BAB 4

714 16 0
                                    

"ORANG dah tunjuk secara terang tak suka, masih lagi nak menyibuk. Ergh!"

Sepanjang perjalanan, Risa tidak henti-henti membebelkan si Naufal yang asyik muncul. Kemunculannya memang mengganggu ketenteraman hati yang biasa sendiri. Sendiri tanpa sesiapa.

Ah, lupakan saja si penyibuk tu. Tak fasal-fasal percutian kau berubah jadi suram. Rugi. Bukan senang nak datang ke sini.

Risa menarik nafas panjang sebelum menghembusnya perlahan. Dia mula mengeluarkan telefon bimbit. Berselfie sendiri dan mengambil gambar di sekitar situ. Dari jauh dia nampak ramai orang berkerumun dekat patung pelakon Bae Yong Jun dan Choi Ji Woo.

Memang terkenal habis dua pelakon itu selepas drama Winter Sonata ditayangkan pada tahun 2002. Bukan setakat terkenal di Korea saja, malah ke seluruh dunia.

Ramailah pulak orang. Baru nak selfie banyak-banyak. Yalah, tak dapat bergambar dengan pelakonnya, bergambar dengan patung pun jadilah. Melihatkan begitu ramai orang, Risa membuat keputusan untuk melawat kawasan lain dahulu.


NAUFAL memandang 'Mawar' yang sedang terkial-kial mengambil gambarnya sendiri. Dalam hati mahu saja dia menghampirinya. Namun, mengingatkan kata-kata gadis itu tadi, dia membatalkan saja niat itu.

Karang tidak fasal-fasal kena cop stalker pula. Yalah, asyik terserempak saja.

Tapi, bukannya dia sengaja terjumpa pun. Pulau ni bukannya besar sangat pun. Pusing-pusing, jumpa juga. Kesudahannya, Naufal kembali mengambil gambar di sekitar situ. Cuba untuk tidak mempedulikan kehadiran Mawar.

Risa duduk kepenatan di bawah salah satu pokok pine. Entah berapa banyak gambar yang diambil. Matanya mula memerhati orang yang lalu-lalang di situ.

Hmm, tenangnya dekat sini. Pemandangan pun cantik. Kalau dapat tinggal dekat sini, alangkah indahnya jiwa. Kelopak matanya perlahan-lahan tertutup. Dia cuba untuk mengosongkan fikirannya yang selama ini penuh dengan kekusutan. Cuba untuk membersihkan hati yang penuh dengan rasa gelisah.

Ya Allah, terima kasih kerana memberiku peluang untuk ke sini. Terima kasih di atas rezeki yang telah Engkau berikan kepadaku. Sesungguhnya aku bersyukur. Risa berbicara dalam hati.

Lama dia begitu. Terasa tenang hati dan fikirannya. Perlahan-lahan dia membuka semula kelopak matanya.

"Oh, nenek kau!"

Spontan dia melatah keras apabila melihat Naufal yang sedang duduk mencangkung di hadapannya. Risa mengurut-urut dadanya yang berdebar kencang.

Naufal tersenyum dan terus bangun. Dia tunduk memandang Risa yang sedang mendongak memandangnya.

"Pandai melatah jugak awak ni ya."

Itu satu gurauan atau sindiran? Mahu saja Risa menjawab. Tapi apakan daya, bibirnya seolah-olah telah digam selepas melatah tadi. Walaupun sakit hati dengan kata-kata Naufal, dia biarkan saja.

Sudahlah dia baru saja mengosongkan fikiran dan hatinya. Tidak fasal-fasal kembali serabut disebabkan Naufal.

Ah, biarkanlah dia. Kau kena sabar. Risa terus bangun dengan muka masam. Wajah Naufal yang manis dengan senyuman langsung tidak dipandang. Rasa semakin menyampah pula. Tanpa mempedulikan Naufal, Risa terus beredar dari situ.

Semakin lebar senyuman Naufal.

"Macam mana nak jadi kawan awak ni? Ada syarat tak?"

Semakin laju langkah Risa apabila Naufal sudah berada di sebelahnya.

HATIKU MEMILIHMUWhere stories live. Discover now