"Hai, termenung apa ni? Dari tadi lagi ibu perhatikan kamu. Ibu tengok macam ada masalah aje. Ke kamu dah mula rasa tak selesa duduk di pondok buruk ibu ni?" soal Mak Ita lembut. Dari tadi dia melihat Hazril duduk di pangkin sambil mendongak ke langit.
"Janganlah cakap macam tu, ibu. Rumah ibu ni, bukannya pondok buruk tapi bagaikan istana. Hazril suka duduk sini. Suka sangat... Selesa, tenang. Kepala pun tak serabut."
"Kalau macam tu, kenapa Hazril termenung? Kalau ada masalah, ceritalah pada ibu. Janganlah pendam sorang-sorang, tahu?" Mak Ita menepuk lembut bahu Hazril.
"Ni, ibu ada buatkan cucur pisang. Makanlah..." sambungnya lagi.
"Terima kasih, ibu." Pantas sebiji cucur disumbat ke dalam mulutnya. Otaknya ligat fikirkan tentang sesuatu.
"Ibu..." panggil Hazril tanpa memandang wajah Mak Ita.
"Ya..." Mak Ita merenung wajah Hazril dari tepi.
Wajah Mak Ita dipandang. "Hazril ingat nak bagi Sara sambung belajar. Umur dia dah masuk 20 tahun, memang patut dia sambung belajar, bukan bekerja di warung tu. Lagipun semua tu untuk masa depan dia."
Mak Ita hanya diam.
"Ibu janganlah risau pasal duit sebab Hazril tahu macam mana nak selesaikan hal tu." Tangan Mak Ita digenggam lembut.
"Sara tu, adik Hazril. Satu-satunya adik Hazril. Tanggungjawab Hazril untuk menjaga masa depan dia walaupun Sara tu tak tahu Hazril ni abang dia. Hazril..." Kata-kata Hazril mati tatkala memandang kelibat Sara di belakang Mak Ita. Matanya membulat.
Bila masa Sara ada di situ?
"Abang Hazril... Abang Sara?" soal Sara perlahan. Terserlah riak terkejut di wajahnya.
"Sara..." Hazril bangun dari duduknya. "Abang..." Genggaman tangan Mak Ita membuatkan Hazril menghentikan kata-katanya.
"Sara, duduk. Ada benda yang ibu nak bagi tahu," tutur Mak Ita lembut. Sara hanya menurut.
"Ibu," panggil Hazril lantas kepalanya digelengkan. Dia tidak mahu Sara tahu apa-apa pun tentangnya.
"Hazril, biarlah Sara tahu. Sampai bila kamu nak sembunyikan semua ni? Lambat atau cepat, Sara tetap akan tau juga." Mak Ita memandang wajah Hazril sebelum pandangannya beralih pada Sara.
"Sara, memang Abang Hazril ni, abang Sara." Kata-kata yang keluar dari mulut Mak Ita membuatkan dahi Sara berkerut seribu.
"Maksud ibu... Abang Hazril ni, abang kandung Sara?"
Mak Ita menggeleng. Gelengan Mak Ita menambahkan lagi persoalan di kepala Sara.
"Abang Hazril, anak susuan ibu dan kamu berdua, adik-beradik susuan."
Persoalan yang bermain di kepalanya akhirnya terjawab. Sara mengangguk perlahan tanda mengerti.
"Jadi, siapa ibu dan ayah kandung abang?"
Soalan Sara menyebabkan Hazril dan Mak Ita berpandangan sesama sendiri.
KERETA diberhentikan di kawasan lapang di hadapan rumah. Tengku Mariah keluar dari perut kereta sambil mengucapkan terima kasih kepada Pak Daud, pemandu peribadi keluarganya itu.
Sebelum dia memboloskan diri masuk ke dalam rumah banglo empat tingkat itu, matanya sempat memerhati kereta-kereta yang terparkir di garaj. Langkahnya mati. Dia merenung salah satu kereta yang terparkir bersebelahan dengan Porsche Panamera, McLaren MP4-12C milik cucu kesayangannya, Tengku Hazril Mifzal.
Hazril baru sahaja membeli kereta itu. Tak sampai sebulan Hazril membeli kereta itu, dia menghilang. Serta-merta empangan air mata Tengku Mariah pecah. Walaupun sudah berjumpa dengan cucunya sebentar tadi, dia tetap tidak puas. Dia benar-benar merindui Hazril Mifzal. Sudah enam bulan cucunya membawa diri dek terasa hati. Sehingga sekarang Hazril masih tidak boleh melupakan apa yang terjadi dan tidak mahu pulang.
YOU ARE READING
Cinta Tak Pernah Salah
General FictionTajuk: Cinta Tak Pernah Salah Penulis: Isandra Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2321-03-3 Halaman : 544 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Ogos 2019 Satu peristiwa membuatkan Hazril Mifzal menjauhkan dirinya dari...