PERISTIWA malam tadi membuatkan Suraya trauma. Namun kerana tugas dia tetap ke stesen. Mana mungkin pula dia meminta pelepasan dengan alasan ternampak hantu. Siapa akan percaya? Paling-paling mereka akan anggap Suraya gila atau terlalu berimaginasi lebih, nanti dia sendiri pula menjadi bahan berita, lagi sadis! Suraya mengarahkan Pak Din menjemputnya di hadapan pintu apartmen pagi tadi kerana terlalu takut untuk keluar rumah. Pak Din yang kehairanan hanya menurut arahan. Sepanjang hari itu Suraya menyibukkan diri, macam-macam tugasan yang perlu diselesaikan.
Menjelang petang, selepas menyampaikan berita warta, Suraya mengemas barangnya untuk pulang. Pak Din yang sudah masak dengan jadual Suraya menghubunginya.
"Waalaikumsalam Pak Din. Suraya dah nak balik ni, tengah turun dalam lif."
"Maafkan Pak Din, Pak Din kena hantar seorang wartawan ke lapangan terbang, penting." Pak Din memaklumkan.
Kata-kata Pak Din itu membuat Suraya kembali resah. Suraya tiba-tiba gementar, tapi kerana faham tugas Pak Din, dia tenang saja membalas. "Okey Pak Din. Nanti Suraya balik naik grab. Jumpa esok. Assalamualaikum," balas Suraya.
"Waalaikumsalam."
Pantas saja tangan Suraya membuka aplikasi grab dan terus membuat tempahan, dia sudah biasa kalau Pak Din ada hal, lagipula bukan dia seorang yang perlu dihantar oleh Pak Din. Kebetulan pula sebaik sahaja Suraya keluar ke pintu utama stesen grab yang ditempahnya sudah siap menunggu. Semakin hampir Suraya ke apartmennya, Suraya semakin risau. Bila saja grab masuk ke kawasan apartmen, Suraya terus berlari mencari lif dan terus masuk ke dalm. Suraya lega bila sampai ke tingkat rumahnya.
"Meow...meow."
"Oh! Mak kau!"
Suraya terkejut apabila mendengar suara kucing yang menyapanya. Suraya lihat ke kanan di sebelah pintu, seekor kucing di dalam sangkar ditinggalkan di tepi pintu dengan sekeping nota. Suraya memandang ke kiri dan kanan, namun tiada sesiapa. Suraya ambil nota tersebut dan membacanya.
Salam, please jaga kucing ni.
Nama kucing ni Tesco. Thanks again...:)
Mahu tergelak Suraya dengan nama kucing tersebut. Nama entah apa-apa. Bagilah nama Pavillion atau KLCC baru kelas sikit, takpun Nicholas Saputra atau Remy Ishak, baru macho! Ini Tesco. Sebab sudah biasa dengan keadaan di mana jiran meninggalkan kucing untuk dijaga kepadanya, Suraya angkat sangkar tersebut dan terus bawa masuk ke dalam rumahnya menuju ke dapur. Dibukanya sangkar itu dan perlahan-lahan kucing gebu berwarna oren menuju ke arahnya. Kemudiannya kucing itu mengigit-gigit tangannya. Suraya faham benar apa yang dimahukan kucing tersebut. Selalunya si Miko kucing di kampungnya berbuat demikian kepadanya hampir setiap pagi. Suraya ke dapur dan melihat apa yang ada di dalam peti sejuk. Beberapa minggu lepas dia ada membeli sedikit barang. Suraya lihat hanya emping jagung dengan susu saja yang agak relevan untuk diberikan pada kucing tersebut.
Bolehlah ni kot, takkanlah mati kucing ni sebab makan bijirin pula. Kata Suraya dalam hati walaupun dia tahu sangat yang makanan itu memang bukan makanan kucing. Tapi nasiblah, kenapa pemiliknya tak tinggalkan sekali makanan bersama ongkosnya? Sekarang bukan semua benda percuma, masuk tandas pun kena bayar 30 sen!
Kemudiannya dia mengambil pinggan dan mangkuk yang tidak digunakan dan memberi makan kepada Tesco. Nasib baiklah kucing itu tidak memilih, dia melahap apa yang ada. Suraya kemudiannya ke ruang tamu dan duduk di situ untuk berehat.
"Meow.. meow."
Suraya terdengar suara Tesco di dapur. "Kucing siapalah tu? Selalu kucing Shira dengan Johan. Shira ada kucing baru ke? Hmm...tak apalah, ada juga teman aku."

KAMU SEDANG MEMBACA
BERTEMAN ROH (TELAH TERBIT)
Mystery / Thriller****NOVEL TELAH TERBIT SEJAK NOVEMBER 2019. DAPATKAN DI KEDAI BUKU BERDEKATAN ANDA POPULAR BOOSKTORE DAN MPH BOOKSTORE. TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN. *** Apa yang anda rasa apabila anda boleh melihat hantu? Takut? Ngeri? Rasa bagaikan anda sentiasa di...