BAB 1

4.2K 71 9
                                    

"Yam, awak buat apa dalam bilik ummi lama-lama?" Suara Puan Azlina kedengaran menyoal dengan dahi berkerut di rumah teres satu tingkat itu. Kekura tangan terangkat separas wajah menyentuh daun pintu dan ketukan diberikan.

Tiada sahutan sepertinya Maryam tiada di dalam. Kesunyian itu buatkan Puan Azlina pelik. Dahi berkerut semakin berkerut jadinya. Telinga didekatkan ke daun pintu menjemput apa-apa bunyi menerobos ke gegendang telinga. 

 'Apa bendalah budak ini tengah buat dekat dalam itu. Siap kunci pintu bagai. Main alat mekap lagi ke?' Bicara dengan tanda tanya bersemarak di dalam atma. 

"Yam, bukalah pintu ni. Ummi nak masuk solatlah. Kang ummi terkentut nanti, macamana?" Tinggi sedikit perempuan yang baru 5 tahun menjadi seorang ummi itu dengan beberapa ketukan lagi di daun pintu. Tampang wajah Puan Azlina jelas gambarkan rasa risau yang mula bermaharajalela di dalam sukma. Budak perempuan bila duduk seorang diri di dalam bilik, tidak lain dan tidak bukan pasti acah-acah cantikkan diri di hadapan cermin. Meniru satu per satu perilaku ummi saban pagi bersiap untuk ke tempat kerja.

Itu hari habis cermin diconteng dengan gincu merah. Konon-kononnya nak buat suasana jadi seram. Tak pasal-pasal habis patah sebatang gincu yang baru dibeli. Sudahlah payah nak cari gincu yang bila pakainya tidak buatkan bibir menjadi kering.

"Ummi solatlah dekat luar tu dulu." Balas satu suara halus daripada dalam bilik. Tak peduli dengan tekanan suara si ummi di luar. Kerjanya masih lagi belum selesai. Si kecil tak faham kenapa susah benar warna ini mahu tertampal di wajahnya? 

Puan Azlina memandang dirinya. "Tak sah nanti solat ummi. Ummi pakai kain batik dengan t- shirt lengan pendek je ni, nak." Bibir didekatkan ke daun pintu. Tidaklah mahu setiap inci ruang rumah dipenuhi dengan intonasi suara yang bergelombang kuat. Cukuplah di dalam kelas sahaja.

"Sikit je lagi ni, nanti Yam bukalah pintu untuk ummi." Budak perempuan itu masih tidak mahu berikan kerjasama. Masih memberi alasan untuk kekalkan umminya di situ. Dia tengah sibuk sekarang ini. 

"Yam ... Yam dah lama tak rasa rotan ummi ni. Yam nak ummi kasi sedas ke hari ni?" Tak peduli dengan alasan yang diberi, satu soalan diaju. Air wuduk di tubuh dah kian kering tika itu. Kalau lambat solat ini, sah dia akan terkentut sekejap lagi. Makan petai rebus cicah pula dengan  sambal tempoyak tengah hari tadi buatkan badan Puan Azlina berangin. 

Anak kecil bernama Maryam Sayyida yang berumur lima tahun itu tersengih sambil membuka pintu bilik. Baru berusia lima tahun tapi kedua-dua gigi hadapan Maryam sudah tiada dek kerana jatuh basikal setahun yang lepas dan sehingga sekarang belum kelihatan bayang gigi kekal di gusi yang berwarna merah itu.

"Astagfirullah al azim. Siapa buat majlis harijadi tema Halloween ni?” Ternaik seoktaf nada suara perempuan yang berkain batik biru itu dek kerana terkejut bila bebola mata melihat contengan Maryam di wajah sendiri.

"Cantik tak?” Tanpa sekelumit pun rasa bersalah pertanyaan diberikan anak kecil itu dengan senyuman. Senyuman yang punya aura manis tersendiri. Senyuman yang sentiasa mengocak jiwa keibuaan Puan Azlina.

"Macam puntianak. Pergi mandi. Awak main barang mekap ummi lagi!" Tangan terus melekap di pinggang. Wajah berubah serius. Darah terus naik ke kepala bila kornea mata tertancap pemandangan di atas meja mekap yang bagai dilanda ribut taufan. Habis berterabur barangnya. Di lantai pun ada kesan bedak.

Maryam tarik muka. Wajah dicemikkan.  "Sikit je. Tak habis pun barang mekap ummi tu." 'Kedekutlah, ummi ni. Nak cantik dia sorang-sorang je. 'Gerutu anak kecil itu di dalam sukma. 

"Tak habis awak kata, Yam. Tengok ni, patah lipstick ummi. Ni, eye shadow ummi ni ... rosak. Awak ingat water colour ke, Yam?" Tiada tanda intonasi suara itu mahu diturunkan sedikit. Nak dirotan masih kecil. Tapi, hatinya sakit … 

"Yam dah sapu banyak kali dekat mata ni tapi tak lekat pun. Dekat jari Yam yang banyak lekatnya. Sebab tu Yam letak air dekat eye shadow ummi." Sepuluh jarinya dibuka, mahu Puan Azlina melihat warna pewarna kelopak mata yang banyak melekat di jari daripada di kelopak mata. Tiada sedikit pun rasa gentar dalam dada walaupun telinga disapa suara ummi yang meninggi. 

"Iyalah, sebab Yam tak pandai nak guna lagi. Esok mata ummi ni nak letak apa kalau Yam dah bagi eye shadow ummi rosak." Nada suara si ummi menurun sedikit. Tak jadi nak teruskan kemarahan bila telatah anak begitu comel. Terasa lucu tetapi sengaja ditahan supaya Maryam menganggap kejadian ini sebagai satu kesalahan dan anak kecil itu tidak akan mengulanginya lagi.

Maryam pegang hujung baju yang Puan Azlina pakai. Tabiat Maryam! Gulung baju di bahagian bawah, gulung tudung di bahagian bawah. Wajah diangkat dan biarkan pandangan mereka bersabung. Sempat Maryam kedipkan mata beberapa kali sebelum senyuman paling lemak berkrim terlukis di wajah. Bebola mata bercahaya membawa senyuman yang penuh dengan maksud tersirat.

"Duit ummikan banyak, nanti belilah lain. Ummi, Yam nak keluar. Ummi, kasi tak?" Tidak kisah tentang kesalahan diri, yang paling utama kemahuan diri mahu keluar bermain di waktu petang-petang seperti kebiasaan.

"Tak boleh! Mandi dulu baru boleh keluar." Terus arahan separa serius terlontar keluar. Suara juga tiba-tiba bersalut dengan tone yang lebih tinggi. Tak jadi nak berlembut bila dirasakan Maryam seperti tidak serius. Tetapi, apalah yang boleh dia harapkan daripada anak kecil yang baru 5 tahun hidup di muka bumi Allah ini. Anak kecil tetap anak kecil.

"Yam tak nak mandi! Penat tau Yam mekap cantik-cantik macam ni. Yam nak tunjuk dekat Abang Alfan." Dengan sewenang-wenangnya arahan si ummi dicantas sekaligus membantah setiap satu bait ayat ummi. 

Puan Azlina simpan ketawa. "Abang Alfan pun tak sudi nak tengok Yam dengan muka saling tak tumpah macam puntianak ni. Entah-entah puntianak pun lagi cantik daripada Yam."

"Yam mekap cantiklah. Lagipun, ummi pernah tengok ke puntianak tu?"Soalan daripada si polos dengan riak wajah ingin tahu.  

Puan Azlina terkedu sambil memandang wajah naif si anak. 'Ya Tuhan, ada sahaja ayat balasnya.'

"Tak cantik. Cuba Yam tengok cermin dekat depan ni. Bedak selempung penuh muka." Kedua-dua bahu Maryam dipegang daripada belakang. Wajah mereka dua berada terpantul di cermin. Saling menatap wajah masing-masing.

"Ummi tak jawab lagi apa yang Yam tanya. Ummi pernah tengok ke puntianak tu?" Pertanyaan diulang dengan wajah yang terlalu dahagakan jawapan.  

Wajah Puan Azlina tersengih kelat. "Tak penting pun untuk Yam tahu tentang tu. Sekarang ni, anak ummi yang solehah ni kena pergi mandi dulu sebelum keluar. Ummi tak kasi Yam keluar dengan muka macam ni." Pertanyaan Maryam dibalas begitu sahaja. Lebih cepat dibantah, lebih aman hidupnya sebelum diasak dengan soalan yang lebih mencabar dan dia pun tak tahu nak goreng jawapan apa untuk menjawab setiap soalan yang diajukan. 

Maryam mengeluh. Bahu jatuh. Wajah muram. Baru nak tunjuk hasil kerja kreatif  ini kepada Abang Alfan. Dah terbayang wajah teruja Abang Alfan, dah terbayang suara budak lelaki itu mahu memujinya dengan ayat…

“Wonderful, baby! You did a good job. Syabas, syabas, syabas.”  Maryam sendiri sebenarnya tidak tahu apa maksud syabas, dia dengar daripada pelakon cerita Hindustan pada hari Sabtu minggu lepas.

"Ummi ..." panggil Maryam. Wajah dicebik. Puan Azlina yang sedang memakai kain telekung ketika itu berpaling seketika.

"Sorry ..." ucap Maryam dengan wajah sugul. Jari bermain sesama sendiri. Wajah yang tercebik sedih itu menunduk. Lensa mata berikan fokus kepada kekura kaki yang ada tompokkan bedak. Mungkin ketika dia sibuk menuang bedak di atas tapak tangan, bedak jatuh mengenai kaki.

Puan Azlina larikkan sebuah senyuman. "Tak apa, nanti kita pergi shopping alat mekap yang Yam dah bagi rosak tu. Ummi tak marah, ummi tegur je."

Perlahan-lahan Maryam mengangkat wajah yang sedang hulurkan senyuman  lebar. "Bye, ummi." Dan dengan sepantas kilat figura tubuh  Maryam berlari keluar daripada bilik.

"Bertuah punya budak! Allah yahdik!" Separuh menjerit suara Puan Azlina dan dengan tidak semena-mena bunyi kentut kedengaran di ruangan bilik. Bunyinya kuat, panjang lagi. Bau busuk mula dapat dihidu oleh deria yang lima.

"Allah." Kain telekung ditanggalkan kalut-kalut. Wuduk perlu diambil sekali lagi.

"Anak bertuah tulah punya pasal ni. Kalau tak dikuncinya pintu tadi, dah siap solat dah ni." Mulut membebel seiring langkah kaki dilajukan ke bilik air.

Abang Please... (TERBIT)Where stories live. Discover now