Bab 13
PAGI itu, Qaisya bangun awal daripada biasa. Selepas solat Subuh, dia bergegas ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Senyuman di bibirnya masih tidak lekang. Gembira memikirkan yang dia ada temuduga kerja pukul 10.00 pagi nanti.
Memandangkan hari ini Azhar bercuti, bolehlah lelaki itu tolong menjaga Hannan sekejap sementara dia pergi menghadiri temuduga kerja.
Qaisya menoleh ke arah pintu bilik Azhar yang masih tertutup. Mungkin masih tidur kerana baru pulang kerja selepas semalaman di hospital. Sudah hampir seminggu dia bergelar isteri Azhar. Selama seminggu itu jugalah dia lihat Azhar sentiasa sibuk dengan kerjanya.
Kadang-kadang, pergi kerja malam dan balik malam esoknya pula. Selalu tak ada di rumah. Kalau ada pun, mungkin duduk memerap di dalam bilik macam anak dara.
Dah macam rumah ini Qaisya punya pula. Macam Azhar pula yang menumpang. Lamunan Qaisya terhenti tatkala melihat Azhar sedang berjalan keluar dari bilik tidurnya dengan berkain pelikat dan memakai t-shirt Polo hitam.
Niatnya tadi hendak cuba membuat nasi lemak tetapi dibatalkan saja niat itu. Dia bukannya reti buat nasi lemak pun. Naya saja kalau dapur ini terbakar.
"Kenapa tak sambung tidur, Abang Azhar?" tanya Qaisya apabila Azhar duduk di meja makan sambil memandangnya yang sedang meletakkan roti telur keju di atas meja.
Azhar tersenyum lemah. "Perut lapar. Terbau pula bau wangi dekat dapur ni. Nak tahu juga Qaisya masak apa," ujar lelaki itu lalu menadah tangannya untuk membaca doa makan. Kemudian, dia capai sekeping roti telur itu dan disuapkan ke dalam mulut.
"Ini aje yang Qaisya reti. Abang Azhar nak makan nasi lemak ke?"
"Kenapa? Qaisya nak masakkan?"
"Ish, Qaisya mana reti masak. Kalau abang nak, Qaisya pergi cari dekat bawah. Kut ada mak cik jual nasi lemak ke. Boleh Qaisya tolong belikan."
Qaisya dan Azhar sama-sama tergelak. Lega hatinya apabila Azhar menggeleng dan tidak kisah menjamah roti telur itu saja. Qaisya turut sama duduk di meja makan. Dia menjeling sejenak pada Azhar yang masih lagi leka menjamah roti telur keju yang dibuatnya tadi.
Lepas sekeping, sekeping lagi dicapainya. Seronok Qaisya melihat Azhar yang sedang menikmati air tangannya. Entah sedap ke tidak tu. Mungkin lapar sangat kut. Itu pasal tak merungut.
Azhar mengerling ke arah Qaisya. Sejak dari tadi, mereka berdua hanya makan tanpa banyak bersuara. Dia mula berdeham perlahan. "Qaisya okey ke duduk rumah ni?" Azhar menanya. Dia terlampau sibuk di rumah sehingga terlupakan Qaisya dan Hannan. Rasanya sudah lama dia tidak menanya khabar dua orang itu.
Qaisya mengangguk perlahan. Apa yang tak okeynya? Serba-serbi lengkap. Duit belanja untuk dia dan Hannan pun Azhar tidak lupa untuk berikan. Cuma Azhar jarang ada di rumah saja. Lain daripada itu, semuanya lengkap.
"Bila bekerja di hospital, Abang Azhar memang jarang balik rumah, ya?" Akhirnya, Qaisya menanya. Curiga juga sama ada Azhar benar-benar sibuk ataupun sekadar hendak menghindari dia dan Hannan.
Azhar berhenti mengunyah. Tak sangka yang Qaisya boleh menanya dia soalan itu. "Bukannya apa, Qaisya cuma.. kesian dekat Abang Azhar. Seharian penat kerja. Tak tahu abang makan atau tak di hospital. Qaisya masak.. walaupun tahu tak sedap.. tapi Qaisya masak untuk Abang Azhar kut abang lapar lepas balik kerja. Tapi, Abang Azhar tak balik pula. Qaisya tahu abang tak selesa Qaisya di sini. Qaisya minta maaf, ya." Qaisya tersenyum janggal. Dia memandang Azhar yang sudah terdiam seribu batu.
Azhar mengeluh perlahan. Rupa-rupanya Qaisya pandai membaca hatinya. Ya, memang betul dia cuba menghindari diri daripada Qaisya dan Hannan. Bukan niatnya hendak mengabaikan mereka berdua, tetapi dia sudah lama hidup sendiri.
YOU ARE READING
Setelah Kita Bertemu [ TERBIT ]
RomanceIndah dan bahagia, dua kata itu cukup menggambarkan betapa sempurnanya hidup Airis Qaisya. Namun, satu kejadian yang menimpa telah meragut segala-galanya. Dalam sekelip mata, indah itu lenyap.... bahagia itu ranap. Kakak kembarnya, Alayna Naira, mel...