Kuala Lumpur - 2006
Suasana malam itu tenang dengan bulan penuh bersama cahaya yang gemilang.
Gerai burger di tepi jalan itu hanya akan tutup pada pukul 2 pagi. Itupun setelah kelab dangdut berhampiran tutup dan pelanggan kelab akan keluar dan singgah membeli burger untuk mengalas perut. Biasa juga dua tiga orang GRO bungkus burger untuk dibawa pulang.
Hari sudah larut malam. Jam menunjukkan hampir pukul 12 malam tetapi di bandaraya Kuala Lumpur masih ada lagi manusia berkeliaran dengan urusan masing-masing.
Di tepi jalan terdapat dua orang pekerja pembersihan masih menyapu sampah. Di tong sampah berhampiran seorang lelaki tua berpakaian kusut masai dengan beg plastik besar sedang menggeledah mencari tin aluminium.
Sedari tadi Rafik duduk di meja bulat sambil menjamah perlahan burger yang dipesan. Hanya ada dia dan seorang pemuda lain pelanggan di gerai tersebut. Tuan punya gerai hanya duduk sahaja sambil bermain games di telefon bimbit Nokia kerana tidak ada pesanan lain.
Setelah habis belajar, Combee pulang ke Pulau Pinang membuka perniagaan sendiri. Dengarnya dia telah berkahwin dengan Munirah dan mempunyai seorang anak. Zul pula bekerja dengan syarikat minyak terkemuka dan kini di Sarawak. Ajib dan Fahmi dia tidak pasti namun kali terakhir terdengar berita mereka mengambil KPLI.
Rafik pula masih lagi tinggal di Kuala Lumpur menjaga ibunya setelah bapanya meninggal dunia setahun setelah dia tamat belajar.
Dia membuka syarikat percetakan bersama rakan sekampungnya. Kadangkala di waktu malam dia akan menolong Abang Idris mengubat.
Salah seorang pesakitnya yang membawa dia ke sini. Lebih tepat lagi, beberapa siri rawatan yang dilakukan memberi petunjuk puncanya adalah dari orang yang dia sedang intip.
Beg yang disandang melintang di bahunya dibetulkan beberapa kali. Rafik membuat persiapan yang teliti. Beberapa barangan untuk mempertahankan diri dan juga untuk mengubat ada di dalam beg sandangnya.
Kisahnya bulan lepas dia sudah pernah ke sini. Kedai burger itulah juga tempat dia memerhatikan sekitaran. Di situ dia melihat sendiri kehebatan seorang pawang.
Sekumpulan pemuda membuat kacau dengan aksi-aksi motosikal yang berbahaya sehingga hampir mencetuskan pelanggaran dengan sebuah kereta mewah putih yang mahu ke hotel berhampiran.
Seorang penunggang motosikal terjatuh akibat insiden tersebut menyebabkan kumpulan tersebut tidak berpuas hati dan cuba menyerbu orang dalam kereta mewah itu.Seorang lelaki berumur lima puluhan tahun keluar dari pintu belakang kereta manakala seorang bertubuh tegap keluar dari bahagian pemandu.
Dari anggapan Rafik lelaki lebih tua itu seorang pawang. Karakternya menepati imaginasi Rafik. Orang itu berpakaian serba hitam dengan tutup kepala kuning. Jari jemari di kiri kanan tangannya penuh dengan cincin-cincin berbatu pelbagai warna.
Kehebatannya memang terserlah.
Hanya menggunakan isyarat menggunakan jari telunjuk dan ibu jarinya menyebabkan salah seorang pemuda bermotosikal yang berjarak lebih sepuluh meter itu berguling sambil memegang leher tidak dapat bernafas. Mukanya mula kemerahan.Seolah ada sesuatu mencengkam lehernya.
Jika lebih lama pasti mati.Lelaki tua itu menurunkan tangannya lantas berpusing ke arah hotel. Cekikan maut jarak jauh dilepaskan.
Sambil itu sempat dia menjeling seimbas ke arah Rafik. Suatu getaran amat hebat dirasakan oleh Rafik bila mata mereka bertembung. Walaupun hanya sekilas cuma namun kesannya menyebabkan dada Rafik berdegup kencang dan kakinya seolah kaku.
Mengikut kata Israng hanya ada tiga orang sahaja pawang yang ada di Nusantara ini. Seorang di Borneo, seorang di Malaysia dan seorang lagi ada di Australia. Katanya pawang yang ada di Malaysia ni hanya akan berada sekejap-sekejap sahaja di sesuatu tempat.
YOU ARE READING
RAFIK - Sang Gala Raja (Buku 1-Tamat)
TerrorPertembungan dunia nyata dan ghaib telah ada sejak terciptanya Adam yang dicemburui oleh Sang Terlaknat. Sebagaimana ada kebaikan dan kejahatan di dunia manusia, wujud juga kebaikan yang tersisa di dunia jin mencabar hegemoni kuasa Sang Terlaknat da...