PAGI yang indah, hati Arissa tiba-tiba bagai diketuk kuat tatkala bertembung mata dengan Zhariz.
Sekian lama dia mengelak, sekian lama dia 'larikan' diri, sekian lama dia menolak jauh kehadiran lelaki ini, akhirnya di rumah ini mereka ditemukan.
Sejak kejadian tersebut, dia tak lagi benarkan Zhariz datang melawatnya di Kota London sana. Malah, nombor telefon lelaki ini juga dia block terus. Dan dia agak terkejut bila Zhariz menerima semua itu tanpa berusaha untuk menghubungi atau datang mencarinya.
Jadi, bila tamat pengajian dan pulang ke Malaysia, Arissa fikir semuanya akan jadi mudah sebab dia sudah buang jauh bayangan Zhariz dari mindanya.
Tapi saat ini, bila mata bertentang begini, hatinya diusik dengan mudah. Memang Arissa tahu lambat laun mereka akan bertemu sebab Zhariz akan menjadi abang iparnya. Lagi satu, Zhariz memang bebas keluar masuk ke rumah ini sejak dulu lagi. Dia memang anak buah favorite mummy dan daddy.
"Bila balik?" Santai nada Zhariz bertanya seolah antara mereka tak pernah berlaku apa-apa.
"Dua hari lepas." Malas Arissa menjawab. Langkahnya yang mahu ke dapur terhenti apabila dihalang oleh Zhariz.
"Kenapa abang tak tahu?"
"Kenapa abang perlu tahu?"
Mata saling bertentang saat soalan berbalas soalan. Jika Zhariz boleh berlagak biasa selepas berlaku babak-babak yang tak sepatutnya antara mereka dulu, dia juga boleh berbuat begitu. Anggap saja itu sebagai secret romance yang akan terhapus bersama waktu yang berlalu.
Tetapkan dalam hati yang Zhariz ini adalah bakal abang iparnya.
"Lawa-lawa ni nak ke mana?" soal Zhariz lagi apabila Arissa hanya diam mematung. Atas bawah matanya menilik penampilan si gadis.
"Keluar." Ringkas saja Arissa menjawab dan langkahnya dilencongkan untuk lari dari tubuh sasa Zhariz. Hala tujunya ke dapur. Tiba-tiba dia rasa haus.
"Ke mana?" kedengaran lagi suara Zhariz dari arah belakang. Pasti lelaki itu mengekorinya.
"Jumpa kawan."
"Lelaki ke perempuan?"
Arissa hentikan langkah di tengah laluan ke dapur dan toleh pandang ke belakang. Zhariz Irfan, lelaki yang sudah papa anggap seperti anak sendiri, yang sudah seperti ahli keluarga di rumah ini, berdiri hampir di belakangnya.
Kemudian dia berpusing menghadap Zhariz dan undur selangkah ke belakang. Hampir setahun mereka tidak bersua muka begini, dia sudah terbiasa tanpa lelaki ini. Dan dia anggap Zhariz juga sudah tak kisahkan dirinya.
Tapi kenapa tiba-tiba hari ini Zhariz mahu kembali mencampuri urusan hidupnya?
"Kalau perempuan kenapa? Kalau lelaki kenapa?" Arissa jawab dengan soalan.
Zhariz angkat kening, sekali lagi mata lelakinya meneliti Arissa atas dan bawah.
"Boleh tak cuba pakai sopan sikit?" Nadanya lembut tetapi ayatnya boleh buat telinga Arissa panas dan berasap.
Sekilas Arissa tilik diri sendiri. Atas bawah dia pandang penampilannya. Baby T biru bersama skirt pendek warna merah. Pakaian biasa yang selalu dia pakai ketika di London dulu. Zhariz bukan tak pernah tengok.
Selalu pun kalau musim panas, beginilah pakaiannya. Kalau di rumah, hanya seluar pendek saja. Dan Zhariz pun biasa tengok. Tapi, kenapa dulu tak pernah tegur? Kenapa hari ini tiba-tiba ringan mulut nak menegur?

YOU ARE READING
YANG LUAR BIASA
Non-FictionPertunangan Zhariz dengan Ryana buat Arissa akur yang dia hanyalah seorang adik di mata Zhariz. Apatah lagi bila Zhariz mengaku bercinta dengan Ryana. Ryana itu kakaknya, bermakna Zhariz itu bakal abang iparnya. Tapi peliknya, makin hari perlakuan Z...