BAB 3

729 11 0
                                    

KELAM-KABUT Risa menyarung kasut dan mengikat talinya dengan kemas. Dia terus masuk ke dalam lif untuk turun ke bawah. Tiba saja di bawah, dia terus bergegas keluar dari guest-house.

Jam di pergelangan tangan kiri dikerling sekilas. Sudah pukul 7.15 pagi. Dia mengeluh kesal. Sebenarnya dia sudah terlambat. Kalau mengikut jadual yang dibuat, dia perlu keluar dari situ seawal jam 6.00 pagi untuk mengelak daripada bersesak-sesak menaiki subway.

Rancangannya mahu ke Nami Island dan tempoh waktu mahu ke sana mengambil masa selama satu jam setengah perjalanan. Tapi kalau ramai orang, sudah tentu memakan masa yang lebih lama.

Risa berjalan secepat yang mungkin ke stesen Myeongdong. Sebaik saja tiba di subway, mata Risa terbeliak melihatkan orang yang ramai. Bukan orang Korea saja, pelancong asing pun ada. Panjang juga barisan orang yang menunggu.

Dia nak cepat pun bukannya apa. Dia mahu mengejar bas dari stesen Gapyeong ke Nami Island. Paling awal bas tiba di situ, jam 9.00 pagi. Sekiranya dia terlepas bas paling awal itu, dia perlu menunggu satu jam lagi untuk bas yang seterusnya.

Bukannya dia tak boleh naik teksi, tapi dia perlu berjimat. Lagipun tiket bas cuma berharga 5,000 won dan boleh dipakai semula untuk balik ke stesen Gapyeong dari Nami Island.

Demi untuk berjimat, Risa sanggup meredah lautan orang ramai.


RISA mengambil nasi putih segera yang sudah dipanaskan di dalam microwave. Kemudian dia masukkan ke dalam plastik sebelum bergegas keluar dari 7E yang terletak berdekatan dengan terminal feri ke Nami Island.

Dia bercadang untuk makan di Nami Island saja nanti. Dari jauh dia nampak feri berwarna putih yang dipenuhi dengan bendera pelbagai negara, menghampiri jeti. Tanpa membuang masa, dia mula berlari. Kalau lambat nanti, kena tunggu lagi.

Banyak aktiviti yang mahu dia lakukan di sana. Mujurlah dia sudah membeli tiket sebelum ke 7E tadi. Dalam kesesakan itu, berjaya juga dia masuk ke dalam feri. Dia berdiri bersebelahan dengan tiang memandangkan semua tempat duduk sudah penuh.

Feri mula bergerak. Risa tunduk melihat risalah mengenai Nami Island yang diambil dari kaunter tiket. Dia membaca dalam diam ketika ada seseorang melanggar bahu kanannya. Risa terus mengangkat muka sambil memegang bahunya yang terasa sedikit sakit.

"I am so sorry."

Risa tergamam sebaik saja melihat pemilik suara yang meminta maaf kepadanya itu. Dia mahu menjauhkan diri daripada lelaki itu, namun dalam keadaan berhimpit begitu memang susahlah.

Ah, sudah. Jangan tengok dia, Risa.

"Hai, saya Naufal. Awak?"

Tengok tu. Dia dah mula bertanya. Isy!

Risa cuba mengawal air mukanya yang nampak resah. Dia langsung tidak menoleh. Namun, dia dapat rasakan pandangan mata Naufal yang tidak lepas memandangnya.

Aduhai, feri oh feri. Cepat-cepatlah sampai dekat Nami Island tu. Mahu saja dia meminta kapten feri menambah kelajuan feri supaya cepat sampai. Bolehlah dia larikan diri daripada lelaki penyibuk ini.

Isy, menyampah. Asyik terjumpa dia saja. Bukannya tak setampan pelakon Korea yang diminatinya, namun entah mengapa hatinya berasa menyampah dengan Naufal.

"Susahnya nak tahu nama awak ni."

Bibir Risa terus mencebik mendengarkan keluhan Naufal. Dia buat-buat tidak dengar. Jangan haraplah aku akan terpedaya dan pandang dia. Orang cakap kalau semakin dilayan, semakin menjadi-jadilah perangainya.

Naufal tersengih sendiri. Hamboi, kerasnya hati 'Mawar' dingin ni. Tak apa. Nenek selalu cakap biar lambat asalkan sabar. Eh, betulkah pepatah tu? Kalau nenek yang cakap, agaknya betullah kut.

Feri akhirnya tiba di Nami Island. Semua orang berpusu-pusu keluar dengan wajah girang. Siapa yang tidak gembira apabila dapat menjejakkan kaki ke tempat yang terkenal dengan drama Korea Winter Sonata?

Mata Naufal tidak lepas memandang Risa yang seperti lipas kudung menyelit keluar dari feri. Alahai, takut benar dia dekat aku. Nak kata muka ni bengis, tak juga.

Akhirnya Naufal hanya menggeleng kepala dengan senyuman di bibir.


RISA menggigil kesejukan di meja kayu yang terletak di kawasan lapang itu. Makanan yang dibelinya tadi semuanya bertukar dingin.

Itulah, padan muka aku. Siapa suruh mengada sangat duduk sini untuk makan padahal banyak lagi tempat yang ada menyediakan unggun api. Makan dekat situ kononnya nak merealisasikan impian berpiknik di pulau itu.

Risa, sekarang kan musim sejuk. Agak-agaklah nak berpiknik bagai di tempat terbuka begini. Akhirnya diri sendiri yang merana.

"Hai, seronok makan dekat sini?"

Risa tergamam melihat Naufal muncul di hadapannya dengan senyuman penuh makna. Terserlah kedua-dua lesung pipitnya.

Heh, dia lagi? Kenapa dia perlu ada dekat sini, hah? Tidak bosankah asyik mengganggu ketenteraman hati aku? Agaknya dia ni lelaki yang kesepian.

Tanpa diundang, Naufal duduk di hadapannya. Risa tersentak. Hamboi, dia ni memang suka jemput diri sendiri ke?

"Kenapa tak sambung makan? Kena cepat makan ni sebelum jadi beku semua," ujar Naufal yang sedang tunduk memandang makanan, sebelum memandang Risa yang sedang berpeluk tubuh.

Dia nampak bibir Risa yang menggeletar. Dia pandang pula winter coat yang dipakai oleh Risa. Beg galasnya diambil. Zip beg ditarik ke bawah. Dia mengambil sesuatu di dalam beg.

Risa hanya memerhati tanpa kata.

"Hmm, nasib baik ada bawak ni. If you don't mind, you can wear this. Sweater ni saya tak pakai lagi. Awak boleh pakai ni dekat dalam, kasi badan awak tak sejuk sangat. Winter coat awak ni nipis sikit. Sebab tu awak sejuk."

Risa terkedu melihat sweater berwarna putih yang dihulur oleh Naufal. Dia teragak-agak untuk menerimanya.

"Ambillah. Saya tak nak bertanggungjawab kalau awak jadi beku macam pasangan Korea tu."

"Pasangan mana?"

Hampir terlopong Naufal mendengarkan suara Risa buat pertama kalinya sejak mereka bertembung di dalam feri tadi.

"Alah, patung pelakon drama Winter Sonata tu. Awak dah tengok belum?"

Oh, ingatkan manusia betul yang menjadi beku. Isy, dia ni kan saja nak bikin gempak cerita. Bibir Risa terjuih sedikit kerana geram.

Melihatkan tiada respons, Naufal meletakkan sweater itu di depan Risa.

"Terima kasih, tapi saya tak perlukan sweater ni."

"Tak. Awak kena dengar cakap saya kali ni. Anggap saya tolong awak sebagai seorang kawan."

"Tak. Kita tak pernah berkawan dan saya tak nak terhutang budi dekat sesiapa pun."

Naufal hampir mengeluh dengan kekerasan hati Mawar. Alahai, 'Mawar' oh 'Mawar'. Kenapalah kau ni degil sangat? Orang nak tolong aje pun.

Tanpa membuang masa, Risa terus mengemas bekas makanan dan dimasukkan ke dalam plastik sebelum disumbat dalam beg galasnya. Sweater pemberian Naufal dibiarkan saja di situ.

Tercengang Naufal memandangnya yang sudah berdiri.

"Boleh tak jangan ganggu saya lagi? Saya tak kenal awak, awak pun tak kenal saya. Jangan menyibuk, boleh tak?"

Mendengarkan kata amarah Risa membuatkan hati Naufal tersentap habis. Tidak sempat dia mahu membuka mulut, Risa sudah meninggalkan dia sendirian di situ.

Sepertinya kejadian yang sama berulang lagi. Ditinggalkan dengan kata-kata berbisa.

"Alahai, sabarlah wahai hati. Kalau orang tak nak terima bantuan kau, nak cakap apa lagi, kan? Dah macam terhegeh-hegeh pulak," bebel Naufal sendiri sambil memasukkan semula sweaternya ke dalam beg.

Dia juga bingkas bangun dan meneruskanperjalanan.

HATIKU MEMILIHMUWhere stories live. Discover now