Bahagian 2 - Mata Yang Melihat

286 16 3
                                    

Bandar Baru Bangi - 1998

"Kau ni kenapa Fik?"

"Kenapa apa pula?"

"Aku nak tanya kau satu hal, punyalah banyak kedai makan kat Seksyen 1 tu, sedap pon sedap, dekat pula dengan rumah sewa kita, tapi bersusah payah juga nak ke gerai ni", ada nada tidak puas hati dalam pertanyaannya.

"Kalau nak kata sedap sangat tu tak lah 'best in the world', biasa je. Harga pon lebih kurang je, pilihan pun tak banyak" gerutu Combee.

"Jauh pun cukup", sambungnya bagaikan ingin mengukuhkan hujah.

Sudah lama sebenarnya dia hendak meluahkan rasa hati tapi tak kesampaian.

Malam itu dia nekad.

Dia pasti akan mendapatkan jawapan. Hujahnya pasti akan mendapatkan kata putus dan penjelasan yang sebenarnya.

"Cuba kau bagi jawapan yang jitu dan tuntas", bersungguh Combee dengan tidak memberikan pilihan yang lain.

Dia merenung Rafik seumpama pegawai polis merenung orang kena tuduh dalam siasatan.

"Saja", sepatah kata Rafik sambil meneruskan suapan. Satu perkataan yang mematahkan segala harapan dan hujah Combee. Keinginannya untuk meneruskan bicara jadi hancur. Pilihan yang ada ialah meneruskan mengunyah mee goreng basah yang hampir habis itu.

Zul Bulat meneruskan suapan nasi goreng cili padi tanpa mahu masuk campur. Baginya asalkan boleh kenyang dengan makanan halal, harga yang murah, dan boleh diterima tekaknya itu sudah mencukupi. Lagipun mereka bertiga kawan lama. Apa sangat sekadar mengikut pilihan kawan sendiri di mana dia mahu menjamu selera.

Cengkerik terus berbunyi sambil televisyen kecil di kedai makan Pak Haji memaparkan berita jam 8 berkenaan seruan Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Saifuddin Abdullah yang menggesa kerajaan mengisytiharkan tahun 1998 sebagai tahun belanja berhemat sebagai salah satu cara menilai tahap pengorbanan rakyat.

"Kalau aku nak dipaksa berhemat untuk buktikan pengorbanan, maknanya kena makan mee kering dengan air panas dan kicap sajalah," Zul Bulat mengomel sendirian sambil menghirup air suam yang dipesan.

Kriikk...krikk... cengkerik semakin kerap di malam yang masih awal itu.

,........,.........,..........,...........,........,.........,...............................................,..................................

Pekan Kajang

Berpusu-pusu manusia keluar dari panggung wayang. Masing-masing bagaikan puas hati dengan cerita yang baru di tonton sebentar tadi. Cerita hits Maria Mariana 2 lakonan penyanyi terkenal Awie dan Erra Fazira. Ini adalah sequel filem hits Maria Mariana yang mencapai box office dua tahun sebelumnya.

Rafik dan rakan-rakannya berjalan ke kawasan tempat letak motosikal mereka. Dia bukannya minat menonton wayang tetapi inilah bak kata orang, pengaruhi rakan sebaya. Combee yang 'dalam hati ada taman' suka benar mengikuti perkembangan filem dan artis-artis tanahair. Kalau bukan kita siapa lagi nak menyokong filem tempatan katanya.

"Filem kita wajah kita", pernah suatu hari Combee berhujah.

"Erra tu bekas ratu cantik, mana ada wajah macam kau", sengaja Zul Bulat membalas hendak menyakitkan hati. Dia tahu Erra adalah artis pujaan Combee.

Mereka ini ibarat anjing dengan kucing, ada sahaja benda yang hendak dijadikan perbalahan.

"Jom makan, aku lapaqlah," sengaja Zul Bulat menekankan 'q' di belakang. Nak mengejek Combee lah tu.

"Aku on aja", Combee membalas selamba. Sudah biasa sangat dia dengan usikan sebegitu. Lagipun mereka bertiga sudah lama berkawan. Dua tahun di pusat matrikulasi dan sekarang tahun dua di universiti, walaupun Zul Bulat bukan di jurusan yang sama tetapi mereka sama-sama menyewa rumah di Sungai Tangkas bersama dua orang lagi pelajar jurusan Sains Kemasyarakatan.

RAFIK - Sang Gala Raja (Buku 1-Tamat)Where stories live. Discover now