BAB 9: KLU

47 0 1
                                    

PAGI itu Suraya dan Farid ke hospital untuk membuat liputan berkenaan mayat yang dijumpai. Nyata setelah proses bedah siasat dilakukan, mayat yang dijumpai separuh terbakar itu adalah orang lain dan bukan Ryzal. Meskipun Suraya dan Farid sudah mengetahuinya namun maklumat tersebut perlu disampaikan pada orang awam yang belum mengetahuinya.

"Farid, saya akan buat liputan kejap lagi selepas semuanya selesai. Jadi, mayat yang dijumpai itu memang dia?" tanya Suraya pada Farid yang masih memerhatikan beberapa pegawai dan staf perubatan serta pihak polis menjalankan tugas mereka.

Farid memandang Suraya. "Ya Suraya. Ahli keluarganya sudah sahkan beberapa hari lalu."

Farid dan Suraya kemudiannya mendapatkan Inspektor yang bertugas dan terus bertanya. Kelihatan seorang inspektor yang berjalan menuju ke satu arah. Segera Farid dan Suraya mengejar.

"Inspektor Majid, boleh saya tanya beberapa soalan?" tanya Farid yang sudah biasa berurusan dengan inspektor tersebut.

Inspektor itu memberhentikan langkahnya. "Kamu Farid. Apa yang saya boleh bantu?".

"Mayat yang dijumpai itu memang sah bukan Ryzal Dato' Mirdad tapi mayat orang lain?" tanya Farid.

"Menurut ujian bedah siasat, begitulah," jawab inspektor tersebut.

"Seperti yang saya dimaklumkan, mayat tu mayat seorang lelaki lain bernama Suhaili Jamali? Betul inspektor?" tanya Farid lagi.

"Betul Farid. Kami masih siasat kenapa dia dibunuh," inspektor itu tenang memberikan jawapan.

Suraya hanya memerhati Farid dan merekod apa yang diperkatakan oleh mereka dan kemudian bertanya, "Jadi, menurut pendapat inspektor ada kemungkinan yang Ryzal Dato' Mirdad masih ada di luar sana?" tanya Suraya ingin kepastian sambil Ryzal berada di sebelahnya.

Inspektor Majid memandang Suraya.

"Kami masih meneruskan siasatan menjejaki Ryzal Mirdad. Pihak kami tidak dapat memberi kata putus. Kami akan terus membuat siasatan." Inspektor Majid menjawab dengan jawapan yang terlalu klise.

"Terima kasih Inspektor Majid," tiba-tiba saja Farid seakan menghalang Suraya bertanya lebih lanjut.

"Sama-sama Farid. Saya pergi dulu, ada tugas nak kena buat. Jumpa lagi."

Farid dan Suraya memandang pegawai polis itu berlalu.

"Saya tahu awak tak sabar nak tahu perkembangan kes tu. Tapi Suraya, kita sedang ada kes, kita tumpukan ini dulu ya?" Farid faham perasaan Suraya.

"Maaf Farid. Saya cuma hendak tahu perkembangan kes tu. Lagipun dia pegawai yang ketuai siasatan tu kan?"

"Ya, sebab tu dia ada dekat sini. Tapi macam saya cakap, sabar dulu. Ni, kejap lagi Kefli sampai. Awak buat liputan ya." Farid mengingatkan.

"Okey. Menurut arahan!"

Usai membuat liputan, mereka terus balik ke stesen menaiki van stesen. Tiba-tiba Suraya merasakan seakan ada angin sejuk di sebelahnya dan dia merasakan kehadiran Ryzal. Setiap kali Ryzal berada berdekatan, rasa sejuk itu pasti melandai rasa dan menggetarkan hatinya.

"Suraya, saya jumpa topeng tu!" Ryzal memberitahu, suaranya agak cemas.

"Dekat mana?" Suraya ingin tahu, suaranya separa berbisik supaya kata-katanya tidak didengari oleh Farid, Kefli dan Pak Din yang sedang memandu.

BERTEMAN ROH (TELAH TERBIT)Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang