BAB 8

459 9 0
                                    

NAUFAL memerhati pemandangan seluruh Seoul dari Namsan Seoul Tower. Dia tidak menaiki menara itu sebaliknya hanya berdiri di tepi kawasan bawah menara saja. Disebabkan kabus musim sejuk, dia tidak dapat memandang seluruh kota Seoul dengan lebih jelas.

Sejuk pula apabila berada di atas bukit itu. Dari guest-house, dia cuma perlu berjalan kaki tidak sampai 10 minit saja ke kereta kabel. Dengan menaiki kereta kabel, dia ke Namsan Seoul Tower.

Ini kali kedua dia ke situ. Mahu melihat mangga cinta yang begitu terkenal dalam kalangan pasangan bercinta mahupun yang mahu bercinta. Seronok pula dia mengambil gambar semua mangga cinta yang ditulis dalam banyak bahasa.

Sambil mengambil gambar, dia membaca setiap kata-kata cinta. Cemburu pula dia. Namun, apakan daya. Kekasih hati pun tak ada. Kalau tulis sendiri, memang nampak kesunyian sangatlah dia.

Dia terus terbayangkan dirinya bersama dengan orang yang disayangi. Entah bila lagi dia nak berpasangan seperti pasangan lain. Ikutkan hati, nak kahwin terus saja memandangkan usianya bukan muda sangat pun.

Tahun baru nanti, umurnya sudah masuk 34 tahun. Memang tak ada masa nak bercinta lama-lama. Dia perlukan seorang isteri yang boleh menemani sehingga ke akhir hayatnya. Namun, hatinya bukan senang untuk jatuh cinta.

Neneknya sudah beberapa kali cuba memadankan dia dengan beberapa orang cucu kepada kenalannya, namun tidak berhasil. Itu semua disebabkan hatinya tidak merasakan sesuatu dengan sesiapa pun. Kalau ada pun, hubungan itu tidak kekal lama. Paling lama sebulan dan paling sekejap, tiga hari.

Saat itu dia mula terkenangkan seseorang. Seseorang yang berjaya membuatkan hatinya tidak pernah dapat ditakluki oleh sesiapa pun selepas lima tahun peristiwa itu berlaku. Cinta pertama yang meninggalkan luka yang paling dalam di hati.

Dia mula menghembus nafas berat. Sayu.


NEK JAH menggeleng-geleng kepala melihatkan Lina yang kelam-kabut menghampirinya. Dia baru saja tiba di Dapur Dean yang terletak di kawasan Setapak.

"Ibu, bila sampai? Kenapa tak cakap nak datang KL?" soal Lina lalu tunduk menyalam dan mencium tangan ibunya.

Bibir Nek Jah sudah terjuih. Dia mengemaskan tudung bawal hijau yang terletak elok saja di kepalanya.

"Alah, kalau ibu cakap nak datang sini, mesti Lina tak bagi kan. Jadi, ibu datang tanpa sebarang notis ajelah. Kenapa? Tak boleh ke ibu datang tengok kedai Dean ni?"

Sebaik menghabiskan ayatnya, dia terus masuk ke kawasan kaunter. Kononnya mahu membuat pemeriksaan. Semua pekerja sudah mula tidak tentu arah. Ada yang mula menyapu lantai dan mengelap cermin walaupun sudah bersih berkilat.

"Bos tak ada, semua pekerja goyang kaki eh?" sindir Nek Jah apabila melihat salah seorang pelayan sedang memegang telefon bimbit.

Lina sudah membesarkan matanya kepada Faiz. Pucat lesi muka Faiz apabila bertentang mata dengan Nek Jah. Pantas saja dia menyimpan telefon bimbitnya ke dalam poket seluar. Tertangkap pula oleh nek leter.

Ha, sesuai sangatlah gelaran itu dengan Nek Jah. Leternya memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Memang takkan menang pun.

"Ibu dah makan ke?"

Lina cuba mengubah topik. Dia memberi isyarat kepada Faiz supaya pergi ke dapur. Faiz apalagi, mencicit lari ke dapur.

Nek Jah terus duduk di sebuah kerusi yang terletak di belakang kaunter. Dia memandang wajah gusar Lina.

"Belum. Ha, Dean mana? Bukan hari ni dia balik ke?" soalnya tanpa menunggu lagi.

"Dean balik lusalah, ibu."

Nek Jah terkedu. Ya jugak. Cucunya yang seorang itu sudah menelefonnya malam tadi. Boleh pula dia terlupa. Memang mati-mati dia ingatkan Dean balik hari ini.

"Yalah, dah tua-tua ni manalah ingatan tu nak kuat lagi macam dulu. Tak apalah, awal dua hari ibu datang. Senang nak masakkan ikan patin masak tempoyak kegemaran dia tu nanti. Malam tadi dia cakap rindu nak makan masakan ibu."

"Ooo... sebab itulah ibu datang sini. Sebab rindu dengan cucu kesayangan ibu tu aje ke?"

Lina mula tunjuk riak tidak berpuas hati. Cemburu!

"Tak boleh ke?"

"Boleh. Kalau macam tu, masakkan masak lemak pedas ikan untuk Lina jugak. Lina pun rindu dengan air tangan ibu yang sedap tu."

Kedua-dua belah tangannya sudah mula mengurut bahu Nek Jah.

Nek Jah mencebik. Nak membodeklah tu.

"Assalamualaikum mak cik," sapa seorang lelaki yang baru muncul di situ.

Nek Jah dan Lina serentak memandangnya.

"Waalaikumussalam Ahmed. Datang dari mana tu?"

Dia menyambut huluran tangan Ahmed sambil melontar pertanyaan.

"Dari pantri, mak cik. Baru habis makan. Mak cik dah makan ke? Erm, Cik Lina makanlah dengan mak cik. Lagipun sekarang giliran cik untuk berehat."

"Ha'ah la, ibu. Kebetulan pulak Ahmed dah habis makan. Jom kita makan. Ibu kan tak makan lagi."

Lina terus menarik tangan Nek Jah. Nek Jah tidak sempat menolak. Akhirnya dia mengikut saja langkah anaknya. Ahmed hanya tersenyum melihatkan mereka berdua.

"Psst, nek leter dah pergi ke belum?" soal Faiz yang baru muncul dari dapur.

"Tu..." Ahmed menunjuk Lina dan Nek Jah yang duduk di salah sebuah meja yang terletak di ruang tengah.

Faiz tertunduk-tunduk ketakutan. Automatik tangannya terus menyusun napkin yang terletak di kaunter.

Ahmed hanya mampu geleng kepala sambiltersengih.

HATIKU MEMILIHMUWhere stories live. Discover now