2

12 1 0
                                    

Sesampainya di rumah, Gareth dengan segera mendapatkan ayahnya yang sedang membaca surat khabar di luar rumah. "Ayah tak kerja ke harini?" Soal Gareth sebaik menghampiri ayahnya, Encik Abraham yang tengah kusyuk membaca. "Ehh Jay, awal balik harini." Soalan Gareth sebentar tadi tidak terus dijawabnya. "Harini satu paper saja. Ayah tak kerja ke?" Ulang Gareth sekali lagi. Ayahnya mengalami sedikit masalah pendengaran, sebab itu kadang-kadang dia tidak dapat mendengar dengan jelas percakapan orang sekelilingnya. "Ohh, harini ayah ada temu janji dengan doktor pagi tadi." Jelas ayahnya lalu melipat surat khabar yang dibacanya tadi. "Ayah, urmm.. Jay nak minta izin dengan ayah, nak bawa van putih ayah esok. Jay dengan kawan-kawan nak pergi berkhemah esok pagi. Boleh?" Gareth menyampaikan hasrat hatinya. "Nak berkhemah dekat mana?" Soal Encik Abraham. "Dekat Air Terjun Batu Besar." Jawab Gareth dengan ikhlas. "Uishh, jauh juga tu. Nah, ini kunci. Bawa elok-elok, awak tu masih lesen P lagi." Tanpa banyak soal, ayahnya menghulurkan kunci van dan memberi sedikit peringatan. Gareth mengambil kunci dari tangan ayahnya sambil tersenyum gembira. "Terima kasih ayah." Ucap Gareth, lalu memeluk tubuh tua ayahnya itu. Orang tua Gareth sangat baik hati, dan peramah. Oleh sebab itu, mereka sangat disenangi oleh sahabat-sahabat Gareth kerana mereka dilayan seperti anak sendiri oleh orang tua Gareth.

Jeffrey yang baru sahaja sampai rumah, meletakkan beg sekolahnya di atas meja, lalu membaringkan tubuhnya di atas katil. "PANAS..!!!" Teriak Jeffrey di dalam bilik. "Ohh api panas..panas..ehh" Ibunya, Puan Lolita yang sedang memasak terkejut mendengar teriakkan Jeffrey. Jeffrey yang berada di dalam bilik hanya tertawa geli hati mendengar ibunya melatah. "Bertuah punya budak. Aku hempuk dengan kuali panas ni baru tau." Teriak ibunya setelah rasa terkejutnya reda. "Awal kau balik harini Jef?" Soalnya lagi. Jeffrey yang masih ketawa di biliknya, bangun dan melangkah keluar menuju ke dapur. "Paper terakhir mak. Satu je." Ujarnya lalu mengambil sebotol air sejuk di dalam peti ais. "Mak, esok Jef pergi berkhemah dengan kawan-kawan." Kata Jeffrey sambil membawa botol air sejuk itu ke meja makan dan menuangkannya ke dalam gelas. "Hurmm.. Lama ke?" Puan Lolita menyoal kembali. "Mungkin 3 hari, 2 malam kot." Balas Jeffrey. "Petang ni Jeff nak keluar dengan kawan, beli barang sikit." Sambungnya kembali lalu meneguk habis air sejuk yang dituangkannya tadi. "Elok-elok berkawan. Jangan nak buat benda yang tak baik pula." Ibunya memberi kebenaran dan sedikit nasihat buat anak bujangnya itu. "Ok mak. Jeff nak mandi dulu." Sebaik mendapat kebenaran dari ibunya, Jeffrey dengan segera melangkah keluar dari dapur untuk pergi bersiap. Ibunya hanya menggelengkan kepala melihat tingkahlaku anaknya itu, kemudian menyambung kerjanya semula.

Pukul 2 petang, mereka sekawan berkumpul di tempat yang telah dijanjikan. Gareth yang baru sampai menggunakan van putih ayahnya itu menjadi tumpuan mereka semua. "Wahh, hebatlah kau boleh bawa kereta besar macam tu." Regina kagum dengan kebolehan Gareth memandu kereta yang dikiranya agak besar berbanding kereta biasa. Gareth yang mendengar pujian tersebut terus membuat muka bangga yang mengada. "Best lah kau. Aku nak kayuh basikal pun masih tak reti lagi." Puji Regina lagi sambil membuat muka simpati. "Nak reti macam mana, kalau kaki pun tak sampai." Seloroh Samuel, lalu tertawa besar memerli Regina yang sememangnya bertubuh agak kecil berbanding sahabatnya yang lain. Walau begitu, dialah yang merupakan sahabat perempuan yang paling mereka senangi kerana sikapnya yang masuk air dengan perangai mereka semua. "Cakap tu heelokk sikit nyer. Kau tu apa kurangnya, muka bergerutu ada hati nak jadi playboy." Balas Regina menyindir Samuel kembali, sambil membuat muka tidak puas hatinya. "Gerutu.. gerutu aku pun, ada lagi yang nak tau. Kau tu, dah lah kontot, tangan pun macam Barney." Samuel seakannya tidak mahu kalah dengan ejekkan Regina, lalu membuat aksi seolah-olah tangannya pendek. "Aku pendek pun masih comel. Tak macam kau, kodok!" Pertengkaran antara Samuel dan Regina seperti tiada penghujungnya membuatkan Amelia terpaksa masuk campur. "Kalau tunggu korang berdua habis bertengkar, sampai ke malam lah kitorang dekat sini je." Marah Amelia. Dia memang dikenali dengan sikap panas baran tahap dewanya sejak orang tuanya berpisah. Tidak boleh membuat kesilapan walau sedikit, pasti akan dihamunnya kembali. Sebelum perpisahan orang tuanya, Amelia merupakan seorang sahabat yang sangat lembut budi bicaranya, tetapi malangnya, perangainya berubah 360° sejak dari kejadian itu. Dia lebih banyak menghabiskan masanya di kelab malam bersama dengan kenalan barunya. Walau bagaimanapun, dia tidak pernah mengabaikan pelajarannya dan kawan-kawan yang sentiasa berada di belakangnya. "Dah lah, Masuk van cepat. Nanti tak sempat pula nak beli barang untuk esok." Ujar Bennedict pula yang sentiasa bersikap matang dan lebih dihormati berbanding sahabat yang lain. Yang lain hanya mengikut arahan yang diberikan oleh Bennedict, dengan pantas mereka masuk dan menyusun tempat duduk mereka supaya muat di dalam van tersebut. Bennedict bukan sahaja seorang yang matang, dia juga dianggap seperti seorang abang oleh temannya, kerana usianya yang lahir pada awal tahun berbanding dengan yang lain dan juga dia pernah memegang jawatan sebagai ketua pengawas di sekolah mereka.

Setelah kesemua mereka masuk ke dalam van, enjin dihidupkan lalu Gareth memandu van tersebut dengan penuh berhati-hati. Maklumlah, itu merupakan pertama kalinya dia membawa kenderaan yang agak besar berbanding dengan kereta kancil milik ayahnya. Sahabatnya yang lain pada mulanya hanya mendiamkan diri kerana agak was-was dengan kemahiran Gareth memandu van, setelah merasa sedikit lega, barulah mereka mula menyanyi dengan riang dan bergurau senda semasa mereka.

"Korang rasa Sally akan ikut kita ke esok?" Soal Farah secara tiba-tiba. Dia yang memang tidak begitu menyenangi sikap Sally yang agak sombong dan berlagak itu berharap benar agak Sally tidak turut menyertai perkhemahan mereka esok. "Entah. Aku ada bagitau dia pasal perkhemahan kita esok, dia jawab ok jer. Tengok lah kalau dia muncul esok." Jawab Amelia yang merupakan jiran kepada Sally. Disebabkan mereka tinggal berjiran, Amelia lebih mengenali sikap Sally yang sebenar. Sally memang mempunyai sikap yang kurang disenangi, dia begitu angkuh dengan kemewahan yang dia ada berbanding sahabat yang lain, sehingga dia suka merendah-rendahkan orang yang tidak setaraf dengannya. Selain itu, dia juga terlalu bermegah dengan kecantikkan yang ada pada dirinya. Disebabkan sikap itu, dia kurang mendapat kawan di sekolah tetapi mempunyai banyak peminat rahsia dari golongan pelajar lelaki dari sekolah lain. Oleh sebab itu, dia terpaksa berkawan dengan mereka, kerana tidak mahu terasa terpinggir di sekolah mereka.

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Teett.. teettt..!!!

Bunyi mesej masuk ke dalam telefon milik Bennedict.

"Korang kat mana ek? Aku dah sampai dekat pasar ni."

Mesej dari Douglas dibaca sekilas sebelum dia menekan butang balas.

"Sekejap lagi kitorang dah nak sampai ni."

Selesai menaip mesej ringkas tersebut, Bennedict mengirimnya semula kepada Douglas.

"Ok."

Balas Douglas kemudiannya. Douglas hanya datang sendirian dengan menunggang motosikal kapcai abangnya, kerana dia sedar badannya agak berisi untuk mengikut sahabatnya yang lain bersesak di dalam van tersebut. Dia duduk di pondok yang tidak digunakan lagi tidak jauh dari kedai yang hendak mereka tujui bagi menunggu ketibaan sahabatnya yang lain. "Janji pukul 2, sekarang dah nak masuk pukul 3 pun belum sampai lagi." Omel Douglas sendirian. Dia hanya duduk memerhati beberapa orang penduduk taman perumahan itu lalu lalang di kedai tersebut untuk membeli keperluan asas masing-masing. Sedang asyik memerhati gerak geri pembeli di situ, tanpa sedar Douglas terlelap di pondok tempat dia menunggu kedatangan sahabatnya yang lain.

Rindu Seorang TemanWhere stories live. Discover now