5 nasihat emas dari otai yang kembali.
Suatu ketika, aku duduk dan mengeteh bersama seorang otai lama. Dia dulu terkenal dengan kejahatan.
Minum arak, kaki disko, berjudi, hisap dadah dan sebagainya. Namun kini, solatnya di masjid, semua benda haram dia tinggalkan.
Aku bertanya macamana dia mampu berubah secara drastik dan meninggalkan semua benda tak elok. Tambah-tambah pengaruh dadah yang berpuluh tahun beliau guna pun berjaya ditinggalkan sepenuhnya.
Dengan tenang dia berkata,
"Cikgu. Pertama sekali kita kena tanya pada diri;
'Sampai bila aku akan hanyut begini?'
'Sampai bila aku hendak terus bergelumang dengan dosa?'
'Sampai bila aku hendak orang memandang buruk pada aku?'
'Sampai bila aku hendak memalukan diri, keluarga dan ibubapa aku?'Lontarkan pertanyaan itu dalam diri, kemudian carilah sebab untuk berubah. Cari sebab paling besar yang mampu kuatkan hati kita untuk cekal dan tabah.
Tatap mata anak-anak kita dan fikir apa akan jadi pada mereka jika kita ke penjara. Renung wajah isteri kita yang sabar dan tabah melayan kita yang seringkali menyusahkan dia.
Ingat pula ibubapa kita. Bayangkan betapa sedih dan kecewa mereka dengan apa yang kita lakukan selama ini. Dan yang pasti, ingat nyawa kita ini tidak kekal lama.
Setelah itu lakukan perkara ini,
1. Tukar nombor telefon serta merta. Jangan lagi berhubung dengan kawan-kawan yang sama perangai dengan kita.
Kadang kita dah cuba berubah, namun ajakan kawan-kawan itulah membuat kita tewas. Tukar nombor telefon, jangan bagitahu kat sesiapa melainkan ahli keluarga terdekat.
2. Putuskan hubungan dengan dunia luar. Jangan lagi keluar melepak, jangan lagi keluar mengeteh bersama sesiapa. Sebaik melangkah keluar rumah, godaan akan ada di mana-mana.
Pergi kerja, pulang terus ke rumah. Jangan singgah di mana-mana. Tolak semua ajakan kawan-kawan yang ajak kita keluar. Biarlah orang nak kata kita macam perempuan ke, takut bini ke apa.
Terus pulang rumah dan layan anak isteri kita. Walau bosan macamana, jangan keluar rumah. Saya lebih 2 tahun tak keluar melepak dengan sesiapa.
Bukan kita sombong, tapi kita nak menahan diri dari godaan sekeliling. Penagih ni tak kuat. Senang terpengaruh.
3. Duit gaji terus serah semua pada ibubapa atau isteri kita. Cuma bawa untuk kegunaan semasa RM10 atau RM20 sahaja sehari. Minta setiap hari dengan mereka.
Bila duit ada banyak kat tangan ni, otak mula panjang. Mula nak berjudi, mula nak beli dadah, mula nak lalai. Bagi orang yang amanah dan kita percaya pegang duit gaji kita.
Biarlah macam budak-budak sekolah pun, terpaksa minta duit belanja hari-hari, namun ianya sangat berkesan untuk mengawal nafsu diri.
4. Solat berjemaah. Inilah kunci paling besar yang merubah hidup saya. Solat itu mampu mengubah diri. Solat mampu mengawal nafsu kita, mampu membuat kita rasa cukup dengan apa yang ada.
Nak mula solat, akan hadapi sangat banyak ujian. Rasa malas yang sangat. Bahkan, solat ini perlu sempurna baru ia dapat mengubah kita. Solat yang tak sempurna, buat dengan terpaksa, bacaan yang tak kena, payah untuk jadi pendinding yang baik.
Maka solatlah berjemaah. Apa-apa kekurangan dalam solat kita, imam yang akan tanggung. Dalam masa itu belajar untuk solat dengan sempurna. Sempurnakan bacaan, sempurnakan tajwid, sempurnakan setiap rukun dan tertib dalam solat.
Kita solat sendiri, banyak kekurangan yang tidak boleh ditampung oleh sesiapa. Kita akan rasa cepat give up, mula kembali malas untuk solat.
Kunci utama, solatlah berjemaah. Pergilah ke masjid yang jauh dari rumah. Yang orang tidak kenal kita.
Jika masjid berdekatan, pasti akan ada yang memandang serong dan menyindir pula. Saya pernah disindir kerana sebelum ini tidak nampak muka di masjid, orang masjid pula yang menyindir,
'Ni datang masjid ada apa-apa ke? Kalau tabung masjid hilang, aku cari kau.'
Memang rasa down. Memang rasa nak marah. Memang rasa tak nak lagi melangkah ke masjid.
Jadi untuk elak fitnah dan kecaman orang, kitalah kena keluar dari kampung hanya untuk solat berjemaah. Kita kena mengalah, kerana kita hendak berubah.
5. Akhir sekali, cari kawan-kawan yang baik-baik. Kawan yang sentiasa mengingatkan kita tentang kematian. Yang mendekatkan kita dengan hal agama dan mampu membimbing kita ke arah kebaikan.
Kawan-kawan begini akan dijumpai di masjid. Percayalah, jika kita istiqomah ke masjid, Tuhan akan hantar kawan-kawan baru yang baik untuk berkawan dan membimbing kita.
Cubalah untuk istiqomah solat berjemaah 5 waktu di masjid. Amalkan paling kurang 40 hari. 40 hari pertama penuh ujian dan cabaran. Terasa malas dan tertekan. Selepas itu, semuanya akan jadi ringan."
Panjang lagi beliau bercerita. Tentang ujian semasa hendak berubah, tentang pandangan serong masyarakat, tentang bagaimana dia dilayan buruk semasa ingin berubah.
Namun 5 point inilah yang paling penting dalam isi perbualan kami.
Aku tulis di Facebook ini agar ia menjadi panduan kepada kawan-kawan yang ingin sangat berubah, namun tidak tahu bagaimana hendak bermula.
Kawan. Hidup kita singkat. Cukuplah dengan segala kelalaian yang pernah kita buat. Sesungguhnya pintu taubat itu tidak pernah tertutup walau apa pun dosa yang melekat.
Kuatkan semangat. Teruslah bertekad. InsyaAllah suatu masa kalian juga akan mampu mengubah diri ke arah kebaikan.
Sebarkan tulisan ini agar lebih ramai orang dapat jadikan panduan. Agar lebih ramai yang cuba berusaha berubah ke arah kebaikan.
Begitulah.
#MFS
- Jangan pernah memandang hina kepada orang yang pernah terlalai dan terleka. Suatu masa, mungkin darjat mereka jauh lebih tinggi dari kita.#copypaste
#sharingcaring
YOU ARE READING
Ok Noted!
SpiritualitéHanyalah sebuah buku nota yang berisi segala hal yang ingin saya ingat selalu.