MATA meliar memandang sekeliling. Dengusan kecil dilepaskan. Wajah Mia yang sedang tersenyum manis di sebelahnya dipandang tajam sambil bercekak pinggang. Dia benar-benar tidak puas hati. Kelopak mata diurut.
Hazril, kau kenapa ni Hazril! Memang padanlah dengan muka kau. Sengaja mencari nahas!
"Nak buat apa datang sini?" soal Hazril tegas.
Sejak dia bertekad untuk berubah, dia tidak pernah menjejakkan kaki lagi ke kawasan membeli-belah yang terkenal ini.
Bahaya. Sangat-sangat bahaya! desisnya sambil membetulkan topi. Berharap apa yang ada dalam kepalanya tidak akan terjadi.
"Haip! No more question. Dah janji kan nak tolong dan dah janji kan tak nak banyak soal? Jadi, ikut saya aje. Saya berhenti berjalan, awak berhenti. Saya duduk, awak pun duduk tapi kalau saya masuk tandas, awak tunggu luar! Jangan gatal nak masuk sekali pula sebab itu tandas perempuan," tutur Mia senafas lantas dia berjalan ke hadapan meninggalkan Hazril di belakang.
Hazril mengeluh. Langkah dipanjangkan untuk bersaing dengan Mia yang sudah berada jauh di hadapan.
"Awak nak buat apa sebenarnya ni?"
"Awak jangan banyak soal boleh tak? Ikut ajelah saya..." Mia mula melangkah perlahan.
"Jangan risau sangatlah. Saya takkan culik dan jual awak pun. Rugilah kalau saya jual awak. Baik saya ambil aje buat suami..." sambung Mia lantas dia tertawa halus.
Hazril terkaku seketika saat Mia menghabiskan ayatnya dan kemudiannya melangkah perlahan mengikut jejak Mia.
Aku hairan betullah, apa hal aku tak boleh nak tolak permintaan minah ni? Takkan aku dah suka pada dia kut. Hesy, mustahil secepat ni! bebel Hazril dalam hati.
Gerak-geri Mia diekori dengan anak mata. Keluhan kecil dilepaskan apabila melihat Mia menonong masuk ke dalam sebuah butik terkemuka yang menyediakan pakaian lelaki dan perempuan. Dengan langkah yang lemah, Hazril turut masuk ke dalam butik itu dan terus mendapatkan Mia.
"Awak nak beli apa ni?" soal Hazril berbisik. Matanya liar memandang pekerja butik yang asyik memerhatikannya dengan pandangan jelik. Mungkin kerana pakaiannya yang selekeh.
Inilah manusia, selalu menilai orang daripada luaran. Aku cucuk biji mata tu karang. Naya aje! marah Hazril dalam hati.
"Oh, saya nak buang air kecil sebab tu saya datang sini," jawab Mia sarkastik lantas menghadiahkan jelingan maut kepada Hazril.
Bibir diketap. "Isy, aku sumbat juga dia ni dalam freezer kan, biar beku. Baru diam sikit kut," gumam Hazril geram.
"Apa awak cakap?" soal Mia pantas.
"Tak ada apa. Dengar sangatlah pula. Kadang-kadang tu pekak..." balas Hazril selamba sehingga pekerja di butik mampu mendengar kata-katanya.
"Jangan nak keji sangat boleh tak? Dah, jom keluar dari sini..." Mia berjalan sambil menghentakkan kakinya kuat. Geram!
Setelah berjalan tanpa henti, Mia mematikan langkahnya di hadapan sebuah salun. Dia menoleh ke belakang sebelum senyuman penuh makna meniti di wajahnya.
Okey, tempat sebenar yang aku nak tuju dah ada depan mata.
"Ni apa hal senyum macam ni? Tayang gigi tu buat apa? Dahlah gigi kuning!" Spontan ayat itu terpacul keluar dari mulut Hazril. Sengaja mahu mengenakan Mia.
"Awak! Jangan nak menipulah! Gigi saya mana kuning!" bidas Mia kuat tanpa menghiraukan pengunjung lain di situ. Beg tangan diayun sehingga terkena bahu Hazril.
"Eleh... Malulah tu orang tahu gigi dia kuning," balas Hazril dengan senyuman senget di bibirnya. Bahunya diusap.
Boleh tahan sakit. Entah ada apalah dalam beg tu?
Mia mendengus geram. Matanya disepetkan sebelum senyuman nakal menghiasi wajahnya. Topi di kepala Hazril disambar lalu dia terus berlari masuk ke dalam salun. Sepantas kilat dia memasukkan topi lelaki itu ke dalam beg tangannya.
Mata Hazril membulat. Dia pantas mengejar Mia dan masuk saja ke salun, dia terkaku. Beberapa orang lelaki yang agak 'lembut' menerpa ke arahnya seraya menarik lembut lengannya agar duduk di atas kerusi yang disediakan.
"Oh My God! So gorgeous! Come, duduk sini," suruh Kevin kuat dengan gayanya yang seakan-akan teruja.
Apa? Gorgeous? Aku? Arghhh... Mamat ni memang nak kena lempang dengan aku empat puluh empat kali ke?
Meledak tawa Mia memandang wajah Hazril yang sudah bertukar kelat.
"Okey Kevin, I nak you potong rambut dia. Wow me..." Mia memetik jarinya. "I percayakan you, Kevin. Make me happy..." tutur Mia lembut.
Kevin mengangguk. "Okey, sweetheart!"
Pandangannya kini terarah pula pada Hazril yang sudah duduk di atas kerusi. Kepalanya didekatkan di telinga Hazril.
"Sayang, don't worry. Saya akan buat awak nampak lebih kemas. Please, jangan buat hal. Ikut aje tau. Hanya untuk beberapa hari aje, sabar eh," bisik Mia lembut.
Bibir diketap. Hazril memejamkan matanya. Bala yang kau cari sendiri, kan? Padan muka kau! Perasaan menyesal mula terbit dalam hati. Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum dia membuka matanya.
"Siap awak nanti!" balas Hazril geram namun masih bernada perlahan.
"Okey... Good boy!" Mia tersenyum puas kemudian menepuk tangan.
"Kevin! Let's get started..."
"Okey, my sweet gorgeous! Sekarang... Kita potong rambut you!" ujar Kevin juga teruja. Bahu Hazril dipegang malah diusap perlahan.
Tatkala melihat senyuman lelaki itu melalui pantulan cermin di hadapannya, bulu roma Hazril serta-merta menegak.
Mia! I'll kill you!
YOU ARE READING
Cinta Tak Pernah Salah
General FictionTajuk: Cinta Tak Pernah Salah Penulis: Isandra Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2321-03-3 Halaman : 544 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Ogos 2019 Satu peristiwa membuatkan Hazril Mifzal menjauhkan dirinya dari...