~not-edited~
BAB 2
Aku pandang langit yang mula memerah itu. Tak lama lagi, merah akan jadi hitam. Dan hitam pekat itu kalau bertuah bakal dihiasi dengan taburan bintang-bintang dan bulan. Tapi melihatkan cuaca sekarang, aku tak rasa semua itu bakal terjadi. Malam mungkin suram.
Sesuram hatiku sekarang. Aku masih sama. Berjalan ke sana sini berpandukan peta di tangan. Sesekali berhenti untuk melepaskan lelah. Meskipun di sekelilingku punya ramai umat manusia, tapi aku rasa sangat terasing. Bagai rusa masuk kampung. Atau lebih tepat lagi, rusa masuk Europe.
Susah hati. Rasa nak menangis.
Aku kini berada di Catania, Sicily. Beberapa jam yang lepas, aku dan Sharifah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Catania. Walaupun penat penerbangan hampir sepuluh jam belum hilang, tapi kami tolak ke tepi semuanya. Terus ambil peluang untuk berjalan-jalan di sekeliling kota Catania ditemani oleh Alicia.
Alicia merupakan rakan sekuliah kami yang berbangsa Amerika-Latin. Cuti musim panas kali ini katanya mahu dihabiskan di rumah mak saudaranya yang terletak di Palermo, Sicily. Bila dia tahu rancangan kami, dia ajak kami ikut dia.
Aku dan Sharifah pula apa lagi? Memang pucuk dicita, ulam mendatanglah. Boleh jimat bajet tempat penginapan. Alicia juga boleh menjadi Cik Google Translator memandangkan memang di sini mengagungkan bahasa ibunda mereka.
Tiket penerbangan kami adalah dari Lapangan Terbang East Midlands ke Lapangan Terbang Antarabangsa Catania. Habiskan masa dulu dengan mengenenali kota Catania sebelum bertolak ke Palermo dengan menaiki kereta api. Catania ke Palermo agak jauh juga. Perjalanan memakan masa selama empat jam.
Tapi, rancangan tinggal rancangan. Atau itu hanya diaplikasikan untukku seorang. Sebab apa? Sebab aku sekarang ni tak tahu aku berada kat mana.
Ya, anak-anak! Aku sesat.
Aku tak tahu di mana silapnya. Rasanya tadi kami mahu menaiki van untuk ke stesen kereta api. Aku berlalu untuk ke tandas sekejap. Dan bila aku balik, tengok-tengok van itu dah hilang. Kat situ jugak aku rasa nak berlagu sendu. Aku tak tahu mereka berada di mana sekarang.
Rasa nasib bertambah malang bila aku keluarkan telefon dan skrinnya gelap. Ditekan-tekan home button dan power button, tapi masih sama. Sudah wassalam daa! Gara-gara teruja mengambil gambar dan video pengembaraan, tak sedar bateri dah habis. Hilang sudah satu-satunya medium untukku menghubungi Sharifah atau Alicia.
Mahu bertanya orang sekeliling, dah tentulah bahasa yang menjadi penghalang. Dah lima orang aku tanya sama ada tahu Bahasa Inggeris atau tak, semua jawab tak. Agaknya memang nasib malangku tak bertemu orang yang pandai berbahasa Inggeris. Sudahnya aku mengalah. Daripada jadi ayam bercakap dengan itik, baik aku usaha cara lain, kan?
Tulah Rissa, lepas ni Shahril campak tepi, kau cari pakwe Itali, okey?
Pandang langit lagi. Makin susah hati bila hari bertambah gelap. Serius hilang harapanku! Mana aku nak tidur malam ni? Aku sehelai sepinggang sebab bagasiku ada bersama Sharifah dan Alicia. Hanya ada beberapa Euro di tangan. Nak bayar hotel pun tak lepas aku rasa. Takkanlah nak tidur tepi longkang kut? Sadis sungguh!
Ya Allah, apa aku nak buat ni?
-----
Aku berdiri di depan sebuah kedai yang baru ditutup. Berlindung daripada renyai hujan yang dah mula turun. Tak lebat. Tapi boleh basah juga kalau berlama-lama. Nampak gayanya nasib malang tak habis-habis menimpa.
Aku peluk tubuh sendiri bila terasa angin bertiup. Sejuk menggigit kulit. Kiri kanan aku pandang. Kawasan itu makin sunyi sebab banyak kedai dah ditutup. Mungkin kedai-kedai di sini hanya beroperasi pada siang hari.
YOU ARE READING
ROSE'S [PREKUEL DHEO'S]
RomanceSebuah prekuel novel Dheo's by Anjell Dheo Han X Nurissa Rose