~Zara Dahlia~
Terasa macam nak tercabut kepala lutut dibuatnya. Aku mengurut perlahan perut betis. Lepas breakfast pagi tadi, kami pergi ke Nat Pokok Getah. Nat ni macam pasar pagi. Orang Perlis panggil nat. Kalau orang Kedah atau Penang panggil market. Sama juga kat mana-mana pasar pagi, barang basah, barang mentah, makanan dan kain baju memang ada dijual. Itu belum kira lagi barangan antik, pakaian bundle. Meriah sangat. Tapi paling heaven semestinya makanan. Macam-macam jenis makanan yang ada. Makanan yang rare aku jumpa Miang Kham yang berasal dari Thailand. Satu lagi yang aku rasa nak makan lagi, kuih Dangai yang dibuat dari kelapa parut. Menyesal beli sikit je tadi. Kalau ikutkan aku nak membeli lagi makanan, nafsu makan tu dah macam time bulan puasa kat Bazaar Ramadhan. Semua makanan nampak sedap dan nak dibeli. Tengok diorang berniaga air lagilah tergoda ditambah pula dengan cuaca yang panas membahang.
Balik je dari Nat Pokok Getah, Zati ajak aku ke parit kecil di belakang rumahnya, nak tunjukkan aku rupa lintah. Memang aku tak pernah tengok lintah walaupun membesar kat kampung sebab takde geng nak buat penjelahan ke sawah padi masa aku kecil-kecil dulu. Paling aku bengang Zati tolak aku masuk ke sawah padi yang penuh dengan air. Memang berkubang tanpa rela dibuatnya. Sabar jelah dengan perangai Zati yang tiga suku. Paling best, balik je ke rumah Zati, Makcik Zizah kejar Zati dengan penyangkut baju sebab marahkan Zati tolak aku masuk sawah padi. Aku bantai gelak tak ingat dunia. Syuhada, adik Zati yang pendiam tu pun ikut sama gelakkan Zati. Seronok sungguh tengok Zati kena libas dengan penyangkut baju. Tapi Zati tetap Zati, lagi Makcik Zizah marah bertambah seronok dia.
Lepas makan tengah hari, aku dah ingat bantal je. Makan banyak sangat sampai mengantuk. Dua kali aku tambah nasi dengan rasa tak malunya. Rasa malu dan segan aku letak tepi demi makanan yang sedap di depan mata. Siput sedut masak lemak cili api, ikan pari bakar dan air asam tomato, ikan kembung goreng, ulam-ulaman dan sambal belacan. Sedap tak terkata. Ditambah pula kami menikmati hidangan tengah hari di pangkin luar rumah. Dengan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi selera makan aku. Betul-betul merasai suasana kampung.
Zati yang tengok mata aku makin layu, terus heret aku ke Padang Besar. Kami ke Arked Niaga kat Padang Besar. Susahnya untuk dapat tempat parking kereta. Ramai betul umat manusia di sini. Maklumlah cuti hujung minggu. Antara tempat yang terkenal untuk mendapatkan barangan dan makanan dengan harga yang agak murah. Menurut Zati, dulu dia lebih suka membeli di Wang Kelian. Di sana harga barangan jauh lebih murah. Tetapi selepas penemuan 106 rangka manusia mangsa sindiket pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya, sejak daripada itu pekan Wang Kelian mulai sepi. Pada 1 April tahun yang sama, Jabatan Imigresen telah membatalkan serta-merta kemudahan pergerakan bebas ke pasar Wang Kelian antara Malaysia dan Thailand. Ruginya!
Aku banyak memborong jajan atau junk food yang sudah siap dibungkus dalam pek-pek kecil berharga RM4. Aku beli juga hammock untuk di bawa balik ke Teluk Intan nanti. Tak lupa juga paste keluaran negara jiran seperti paste tomyam dan paprik. Aku dan Zati sama-sama memborong coklat di Kompleks Bebas Cukai. Ada jugak barangan berjenama yang dijual di sini tetapi tidak banyak pilihan. Kompleks ini tidaklah terlalu besar. Cukup sekadar untuk mencuci mata dengan barangan yang dipamerkan. Kalau Mak ke sini, mesti Mak akan membeli set pinggan mangkuk Corelle walaupun harganya tidak banyak beza dengan yang dijual di tempat lain. Selepas itu, Zati bawa aku ke Ladang Nipah Kipli untuk menikmati laksa dan nira nipah. Tak sampai sehari kat sini, memang melantak je kerja aku. Sampai rumah Zati dah masuk waktu Asar.
Kaki aku lunjurkan pada pangkin yang terletak bawah pokok jambu air. Tidak jauh dari tempat aku duduk, sawah padi menghijau terbentang luas. Angin petang yang bertiup cukup mendamaikan. Teringat kat Mak dan Abah kat Teluk Intan. Mesti riuh rumah Mak sekarang dengan kehadiran Opah dan keluarga Mak Long Hasnah. Rindu kat Mak, Abah dan Opah tapi aku tak nak bersua mata dengan Abang Khaliq. Mesti Opah kecil hati, aku tak balik ke sana. Mak pun tak call sejak aku maklumkan nak ke rumah Zati. Mak kecil hati ke aku tak balik ke Teluk Intan walaupun dah berjanji nak balik? Aku mengeluh perlahan.
YOU ARE READING
Encik Suami Mr Kertu (PUBLISHED)
Romance"Kertu? You save my number as Mr Kertu?" Alamak! Matilanak! Tak pernah-pernah dia belek-belek handphone aku. Kenapa hari ni dia terlebih rajin pulak? Apa aku nak cakap ni? Macam mana boleh terkantoi ni? Lupa aku nak letak password kat handphone. "Za...