BAB 11

461 7 0
                                    

TERMENGAH-MENGAH nafas Naufal dan Risa apabila tiba di hadapan Restoran Eid. Sudah tiga kali mereka berpusing di sekitar Itaewon, baru terjumpa kedai yang diinginkan oleh Risa.

Jam baru menunjukkan pukul 6.00 petang. Mereka disapa mesra oleh pelayan perempuan sebaik saja masuk ke dalam kedai. Naufal tersenyum manakala Risa dengan kedinginannya. Mereka berdua mengambil tempat duduk berhampiran dengan pintu masuk.

Pelayan tadi datang membawa iPad dan menyerahkannya kepada mereka berdua sebelum beredar. Rupa-rupanya buku menu restoran itu menggunakan iPad.

Risa mula membuka kedua-dua belah sarung tangannya sebelum meneliti menu.

Naufal pula membuka jaket tebalnya dan meletaknya pada badan kerusi. Matanya merenung Risa yang masih tunduk memandang menu. Dia mengintai setiap menu yang dilihat oleh Risa. Tanpa menunggu lebih lama, Naufal segera melambai pelayan tanda dia sudah bersedia untuk membuat oder.

Pelayan itu menghampiri meja.

Risa mengangkat mukanya apabila menyedari pelayan itu muncul. Dia mengalih pandangan kepada Naufal yang sudah mula membuat oder. Terlopong mulut Risa yang tidak berpeluang untuk membuat sebarang pesanan kerana Naufal jelas sekali melarangnya dengan mengangkat tapak tangannya kepada Risa.

Hamboi, dia nak aku bercakap dengan tangankah?

"Saya oder yang ni semua untuk makan dua orang. Awak ada apa-apa nak tambah tak?" tanya Naufal sambil memandang Risa.

Hampir terbeliak mata Risa melihatkan harga makanan yang dipesan oleh Naufal. Kalau order setiap satu tidak mengapalah. Ini ada yang diambil dua set. Memanglah tak mahal sangat, tetapi dia harus berjimat.

"Saya bayar separuh dan awak separuh, kan? Kalau ya, ini aje," katanya dengan nada tenang.

Tenanglah sangat walaupun dalam hati sudah memberontak. Habislah dia kalau nak tambah oder lagi. Karang tak ada duit untuk pergi ke Lapangan Terbang Incheon esok. Bukannya dia tak ada duit lebih, tapi duit itu hanya dipakai untuk waktu kecemasan saja. Manalah tahu kalau ada apa-apa kejadian yang tidak diingini ketika berada di lapangan terbang esok.

Mudah-mudahan segala urusannya dipermudahkan. Banyak benda lagi dia perlu selesaikan setelah kembali ke Kuala Lumpur. Mengenangkan perkara itu, hatinya jadi gusar.

Pelayan tadi beredar membawa pesanan mereka. Naufal menopang dagunya. Kedua-dua belah sikunya menekan permukaan meja. Matanya merenung Risa yang kelihatan sedang termenung. Termenungkan apa, dia sukar untuk mengagak.

Dia cuba menerokai seluruh wajah perempuan itu, namun bahagian depan topi yang menutupi hampir separuh wajahnya saat menunduk, menyukarkan dia untuk melihat wajah Risa. Baginya, Risa seperti menyimpan seribu satu perasaan duka sehingga tiada senyuman yang menghiasi bibir.

Kemudian dia terpandangkan tangan Risa yang pertama kali dilihat tanpa sarung tangan. Terpaku matanya melihatkan ada garis parut panjang di tangan kiri Risa. Mengapa dan bagaimana boleh begitu, dia tidak berani membuat andaian. Cukuplah dia mengerti perempuan di hadapannya kini berkemungkinan ada kisah duka sendiri.

"Dah puas tenung saya?"

Naufal tersentak apabila Risa mengangkat mukanya. Bertemu lagi dia dengan mata tajam itu. Aiseh, macam mana boleh terkantoi ni?

Dia terus tersenyum walaupun dia tahu Risa seratus peratus tidak membalas senyumannya.

"Tak puas lagi. Esok awak dah balik. Mestilah saya kena tengok muka awak puas-puas."

Risa terpaku. Ada satu perasaan halus menyelit ke lubuk hatinya. Perasaan apakah ini? Gembira? Atau tidak selesa? Entah.

"Saya perempuan yang ke berapa awak cakap macam ni? Kelima puluh? Atau ke seratus?"

HATIKU MEMILIHMUWhere stories live. Discover now