BAB 8: AMANAT

57 2 0
                                    

SURAYA bertugas seperti biasa di stesen. Usai bertugas, mesyuarat bulanan stesen TV diadakan dan Suraya perlu hadir. Seperti biasa Aizat Dato' Hamdan akan mula berucap sebagai ketua rangkaian Media Krista. Media Krista mempunyai banyak rangkaian seperti TV13, TV20 dan beberapa stesen radio. Kesemua stesen ini adalah yang terbaik dalam negara buat masa ini.

"Tahniah buat semua atas beberapa kejayaan kita bulan ini. Beberapa drama dan slot-slot di stesen radio juga menarik perhatian penonton dan pendengar. Adapun mesyuarat kali ini akan membincangkan tentang bagaimana kita memperbaiki mutu rancangan kita bagi menarik minat penonton dan pendengar. Selainnya adalah mengenai beberapa event yang kita anjurkan di setiap negeri bagi memperkenal dan mendekatkan diri kita dengan masyarakat," panjang ucapan Aizat Dato' Hamdan yang didengari hampir 200 orang staf rangkaian Media Krista.

Usai Aizat Dato' Hamdan berucap, ketua-ketua setiap rangkaian televisyen pula akan berucap dan memberi laporan masing-masing. Usai satu demi satu laporan dibentangkan. Maka tibalah untuk ketua stesen TV13 Encik Hussin Hanafiah untuk membentangkan laporannya. Antara semua stesen, TV13 yang paling utama dan mempunyai catatan rating terbaik negara.

"Assalamualaikum semua. Kami berbangga kerana bulan ini beberapa drama, slot-slot khas serta bual bicara mendapat rating yang semakin meningkat. Namun, terdapat juga beberapa slot rancangan yang ratingnya agak turun mendadak. Insya Allah kami akan melakukan sesuatu terhadap perkara ini. Antaranya mungkin menukar pengacara yang lebih dominan dan mesra penonton dan juga promosi."

Suraya dan Suhaimi selaku penyampai berita warta mendengar dan melihat. Pada bulan ini saja, Suraya sudah mula bertugas sekali di Unit Jenayah. Ada juga dia teringin untuk mengacarakan rancangan yang berbentuk jenayah tapi dia tahu, pengacara rancangan itu sudah lama berada dalam rancangan itu dan sering mendapat sambutan menggalakkan setiap kali disiarkan.

"Suhaimi, kau tak bertugas untuk mana-mana department ke?" tanya Suraya pada rakan penyampainya itu dengan suara perlahan.

"Aku ni sesuai baca berita je, mana sesuai dekat mana-mana department. Pernah sekali mereka letakkan aku dekat slot bual bicara pagi. Aku ni lagilah jenis yang kalau awal pagi ada mood. Sebulan percubaan aku awal-awal lagi angkat bendera putih. Lainlah kau, aku tengok bukan main agresif sekarang ni dalam Unit Jenayah tu. Aku cuma nak pesan agar kau hati-hati. Hari tu kau koma sebab kena langgar lari kan?" Suhaimi memandangnya.

"Ya Encik Suhaimi. Insya Allah saya akan hati-hati," balas Suraya. Dia sedia maklum Suhaimi memang lebih sesuai untuk membaca berita sahaja. Lain-lain tugasan bukan tidak boleh, tapi sejak berkahwin lima tahun lalu dan mempunyai seorang anak, kehidupan Suhaimi makin sibuk.

Usai mesyuarat bulanan tersebut, Suraya dipanggil ke sebuah bilik khas. Di sana, para penerbit rancangan berkumpul.

"Suraya, kami nak awak berada dalam bilik khas lima minit lagi boleh? Ada perkara yang kita nak bincangkan." Azila selaku Penolong Pengurus stesen TV13 mengarahkan. Suraya akur.

Kemudiannya Suraya masuk ke dalam bilik khas tersebut. Seramai 10 orang penerbit rancangan beserta pembantu mereka berada di sana.

"Baiklah, ini mungkin terlalu mendadak. Tapi rancangan Ops! Banteras Jenayah akan kehilangan pengacara sebab pengacara akan berhijrah ke luar negara ikut suami. Saya cadangkan agar Cik Suraya Zain yang ganti. Itu hanya cadangan saya." Azila memberitahu cadangannya sambil memerhati semua yang masih berbincang.

"Apa kelebihan Cik Suraya Zain untuk jadi hos rancangan tu? Rancangan Ops! Banteras Jenayah tak ada prompter untuk baca depan kamera." Encik Ali salah seorang penerbit rancangan bersuara mengingatkan bahawa hampir kesemua rakaman slot rancangan itu memerlukan keyakinan dan daya tahan yang cukup tinggi selain kemampuan spontan juga.

"Saya rasa Cik Suraya Zain sesuai untuk ganti pengacara sekarang. Lagi pun, Cik Suraya baru lepas kena langgar lari. Saya masih ingat rating naik mendadak minggu ini sebab berita tu," seorang penerbit menyokong cadangan Puan Azila.

"Kalau macam tu, Cik Suraya, apa kata kami lakukan screen test sekarang. Cik Suraya kena ad-lib sebab rancangan ini bukan seratus peratus bergantung pada skrip." Puan Azila mengarahkan.

Suraya yang masih lagi terpinga-pinga terpaksa membuktikan kemampuannya.

"Awak boleh Suraya! Awak kena ambil tugas ni." Ryzal berbisik kepadanya dan berada di sebelahnya.

Segera Suraya berdiri dan memandang semua.

"Anda bersama saya Suraya Zain dalam rancangan Ops! Banteras Jenayah. Sekarang saya berada di lokasi kejadian tembak menembak yang mengakibatkan seorang orang awam maut di tempat kejadian. Mangsa, Dato' Zakaria Mahmud adalah pengusaha kilang batik di utara semenanjung Malaysia, dikatakan baru sahaja balik daripada menghadiri pertemuan dengan seorang rakan kongsinya. Mangsa maut di tempat kejadian dengan tembakan jarak dekat. Kronologi kejadian ini hampir sama dengan kronologi kejadian tembak dua minggu lalu. Pihak polis percaya kes ini bermotifkan rompakan. Mengikut Kanun Keseksaan Seksyen 302, penembak boleh dihukum mandatori gantung sampai mati jika didapati bersalah. Saya Suraya Zain, melaporkan dari lokasi kejadian!"

Tegas dan teratur Suraya menyampaikan setiap bait perkataan. Walaupun intonasi lebih kurang semasa Suraya membaca berita, namun kerana berita jenayah spontan tersebut membuatkan semua yang berada di sana senang dengan personaliti Suraya sebagai penyampai muda dan berbakat besar. 30 saat kemudian, kesemua yang berada di dalam bilik khas itu bertepuk tangan.

"Saya setuju dengan perlantikan Cik Suraya Zain sebagai pengacara baru rancangan Ops! Banteras Jenayah. Saya percaya personaliti dia sesuai dengan rancangan tersebut dan dia memang dikenali ramai. Lagi pun, dia masih muda dan nampak sangat berani," seorang penerbit membuat ulasan.

Semua bercakap sesama sendiri.

"Kalau macam tu senang macam ni. Siapa setuju kita angkat tangan." Puan Azila memberi cadangan lagi. Kesemuanya berlaku dengan sangat pantas.

Kesemua penerbit rancangan mengangkat tangan. Suraya agak terkejut. Nampaknya dia mempunyai tugas lebih di stesen itu nanti. Tapi memandangkan dia mungkin akan turun padang bersama polis serta ke lokasi kejadian, ini adalah satu kelebihan buat Suraya. Apapun, Suraya memang bersiap sedia dengan semua itu. Ryzal yang turut berada dalam bilik khas tersebut senyum memandang Suraya. Suraya juga senyum kepadanya kembali. Sebenarnya kalau bukan kerana Ryzal yang memberinya kata-kata semangat tadi, dia pun mungkin gugup.

Ada gunanya hantu ni dekat sini, boleh jadi cheerleader! Gumam Suraya sendirian sambil memandang Ryzal penuh makna.

Tiba-tiba Suraya rasakan telefon bimbitnya bergetar. Suraya agak ada pesanan yang masuk. Segera dibukanya telefon bimbit itu sambil mendengar perbincangan Puan Azila dan kesemua penerbit rancangan. Dibacanya pesanan ringkas itu dalam hati.

Rama-rama tidak tahu betapa indah dan cantiknya mereka, tidak seperti manusia, namun demikian, keindahan dan kecantikan itu maha menghancurkan.

Suraya tersentak. Apa sebenarnya maksud di sebalik pesanan itu? Apa yang akan berlaku nanti? Suraya pusing. Mahu saja dia membawa telefon bimbitnya ke balai polis, dia mahu mengesan siapa sebenarnya yang menghantar SMS itu kepadanya. Suraya sudah tidak tahan diperlakukan umpama kucing menangkap gajah yang tak mungkin berlaku. Suraya tekad, selepas ini dia akan ke balai berdekatan untuk mengesan nombor tersebut.

BERSAMBUNG...

BERTEMAN ROH (TELAH TERBIT)Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang