Bab 6

2.4K 72 2
                                    

ZHARIZ dan mummy sudah ke ruang makan tetapi Arissa masih di dapur, menyudahkan kerja membancuh nescafe untuk lelaki itu.

Dengan muk yang semerbak haruman nescafe di tangan, Arissa melangkah perlahan dari ruang dapur untuk ke ruang makan.

Namun, langkahnya terhenti di tengah ruang apabila terdengar suara mummy ketawa. Dia berdiri di situ, diam mendengar.

Sejak dulu, mummy kalau jumpa Zhariz boleh lupa anak sendiri. Tahap kemanjaan Zhariz dengan mummy memang tak boleh dibawa bincang.

Sejak kehilangan mamanya ketika usia 10 tahun, Zhariz memang banyak membesar di rumah ini. Sebab itu dia sangat rapat dengan mummy dan daddy. Lagi pula, rumah ni tak ada anak lelaki.

"Kamu dengan Ryana ni apa cerita Riz? Cuba kamu bertegas sikit, suruh Yana tu stop buat kerja tak berfaedah. Tak ke mana kerja modelnya tu."

Arissa tak jadi melangkah apabila terdengar mummy menyentuh soal Zhariz dan Ryana. Dari topik biasa-biasa terus beralih ke topik yang boleh buat hati Arissa berdebar.

"Biarlah dulu Mak Long, biar dia enjoy puas-puas dulu." Suara Zhariz membalas.

Arissa masih tidak bergerak. Bukan tujuan untuk mencuri dengar tetapi dia tak mahu mengganggu perbualan kedua-duanya.

"Mak long bukan apa, risau tengok korang macam ni. Macam tak ada penyudah. Hari tu bincang kata tunang enam bulan jer. Sekarang dah lajak lama sangat"

"Alaaa... kami muda lagi Mak Long. Tiba masa nanti kami bincang. Janganlah risau."

Kata balas Zhariz buat Arissa sedut nafas dalam.

Jangan risau?

Tapi, kenapa Arissa rasa dia pula yang risau bila mendengar topik tersebut dibicarakan?

Mengelak dari terus mendengar sesuatu yang merisaukan hatinya, Arissa terus memunculkan diri. Muk nescafe diletakkan di depan Zhariz.

Mulanya Arissa ingin ikut duduk di meja makan tersebut tetapi telefon bimbitnya berdering. Selepas mummynya muncul tadi, Zhariz terus pulangkan semula telefonnya.

Tak jadi duduk, Arissa berlalu ke ruang tamu untuk menjawab panggilan Fetty.

"Guess what? Siapa ada dengan aku sekarang ni?" Fetty terjerit nada teruja bila talian bersambung.

Sejak dulu pun Fetty memang begitu. Mudah terhibur dan mudah ketawa. Untuk hal yang kecil pun dia boleh teruja mengalahkan terjumpa berlian empat juta.

"Nur Fatima Anum, aku tak ada mood nak main teka teki." Nama penuh sahabatnya Arissa sebut. Namanya cantik tapi mahu semua orang panggil dia Fetty. Tak agak-agak langsung.

"Adam Khalif."

Arissa terus terdiam sebaik mendengar nama tersebut disebut Fetty.

Adakah Fetty tahu Adam menghubunginya tadi? Atau mereka baru bertemu?

Adam Khalif, satu nama yang sering dikaitkan dengan Arissa Qistina sejak mereka sama-sama menjadi pelajar di MRSM lagi. Ianya bersambung bila Adam memohon untuk Universiti yang sama dan mereka sama-sama berjaya.

Walau belajar dalam bidang berbeza, mereka sering bertemu.

"Dia kata sejak balik Malaysia, kau macam nak menjauhkan diri dari dia, tak layan dia." Fetty bersuara lagi.

"Bila masanya kami pernah dekat? Bila masa pula aku pernah layan dia?" Arissa berhelah. Walhal semua orang tahu dia dan Adam sangat rapat.

Namun, segalanya berubah hanya kerana satu lafaz. Sejak dulu, dia hanya anggap Adam itu sebagai sahabat. Ada garisan di hatinya yang tak mampu Adam langkah.

Adam bukan tidak kacak. Malah lelaki itu boleh disenaraikan dalam 10 lelaki terkacak yang pernah dia kenali. Di zaman belajar, dari MRSM hinggalah sama-sama ke Universiti, Adam sentiasa menjadi perhatian pelajar perempuan.

Adam yang sentiasa ada di mana saja dia berada. Adam yang sentiasa mengambil berat di saat dia perlukan pertolongan ketika di rantau orang. Tapi peliknya, hatinya hanya biasa-biasa saja.

Terkadang dia cuba juga mencari titik rasa di hatinya. Mana tahu ada tersembunyi di celah-celah relung yang berselerak di situ. Namun, sehingga ke hari ini 'rasa itu' tidak pernah ada. Tak pernah ditemui titiknya.

"Dia tu suka kau, takkan itu pun kau tak faham." Fetty sudah bernada geram di hujung sana.

"Biarlah aku terus tak faham. Kalau dah faham nanti, takut semak kepala otak." Nafas Arissa hela panjang.

Kalau boleh dia paksa, memang sudah lama dia paksa hatinya untuk terima Adam. Saat dia hilang mood untuk belajar tatkala tahu yang Zhariz akan bertunang dengan kakaknya sendiri, Adamlah tempat pulihkan kembali semangat yang tersisa.

Tapi peliknya, dia masih tak boleh anggap Adam lebih dari seorang sahabat. Seorang yang sangat memahami hatinya dalam erti kata sebagai seorang teman baik. Tak lebih dari itu.

"Eeee... susah betul cakap dengan kau ni. Nah! Cakap dengan dia sendiri."

"Fetty..."

Senyap.

Hanya deru nafas yang kedengaran. Pasti nafas Adam. Pasti telefon sudah bertukar tangan.

"Rissss..." Suara Adam masuk ke telinga Arissa.

"Adam...." Bicara Arissa termati bila tiba-tiba matanya ternampak Zhariz menghampirinya dan duduk di sofa berdepan dengannya.

"Nanti I call you balik." Itu yang Arissa suarakan bila nampak Zhariz sedang merenungnya.

Kenapalah lelaki ini asyik mengekorinya? Zhariz bagai bayang-bayang yang menakutkan tatkala mereka bertemu.

"Adam lagi?" Zhariz bersuara sinis.

"Dia tak faham ke apa yang abang cakap tadi?" Soalan Zhariz tanya lagi. Mata tak lepas merenung Arissa di depannya.

"Yang abang sibuk pasal orang dengan Adam ni kenapa? Dia tak kacau abang, kan? Dia call pun tak guna telefon abang, kan? Rissa bercakap dengan dia pun tak guna mulut dan telinga abang, kan?" Arissa tembak terus. Bertalu-talu dia beri agar terkesan ke dada Zhariz.

Makin lama dia makin rimas. Zhariz mahukan Ryana sebagai isteri tapi sepertinya lelaki ini mahu menyimpan dia di dalam almari. Semua yang dia buat tak boleh dan tak kena di mata Zhariz.

Apa sebenarnya yang Zhariz mahu?

"Darling, dah lama ke you sampai? Tak cakap pun nak datang pagi ni." Tiba-tiba terdengar suara Ryana.

Serentak Arissa dan Zhariz menoleh ke arah datangnya suara tersebut.

Kelihatan Ryana sedang melangkah ke arah mereka.

Waktu yang sama, Arissa pantas bangkit. Dia tidak mahu berada di tengah-tengah antara kedua-duanya. Semakin pelik sikap Zhariz, semakin kuat Arissa mahu lari jauh.

Tapi hatinya bukan semudah yang otaknya fikir. Setiap kali melihat Zhariz dan Ryana, hati bagai disimbah rasa yang sangat misteri. Dia sendiri tak mampu menjelaskannya.

YANG LUAR BIASAWhere stories live. Discover now