Bahagian 3

205 10 6
                                    

Bandar Baru Bangi - 1998

Alam ghaib.

Tiada siapa yang tahu sebenar-benarnya apa yang ada di sana. Manusia semenjak adanya ketamadunan mempercayai adanya alam ghaib.

Bermula dari zaman tamadun awal Mesir Purba, Indus dan Mesopotamia manusia berusaha untuk berhubung dengan alam ghaib. Ini berlaku sama dengan tamadun-tamadun lain yang ada sepanjang zaman. Malah agama-agama utama dunia juga mengiktiraf kewujudan alam ghaib dan diberikan pelbagai penafsiran.

"Orang Mesir dulu merasakan selain Tuhan, manusia dan haiwan, ada entiti lain yang mendiami dan berinteraksi dengan alam ini", perlahan lelaki bercermin mata dan berdahi sulah itu bersuara setelah menghirup air teh tarik yang dipesan.

Dia lantas menyuap secebis goreng pisang panas lalu mengunyah perlahan .

Suasana petang di Kafe Larizz itu tenang tanpa terlalu banyak pelanggan yang ada. Biasanya kafe yang terletak di tingkat bawah bangunan Unikeb itu hanya sibuk dengan pelanggan yang terdiri dari pelajar dan staff universiti di waktu pagi dan tengah hari sahaja.

"Magic atau sihir bagi masyarakat Mesir Purba bukanlah sekadar helah atau ilusi. Ianya adalah unsur utama kehidupan, dengan memanafaatkan kuasa alam yang mengandungi entiti luarbiasa". Lelaki itu berhenti sebentar sambil membetulkan kedudukan cermin matanya.

"Dengan magic alam ini terbina, mengekalkan rutin seharian, menyembuhkan yang sakit, memberi kepada yang tiada dan menganugerahkan keabadian hidup selepas mati", panjang lebar penerangan lelaki itu.

"Pendek kata, bagi mereka magic adalah segalanya", bagai memberikan rumusan kepada pernyataan dia tadi lelaki itu mengambil tisu lantas mengelap mulut yang sedikit berminyak.

"Jadi masyarakat purba sudah lama mengenal sihir?", Combee agak gelojoh menyoal. Dia juga sebenarnya berminat dengan perkara ghaib dan paranormal ini.

"Ya", pendek lelaki itu menjawab sambil sambil menghirup lagi teh tariknya.

Combee membuat muka tidak puas hati sambil memandang Rafik di sebelahnya.

Abang Rafi, lelaki bercermin mata tersenyum nipis. Dia ialah pelajar doktor falsafah di universiti itu yang kebetulan sepupu kepada Combee. Dia membuat kajian berkenaan hubungan kebudayaan masyarakat Melayu dengan tamadun-tamadun awal dunia.

Padanlah pengetahuannya agak mendalam berkenaan masyarakat purba.

"Sabarlah Combee, biar Abang Rafi terangkan", tegur Rafik.

Abang Rafi membuka buku nota kecil dari koceknya sambil menyelak beberapa halaman. Mungkin itu nota dari kajiannya.

"Pakar sejarah mendapati orang Mesir melukis atau mengukir dewa-dewa yang baik, ada yang dibuat dalam bentuk patung atau tangkal, ada yang dipanggil Bes."

"Dewa yang jahat akan diterangkan dalam bentuk tulisan sahaja. Mereka yakin jika diberi bentuk kejahatan itu bisa mempengaruhi kehidupan mereka," yakin Abang Rafi menjelaskan.

"Masyarakat Mesir Purba ni ada banyak dewa. Antara yang paling berkuasa ialah dewa Heka iaitu dewa sihir dan perubatan."

"Kalau dewati Ma'at dikenali sebagai dewati keseimbangan dan keharmonian maka dewa Heka ialah kuasa yang membolehkan keseimbangan, keharmonian dan segala aspek kehidupan itu wujud."

"Bak kata Heka sendiri yang para arkeologis dapati diukir pada Coffin Texts,
"Pada Akulah empunya alam cakrawala sebelum para dewa wujud. Kamu semua wujud kerana adanya aku, Heka".

"Senang kata, dunia ini berjalan dan berfungsi kerana adanya para dewa, dan para dewa memperoleh kuasa untuk mentadbir alam ini dari Heka", Abang Rafi menutup nota kecilnya lalu dimasukkan ke dalam poket baju.

RAFIK - Sang Gala Raja (Buku 1-Tamat)Where stories live. Discover now