tidak betah dengan situasi sebegini. Dia trauma apabila melihat perempuan rebah di hadapannya.
Tiada reaksi daripada Mia. Hazril tidak punya pilihan. Tubuh Mia dicempung dan dibawa di hadapan pintu. Terkial-kial dia dibuatnya ketika ingin membuka kunci rumah. Tiba-tiba pintu rumah dikuak dari dalam.
Dalam beberapa detik suasana sunyi. Terkejut dengan apa yang berlaku.
"Ya Allah, Hazril! Siapa ni?" soal Mak Ita cemas.
"Ibu, kejap lagi Hazril terangkan." Hazril terus menapak masuk ke dalam rumah dan menuju ke biliknya.
Mia dibaringkan di atas katil dan dia kembali menghadap Mak Ita yang sedang berdiri di belakangnya dan sedang merenungnya dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan.
Hazril terus angkat tangan. "Ibu, sumpah bu... Hazril tak buat apa-apa pun kat dia. Ibu kena percayakan Hazril..." tutur Hazril bersungguh-sungguh.
"Kalau macam tu, Hazril cuba ceritakan pada ibu apa yang jadi sebenarnya?" tutur Mak Ita lembut.
Hazril menarik nafas lega. Bahu Mak Ita dipeluk lalu mereka berjalan beriringan menghampiri sofa di ruang tamu. Keluhan kecil dilepaskan sebelum Hazril menceritakan segala-galanya kepada Mak Ita.
"Ibu percayakan Hazril. Memang betul apa yang kamu buat tu. Tak elok tinggalkan gadis sorang-sorang, bahaya. Sekarang ni macam-macam boleh jadi. Banyak manusia yang jahatnya tak boleh diterima akal..." Mak Ita menepuk lembut bahu Hazril sebelum bangun dan menapak ke biliknya yang berada bertentangan dengan bilik Hazril.
Berkerut dahi Hazril ketika itu. Itu aje ibu cakap? Ibu nak buat apa tu?
Setelah lima minit berada di dalam bilik, Mak Ita keluar bersama sehelai baju T dan kain batik.
"Apa nama dia?" soal Mak Ita sambil tersenyum.
"Hah?" Terkebil-kebil mata Hazril tatkala mendengar soalan Mak Ita.
"Nama gadis tu..."
"Entahlah, ibu. Hazril tak tahu. Tak sempat nak tanya..." Hazril mengukir senyuman nipis.
Punya baik aku bertekak dengan dia, nama dia pun aku tak tahu. Alahai...
"Tak apa, ibu nak tukarkan baju dia. Mesti tak selesa tidur pakai baju macam tu. Nasib baik ada baju Sara ni." Mak Ita tersenyum sebelum memboloskan diri masuk ke dalam bilik Hazril.
Lama Hazril termenung. Secara tiba-tiba, kenangan itu kembali menghantui fikirannya. Kepalanya dipegang dengan kedua-dua belah tangan.
"Astaghfirullahalazim... Astaghfirullahalazim..." ucap Hazril berkali-kali seraya meraup rambutnya ke belakang. Nafas ditarik panjang lantas dihembuskan perlahan. Bertenang, Hazril. Jangan ingat lagi semua tu.
"Hazril..."
"Ya, bu..." jawab Hazril lembut dengan mata yang sudah layu.
"Ibu dah tukarkan baju gadis tu. Biar dia rehat dulu. Kamu jangan pandai-pandai nak masuk bilik kamu tu pula. Tidur luar..." ujar Mak Ita lantas tersengih.
"Dah mengantuk sangat dah ibu tengok kamu ni."
Tawa Hazril meledak. Hilang mengantuknya.
"Apalah ibu ni. Takkan Hazril nak masuk kut..." balas Hazril dengan tawa yang masih bersisa.
"Manalah nak tahu, kan?" Mak Ita sekadar mengusik.
"Kalau Hazril nak buat bukan-bukan, Hazril tak bawa balik dia ke rumah ni, ibu..." balas Hazril spontan.
Terjegil mata Mak Ita apabila mendengar ayat itu.
"Jangan nak main-main, Hazril. Jadi bodyguard malam ni, faham? Tidur luar..."
"Ya! Faham, ibu... Gurau aje..." Hazril tersengih.
"Kejap, ibu ambil bantal dan selimut dalam bilik ibu." Mak Ita berkira-kira untuk masuk ke dalam biliknya sebelum Hazril menghalang dari hadapan.
"Ibu, kejap... Tolong teman Hazril kejap." Hazril segera menarik lengan ibunya masuk ke biliknya. Dia terus menghampiri almari tanpa memandang Mia yang sedang terbaring di atas katilnya. Setelah mengambil baju dan kain pelekat serta tuala, dia keluar dari bilik. Lengan ibunya masih digenggam kejap.
"Kamu nak mandi ke? Dah pagi ni, tak sejuk ke?"
"Kejap aje, bu. Hazril tak selesa nak tidur. Berpeluh sangat tadi masa kat warung. Rasa melekit badan ni. Ibu pun tidurlah, dah lewat ni." Hazril berkata lembut.
"Ingat, jangan mandi lama-lama dan jangan intai anak dara orang. Pergilah mandi. Kejap lagi ibu keluarkan bantal dan selimut..." usik Mak Ita sebelum melangkah masuk ke dalam biliknya.
Kepala digelengkan. Ibu ni... Mana dia ada masa nak intai minah tu.
"Huargh..." Hazril menutup mulutnya sebelum menenyeh kelopak mata.
"Mengantuknya... Nak mandi dan nak tidur. Esok kena bangun awal," omel Hazril seorang diri seraya menapak menuju ke bilik air.
Baju ditanggalkan. Sempat dia membelek kesan air liur basi Mia pada bajunya. Dia berpaling dan cuba menghidu bahunya. Mata dipejamkan seketika. Busuk! Baju di tangan terus dilempar kasar ke dalam raga sebelum dia memboloskan diri ke dalam bilik air.
Tak sampai lima minit dia membersihkan diri, Hazril kembali ke ruang tamu. Bantal dan selimut sudah tersedia di atas kusyen. Rambut yang basah dilap sebelum tuala disidai di atas kerusi malas yang turut berada di ruang itu.
Bantal ditepuk-tepuk dan Hazril rebahkan badannya. Macam-macam dalam fikirannya ketika ini. Terkebil-kebil dia memandang atas sebelum mata dipejamkan rapat. Dia cuba memaksa diri untuk lena.
"Tidurlah, Hazril..." Selimut ditebar.
Seperti biasa, bibirnya terkumat-kamit berzikir sehinggalah dia terlena.
YOU ARE READING
Cinta Tak Pernah Salah
General FictionTajuk: Cinta Tak Pernah Salah Penulis: Isandra Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2321-03-3 Halaman : 544 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Ogos 2019 Satu peristiwa membuatkan Hazril Mifzal menjauhkan dirinya dari...