Sudah seminggu berlalu sejak kahadiran Dato Hussein untuk menjemput aku pulang ke Beringinpura. Sejak itulah, Abah mula menceritakan padaku tentang asal-usulku sedikit demi sedikit demi memastikan aku dapat menyerap segala info yang deberikan kepadaku. Aku duduk di meja makan sambil Abah duduk pula disebelahku.
" Sekarang ni, keadaan di Beringinpura tak berapa stabil." ujar Abah sambil menunjukkan kepadaku beberapa keratan akhbar berita tentang kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar yang mangkat secara mengejut akibat serangan jantung tiga bulan lepas. Aku masih ingat bila berita mengenai ini muncul dikaca televisyen tiga bulan lepas. Tak pernah aku menjangka yang aku ada kaitan dengan semua ini. Tak pernah aku menjangka yang itu sebenarnya ayah kandung aku sendiri.
" Maksud Abah tak stabil?" soalku mencari kepastian.
" Kebiasaanya, Sultan baru akan dimasyhurkan dihari sama almarhum Sultan dimakamkan. Namun, untuk kali ini, tiada Sultan baru yang dimasyhurkan sehingga ke hari ini. Buat masa ini, Tuanku Permaisuri bersama-sama Dewan Diraja Beringinpura yang mentadbir negara. Rakyat resah kerana Sultan baru belum dimasyhur. Banyak cakap-cakap mula timbul dan mengatakan Tuanku Permaisuri akan menjawat sendiri jawatan Sultan dan menjadi Raja Perempuan pertama Beringinpura. Beringinpura masih belum bersedia untuk mempunyai seorang Raja Perempuan." cerita Abah panjang lebar. Aku hanya mengangguk faham.
Abah kemudiannya mengeluarkan sekeping gambar dan diletakkan dihadapanku. Aku pandang gambar seorang wanita yang amat ku kenali. Aku pandang Abah.
" Ibu?" soalku agak keliru merujuk kepada gambar almarhum ibu yang Abah tunjukkan. Abah mengangguk kecil.
" Ini Almarhumah Tengku Puan Maryam, Ibu kandung Indera." ujar Abah. Kemudian, Abah mengeluarkan sekeping lagi gambar. Gambar seorang lelaki.
" Sultan Iskandar?" dugaku. Abah mengangguk.
" Ini Almarhum Sultan Iskandar Syah, Sultan Beringinpura ke-24 dan juga bapa kandung Indera." cerita Abah lagi. Abah Kemudiannya mengeluarkan pula tiga keping gambar lagi. Gambar seorang wanita dalam lingkungan usia 70-an, gambar kedua gambar seorang wanita berusia awal 50-an dan yang terakhir gambar seorang remaja perempuan dalam lingkungan usia belasan tahun.
" Yang ini, Yang Teramat Mulia Seri Lela Tuanku Ampuan Aminah, Bonda kepada Almarhum Sultan Iskandar, Nenda kandung Indera. Yang ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Lela Paduka Ampuan Permaisuri Noriah Azizah, Permaisuri Beringinpura, Isteri Almarhum Sultan Iskandar, Ibu tiri Indera. Dan yang muda ni, Yang Amat Mulia Seri Lela Tengku Puteri Noralya Suraya Khairunnisa', Puteri almarhum Sultan Iskandar bersama Tuanku Permasuri. Adik kandung Indera." cerita Abah memperkenalkan keluarga diraja Beringinpura satu persatu.
" Indera ada adik?" ujarku sedikit teruja.
" Ya, adik kandung, satu ayah, lain ibu." terang Abah lagi. Aku pandang setiap gambar-gambar itu satu persatu. Sebuah keluarga yang asing buatku. Namun sebenarnya adalah keluargaku sendiri. Aku tatap gambar-gambar tersebut satu persatu. Tumpuanku tertancap pada potret Tuanku Permaisuri. Jadi, inilah Tuanku Permaisuri. Orang yang bertanggungjawab menyebabkan ibu dihalau dari istana, orang yang bertanggungjawab memisahkan aku dari ayah kandungku sendiri, dan orang yang bertanggungjawab kenapa aku ada disini hari ini.
" Abah dah hubungi pihak Istana. Abah dah maklum, yang Indera akan pulang ke Beringinpura. Esok, pihak kedutaan akan datang sini untuk urusan dokumentasi." cerita Abah lagi. Aku hanya mengangguk faham.
" Boleh ke Abah?" soalku selepas jeda seketika.
" Boleh apa?" soalnya lagi.
" Boleh ke Indera jadi Sultan?" soalku masih ragu-ragu. Aku sendiri tak tahu samada keputusan aku untuk ke Beringinpura ini betul atau tidak.