Bandar Baru Bangi - 1998
Imbas kembali....
Entiti berlapan tadi sudah bertukar rupa. Pakaian mereka dari kulit haiwan dan daun-daun kelapa yang dianyam. Di tangan mereka masing-masing ada senjata. Ada yang memegang tombak, parang dan kapak.
Lagak umpama para pahlawan kaum asli.
Garang dan bengis.
Tiada tanda ingin berunding.
Mereka mengelilingi Rafik dengan langkah perang.
Bersedia untuk menyerang.
sambungan
Hutan kecil itu kelihatan meredup.
Hari seperti pagi hari tetapi tidak kelihatan pancaran matahari.Kedengaran bunyi burung-burung dan mergastua. Sama seperti hutan di alam nyata.
Hanya suasananya nyaman tidak panas.
Sedangkan di alam nyata tadi hari hampir menuju ke senja.
Air sungai mengalir menimbulkan bunyi yang harmoni.Namun suasana aman hutan itu bertentangan dengan perasaan Rafik sekarang.
Lapan remaja kaum asli dengan lagak pahlawan sedang mencabarnya.
Rafik gugup.
Resah dalam siaga.
Adakah aku telah tersilap. Mencederakan sebelum bertanya.
Menyerang sebelum menyapa."Siapa kamu? Kenapa mengganggu manusia di alam nyata?" Rafik cuba berkomunikasi.
Tiada sahutan.
Mereka melangkah ke hadapan mengelilinginya. Rafik berada dalam jarak serangan. Jika mereka menyerang serentak tentu Rafik akan tewas.
Lapan lawan satu bukan nisbah yang seimbang.
Perlawanan entiti halus dengan manusia nyata bukan ketangkasan fizikal yang akan menentukan juara.
Rafik berhadapan dengan entiti yang kelihatan ada luka di tubuhnya. Dia yakin itulah entiti yang menjelma awal tadi. Yang tadinya disiram dengan garam yang didoakan.
Sambil itu matanya melingas ke kiri dan kanan berwaspada.Langkah gayong yang diamalkannya dibuka. Kaki dipasak kemas. Tangan bersedia menepis atau menyerang.
Tiba-tiba entiti di hadapan Rafik bersuara.
Patah perkataan yang tidak difahaminya.
Ada kedengaran seperti bahasa kaum asli. Namun suaranya bergumam di dalam mulut. Antara dengar atau tidak.
Komunikasi yang gagal.
Hentam.
Entiti di sebelah kanan tiba-tiba melompat sambil menghayun kapaknya tepat menuju ke kepala Rafik.
Rafik mati langkah dengan serangan pantas itu kerana perhatiannya telah terpesong. Dia hanya mampu mengangkat tangannya untuk melindungi kepala.
Jika cedera pun hanya tangan.
Kalau kena kepala pasti mati.Jika cedera atau mati di sini, adakah akan memberi kesan juga di alam nyata? Sekilas fikiran itu melintas ketika dia berada di saat-saat genting ini.
Aku belum kahwin lagi, janganlah mati. Graduasi pun belum.
Sudah.
Adakah orang yang akan mati memang memikirkan perkara yang tidak berkaitan?Rafik melihat kapak yang menuju ke kepalanya bagaikan melekat ke dinding. Mata kapak hanya beberapa jengkal dari kepalanya sedangkan hulunya terlekat bagaikan dipegang dinding aura.
YOU ARE READING
RAFIK - Sang Gala Raja (Buku 1-Tamat)
HorrorPertembungan dunia nyata dan ghaib telah ada sejak terciptanya Adam yang dicemburui oleh Sang Terlaknat. Sebagaimana ada kebaikan dan kejahatan di dunia manusia, wujud juga kebaikan yang tersisa di dunia jin mencabar hegemoni kuasa Sang Terlaknat da...