Bab 5

2.5K 72 1
                                    

HARI minggu, Arissa memilih untuk lepak di rumah. Selalunya kalau hari minggu, pagi lagi dia sudah menghilang.

Lagi luar biasa apabila dia mengenakan baju kurung kain cotton berbunga halus, sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Baju kurung selalunya dia pakai apabila ada majlis-majlis kesyukuran yang terpaksa dihadiri.

Ini semua gara-gara nak sembunyikan calar di siku dari mummy dan daddy. Kalau mummy tahu, berbakul bebelannya nanti. Mujur juga tak kena dahi, kepala aje yang bengkak sikit sebab terkena pintu kaca tersebut.

Sampai sekarang Arissa masih tak boleh lupa rupa mamat yang menolak pintu dengan laju itu.

Duduk bersimpuh atas sofa di ruang tamu sambil membelek telefon di tangan, tiba-tiba matanya ternampak kelibat lembaga manusia melangkah masuk ke dalam rumah. Siapa lagi kalau bukan Zhariz yang sekarang ini makin kerap datang berkunjung.

"Abang ingat tersalah masuk rumah tadi." Suara Zhariz nada mengusik.

Masuk saja ke situ, dia terkelip-kelip pandang Arissa. Macam tak percaya, gadis yang dia kenal sejak zaman kanak-kanak, yang memang tak suka baju kurung tiba-tiba pakai baju kurung. Macam tak logik.

"Daddy keluar. Kak Yana masih tidur kat atas," Arissa bersuara tanpa mengangkat wajah dari telefon di tangan.

"Abang cari Rissa." Kali ini Zhariz berjaya menarik Arissa mendongakkan wajah. Dia hulurkan senyuman.

Melihat Arissa yang manis berbaju kurung begini, hatinya jadi sejuk, sesejuk udara selepas hujan. Jiwanya tenang, setenang tasik yang tidak berkocak.

"Abang cari orang buat apa?"

Zhariz tarik nafas. Entah! Dia pun tak tahu kenapa dia cari gadis ini. Sebenarnya, dia main redah aje datang ke rumah bapa saudaranya ini. Satu kredit apabila dia memang sudah terlalu biasa di sini. Rumah ini sudah seperti rumah keduanya.

"Bila nak masuk kerja?" Soalan random keluar dari bibir Zhariz

"Tengoklah, bila orang rasa nak masuk nanti."

"Pak Long suruh abang pujuk Rissa cepat-cepat masuk office."

Kening Arissa berkerut.

Pujuk?

Euuwww! Tak sesuai.

Macamlah mereka ni pasangan kekasih nak main pujuk-pujuk. Daddy pun satu, dia baru lagi habis belajar, dah sibuk suruh jenguk pejabat ZNZ Holding tu. Kak Ryana yang sibuk terbang sana sini tak pula disuruhnya.

"So, nak abang pujuk cara macam mana ni? Pak Long dah bagi greenlight." Zhariz kenyit mata, sengaja mahu mengusik.

"Eeee... tak kuasa main pujuk-pujuk." Arissa bangkit berdiri. Langkahnya terus diatur ke arah meja makan. Dia belum sarapan.

Layan Zhariz, boleh buat perutnya seperti ada buih-buih sabun yang berterbangan. Mual tetapi mengasyikkan.

Duduk di meja makan, roti yang sudah dibakar diambil dan disapu butter. Baru sekali gigit, kelihatan Zhariz melangkah masuk dan duduk di depannya.

"Buatkan abang nescafe boleh?"

"Tu, kan banyak lagi air yang bibik buat." Arissa memuncungkan mulut ke arah teko air di atas meja makan.

"Tak nak yang bibik buat. Abang nak Rissa buat, pleaseeee..." Nada merayu sudah keluar dari bibir Zhariz. Terasa meremang bulu tengkuk Arissa.

YANG LUAR BIASAWhere stories live. Discover now