BAB 1: HILANG

321 12 2
                                    

####  BERTEMAN ROH akan terbit pada NOVEMBER 2019 ###

"BULETIN PAGI. Ryzal Mirdad, seorang pelakon terkenal yang juga anak seorang usahawan terkemuka negara dilaporkan hilang sejak seminggu lepas. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, diminta menghubungi nombor telefon yang tertera di kaca TV anda bagi membantu siasatan."

Suraya ditugaskan membaca berita pada pagi itu. Mulanya dia terkejut juga kerana macam baru semalam dia melihat lakonan Ryzal Mirdad di kaca televisyen. Bukan kes itu sahaja, akhir-akhir ini memang banyak kes orang hilang malahan ada beberapa kes hilang yang berakhir tragis disimen, dikerat dan ada yang dibunuh kejam. Kadangkala apabila menjadi orang yang bertanggungjawab melaporkan berita sebegitu, Suraya sering kali melawan perasaan sebak dalam dirinya dan cuba sedaya upaya untuk menyampaikan berita dengan baik.

Tapi, kes kehilangan Ryzal Mirdad sebenarnya telah viral sejak malam tadi di media sosial. Cuma, kesahihan berita di media sosial seperti itu, biasanya hanya akan terbukti benar apabila stesen televisyen melaporkannya. Lagipula Ryzal Mirdad diketahui umum bukanlah pelakon biasa, ayahnya ahli korporat berjaya yang dikenali ramai. Sudah pastilah akan menjadi tajuk utama berita-berita surat khabar dan pages-pages popular media sosial.

"Sekian berita terkini, saya Suraya Zain. Assalamualaikum dan salam sejahtera."

Usai membaca berita, Suraya terus masuk ke bilik mekap. Dia pegang rambutnya yang dipotong pendek paras bahu sambil memikirkan berita kehilangan Ryzal Mirdad, telefon bimbitnya diambil dan dibacanya semua berita mengenai Ryzal di media sosial. Ada sumber-sumber daripada rakan pemberita berpendapat, ada kemungkinan Ryzal Mirdad sengaja menghilangkan diri supaya tidak dikejar media kerana gosip panas berkaitan pergaduhannya dengan seorang pelakon di set drama terbaru mereka.

Tiba-tiba!

Suraya kaku, terasa seolah-olah ada orang meniup telinganya, mata Suraya liar memerhati. Tengkuknya terasa seram sejuk seakan-akan disentuh seseorang. Suraya tarik nafas memandang cermin, memang sah tiada sesiapa. Kerana hanya dia seorang saja di bilik mekap tersebut, terkocoh-kocoh Suraya mengambil barang dan keluar daripada bilik tersebut secepatnya. Memang ramai juga yang kata bilik mekap tu keras sikit, tapi Suraya selalu endahkan sahaja lagipula hari dah siang.

"Awak Suraya Zain?" tanya seseorang sebaik saja Suraya keluar dari bilik mekap tadi.

"Ya, saya. Saya Suraya Zain. Ada apa ya?"

"Awak yang sampaikan berita tadi kan?"

"Ya saya." Suraya menjawab sekaligus melemparkan senyuman.

Suraya lihat lelaki di hadapannya itu. Dia belum pernah melihatnya, ada kemungkinan wartawan yang baru bekerja atau pelajar yang baru menjalani latihan praktikal. Stesen televisyen itu besar, tak sempat Suraya mahu kenal semua orang.

"Hari ini Cik Suraya boleh temankan saya berjumpa Dato' Mirdad Jamaluddin? Ayah Ryzal yang hilang tu," lelaki itu bertanya.

"Boleh. Panggil Suraya aje ya." Suraya terus bersetuju.

"Maaf, lupa nak kenalkan diri, saya Farid, wartawan bahagian jenayah. Saya yang bagi info pasal kehilangan Ryzal Mirdad malam tadi untuk bilik berita." Farid memperkenalkan diri.

"Sumber berita tu memang sahih ke?" tanya Suraya, tidak bermaksud memperkecilkan kerja Farid sambil dia menekan lif untuk mereka masuk.

"Sepanjang malam kami tak tidur Suraya, sekarang ni media sosial lebih cepat daripada berita. Team kami yang memang ada dekat balai polis dah bagi maklumat pasal ni sejak 3 hari lepas tapi dihalang, Dato' Mirdad tak nak kecoh-kecoh."

BERTEMAN ROH (TELAH TERBIT)Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang