1983 - Sentul"Kadangkala risau saya tengok si Rafik tu", Hamizan mengeluh lemah.
"Kenapa Zan?", Pak Tua Mat melabuhkan duduknya di pangkin kayu panjang berhadapan Hamizan.
Angin petang menghembus perlahan. Dua tiga helai daun ketapang tua gugur di bawa angin ke tepi jalan kampung.
Dua meja kayu panjang bersama pangkin di kedua bahagian meja sengaja Pak Tua Mat dirikan untuk orang kampung duduk-duduk sambil menjamu laksa yang dijualnya.
Kebanyakan orang kampung akan bungkus dan bawa balik makan di rumah bersama keluarga. Tetapi kadangkala ada yang sengaja berjalan mengambil angin atau sekadar menonton anak muda bermain sepak takraw di gelanggang yang dibina di seberang jalan berhadapan rumah Pak Tua Mat.
Hamizan menghirup perlahan kuah laksa di hadapannya.
"Selepas peristiwa dia hilang dulu, makin kerap saya dapati dia bercakap seorang diri", Hamizan melepaskan keluhan di dadanya.
"Bila ditanya, dia kata kawan".
"Bila ditanya kenapa tak nampak, dia balas sebab kawan dia bukan manusia", Hamizan menggosok-gosok lengannya yang terkena kuah.
"Buntu saya Pak Tua."
"Tak apalah Zan, nanti Pak Tua tengokkan. Kalau kau izinkan, jika hari tidak bersekolah suruh Rafik jumpa aku" Pak Tua meminta izin.
"Anak kau ni istimewa Zan. Tak ramai yang diberi anugerah seperti dia. Aku cuba untuk bimbing dia mengikut ilmu yang aku ada. Sementara itu boleh juga ajar serba sedikit ubat-ubatan Melayu, mungkin dia berminat. Sementara itu aku boleh cari punca siapa yang dia selalu jumpa."
"Namun bila dia sudah pandai berfikir nanti, perlu dibimbing oleh cerdik pandai agama," Pak Tua Mat meneruskan dengan bersungguh-sungguh.
"Baiklah Pak Tua, terima kasih", Hamizan penuh dengan harapan.
1989 - Sentul
"Kau dah pastikan semua barang-barang ada?" Pak Tua Mat bertanya sambil terbatuk-batuk kecil.
Sejuk malam menambah rasa perit di tekaknya. Sudah dua hari dia batuk dan demam. Kalau diikutkan malas dia nak mengubat malam itu.
Mengubat orang ini bukan sahaja memenatkan tetapi kadangkala akan menyebabkan badan sakit-sakit. Tapi digagahkan juga sebab niatnya untuk membantu orang dalam kesusahan. Lagipun petang itu dia sudah makan jamu bersama madu lebah tualang. Biasanya sakit demam akan beransur kebah dengan petua ini.
"Sudah Tok, semuanya ada dalam dulang tu", Rafik membalas perlahan.
Biasanya Idris akan membantu dia menyediakan bahan-bahan. Tetapi malam itu Idris terpaksa bekerja menggantikan rakannya yang ada kecemasan di kampung.
Maka dia meminta kebenaran Hamizan supaya Rafik menemaninya. Bukan jauh pun, hanya di kampung seberang sungai sahaja. Dengan motosikal buruknya tak sampai sepuluh minit dari rumah Hamizan.
Lagipun Rafik sudah kerapkali mengikutinya, jika dia mengubat pada hujung minggu. Bukan sahaja di sekitar Kuala Lumpur, malah sampai ke Semenyih, Puchong dan Sungai Buloh.
Kalau jauh biasanya Idris akan memandu kereta Datsun 120y miliknya.Pak Tua Mat menjeling dulang yang disediakan. Malam itu tidak memerlukan bahan yang banyak. Bukannya dia hendak berubat besar sehingga memerlukan kemenyan dan bertih. Malah kadangkala dia perlukan lengkuas dan mayang kelapa. Setiap sakit ada perkakas tertentu yang diperlukan.
Malam itu dia hanya ingin menentukan apa jenis penyakit supaya mudah menentukan ubatnya.
YOU ARE READING
RAFIK - Sang Gala Raja (Buku 1-Tamat)
HororPertembungan dunia nyata dan ghaib telah ada sejak terciptanya Adam yang dicemburui oleh Sang Terlaknat. Sebagaimana ada kebaikan dan kejahatan di dunia manusia, wujud juga kebaikan yang tersisa di dunia jin mencabar hegemoni kuasa Sang Terlaknat da...