BAB 03

2.2K 24 0
                                    

SUNYI

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

SUNYI. Tidak ada perbualan. Emak sibuk menyediakan masakan tengahari dan dia pula menyibukkan diri dengan menolong emak membilas setiap cawan dan pinggan yang telah selesai disabun. Jasadnya mungkin ada di sini tetapi bukan hatinya. Hatinya hilang entah ke mana sejak dia menerima perkhabaran duka seminggu yang lalu.

Seminggu ini dia cuba hidup dengan baik. Dia cuba untuk menjaga dirinya dengan sempurna. Dia takkan rapuh gara-gara seorang lelaki yang tidak pandai menjaga hatinya. Buat apa dia menangis untuk lelaki seperti itu? Itu semua buang masa dan keringat!

"Hazel, kita putus."

Ayat Raja Adib menusuk-nusuk hati dan perasaannya. Itu ayat berhantu Raja Adib. Ayat yang tanpa lelah mengejarnya dalam jaga dan lena. Tidak hairanlah kenapa dia tidak cukup tidur. Bawah matanya hitam dan dia nampak tidak terurus. Mungkin keadaannya sekarang, seperti orang yang baru mencium sedikit bau neraka.

Wajarlah dia berkeadaan begini. Raja Adib yang diamanahkan untuk merawat hatinya, sanggup memberinya racun. Hubungan asmaranya dengan lelaki itu cuma bertahan satu bulan. Dia telah pun diputuskan.

"Mak." Akhirnya dia bersuara. Dia baru selesai membilas kesemua cawan dan pinggan di dalam sinki tadi. Dia telah berpaling melihat emak yang sibuk menyediakan asam pedas ikan pari kesukaan datin dan datuk. Kesukaan Raja Adib juga.

Keluhan meletus dari bibirnya. Dia perlu belajar tidak mengaitkan semua perkara dengan Raja Adib. Lelaki itu telah memilih meninggalkannya. Lelaki itu telah memalukannya.

"Adib, awak nak jumpa saya?"

Raja Adib memberinya senyuman paling indah, paling mekar pernah matanya saksikan. Dia melihat Raja Ehsan juga ada di situ. Teman-teman rapat Raja Ehsan juga ada. Pokoknya, semua yang tahu dia ada hubungan dengan Raja Adib ada di situ.

"Saya nak beritahu awak sesuatu."

Rasanya, Hazel tahu apa yang Raja Adib mahu sampaikan. Walaupun mereka baru lagi bercinta, tetapi isi hati Raja Adib jelas di matanya. Dia tidak kisah berkahwin pada usia 26 tahun. Dia janji, dia akan menjadi isteri terbaik untuk Raja Adib.

"Mulai hari ini, saya tak nak ada hubungan dengan awak lagi. Kita dah tamat."

Hazel hampir melompat menerima khabar tersebut. Raja Adib, akhirnya melamarnya secara tidak rasmi di depan teman-temannya dan juga teman Raja Ehsan. Masya-Allah, Raja Adib melamarnya dengan cara yang sangat romantis.

Tetapi kenapa mereka yang menjadi saksi tidak bersorak untuknya? Kenapa raut muka mereka semua raut muka terkejut? Kenapa mereka semua memberinya sorotan simpati? Apa yang tidak kena?

Belum terjawab pertanyaan di dalam kepalanya, Raja Ehsan yang terkenal sebagai abang yang penyayang, tiba-tiba sahaja meluru ke arah Raja Adib dan kemudian melepaskan penumbuknya pada rahang lelaki itu. Besar mata Hazel. Apa semua ini?

Dua beradik itu bergomol di atas permaidani rumput. Pergelutan itu hanya berjaya dileraikan setelah teman-teman mereka berdua mula bertindak.

Mereka menarik kedua-dua beradik itu saling menjauhi. Sekarang seorang di timur dan seorang lagi di barat. Seorang dalam keadaan terbaring dan seorang lagi telah bersedia untuk menerkam mangsanya semula.

KOMPLOT 18+ EXTENDED | Best SellerWhere stories live. Discover now