SURAYA lihat topeng yang baru kering, setelah hampir dua minggu baru dia teringat topeng tersebut. Diambilnya topeng yang sudah kering dan dibeleknya lukisan yang ada. Tidak luntur walaupun lama juga Suraya merendam sebelum mengeringkannya. Cantik topeng tersebut, namun milik siapa? Topeng rama-rama itu sangat abstrak. Suraya meneliti topeng tersebut, banyak perasaan yang dirasainya namun kosong. Kemudian Suraya cuba memakainya. Pelbagai imbasan tentang rama-rama muncul di kepalanya. Apa yang pasti, semuanya kegelapan!
Segera Suraya menanggalkan topeng tersebut. Dia berpeluh. Topeng itu diperhatikannya, semakin diperhatikan. Hanya dendam yang berlegar di topeng tersebut. Suraya memikirkan pelbagai kemungkinan. Kenapa orang yang membunuh Ryzal meninggalkan topeng tersebut di situ? Apa maksudnya semua ini? Mustahil pihak polis tidak menjumpai topeng tersebut semasa penyiasatan. Atau sebenarnya topeng itu baru saja diletakkan dalam longkang tersebut dan mereka sebenarnya diekori dan diperhatikan! Suraya pening. Kenapa dia masih mahu terlibat dalam hal seperti ini? Kenapa dia harus membantu Ryzal? Kenapa dia harus membahayakan nyawanya sendiri?
"Suraya, awak okey ke?" tanya Ryzal tiba-tiba.
Suraya senyum. Ralat.
"Saya okey, kenapa?" jawabnya dalam keliru dan bertanya kembali.
"Looks like something is disturbing you."
"Tak adalah, aku okey tapi bila aku pakai topeng tu aku rasa takut, kosong..."
Ryzal pandang Suraya, dia tahu dia telah banyak menyusahkan Suraya.
"Suraya, jangan paksa diri. Saya faham, tak mungkin saya akan dijumpai sehari dua ni." Ryzal pasrah.
Suraya faham maksud kata-kata Ryzal. Kemudiannya dia membuka komputer riba. Suraya lihat gambar-gambar topeng yang terdapat di internet. Dia mencari topeng yang serupa seperti yang dijumpainya. Tiba-tiba Suraya terpandang topeng yang serupa dengan topeng di atas mejanya. Suraya membesarkan gambar topeng tersebut. Kemudiannya Suraya teringat instagram Maseira. Segera dia menaip carian nama Maseira di laman google, tapi tiada pula kelihatan gambar topeng yang dicarinya.
Mungkin topeng ini tak bawa apa-apa maklumat pun, getus hati kecil Suraya.
Suraya ke balkoninya dan memandang jauh. Dia lihat Ryzal di sebelahnya dan bertanya soalan yang sebenarnya sudah lama terbuku di hatinya.
"Ryzal, awak dah mati ke?" Suraya bertanya soalan yang tak mampu dijawab oleh Ryzal.
Ryzal terdiam. Suraya serba salah dengan soalannya. Namun, beberapa minit kemudian Ryzal menjawab.
"Saya pun tak pasti."
Suraya pandang Ryzal.
"Saya minta maaf Ryzal, saya tak bermaksud apa-apa. Tapi kenapa saya?"
"Suraya, ini semua kerja tuhan. Saya tak ada jawapannya. Kalau ya saya dah mati, saya pasrah. Tapi kenapa saya dalam keadaan macam ni? Awak pernah dengar hantu bercakap dengan manusia macam ni?" Ryzal bertanya soalan yang sukar sekali diterima akal biasa.
"Tak," pantas Suraya memberi jawapan.
"Tapi saya pun pelik kenapa awak boleh nampak saya? Semua ini bukan kebetulan Suraya, awak punya sesuatu---" Ryzal tidak meneruskan kata-katanya.
"Hei, awak jangan macam-macam. Saya tak pernah bela hantu, jin semua tu ya!"
"Suraya, bukan itu maksud saya. Mungkin Tuhan berikan awak sesuatu, awak boleh melihat ke alam lain, alam yang tak mungkin dilihat manusia biasa. Anugerah boleh melihat roh, maksud saya." Ryzal cuba mengatakan yang sepatutnya.

KAMU SEDANG MEMBACA
BERTEMAN ROH (TELAH TERBIT)
Bí ẩn / Giật gân****NOVEL TELAH TERBIT SEJAK NOVEMBER 2019. DAPATKAN DI KEDAI BUKU BERDEKATAN ANDA POPULAR BOOSKTORE DAN MPH BOOKSTORE. TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN. *** Apa yang anda rasa apabila anda boleh melihat hantu? Takut? Ngeri? Rasa bagaikan anda sentiasa di...