DUA

30 10 6
                                    

Dia seperti mahu gila.

Mungkin, sejak dahulu lagi dia memang gila.

Kakinya seperti mahu patah kerana berjalan tanpa henti. Orang di sekeliling sesekali manatapnya aneh, lalu sibuk dengan urusan masing-masing. Keindahan pepohon merah atau suasana Eropah tidak dihirau lagi. Tidak bermakna. Kosong.

"Aku dah mati...?" Haydar berbisik lemah, "kalau 'aku' mati, jadi aku ini apa? Siapa aku? Ibu bapa aku, auntie, kawan-kawan aku semua tak kenal aku. Jadi, aku ini datang dari mana?"

Pap!

Haydar menepuk wajahnya sekuat hati. Nafasnya tertahan, menahan sakit.

"Kenapa ini bukan mimpi?"

Jengkel. Meluat. Benci.

Entah kepada siapa dia mahu lepaskan. Terasa semua orang mahu ditunding.

"T-t-tolonglah, encik. Sa-saya sayang kamera tu..."

Langkah Haydar terhenti.

Di belakang sebuah kedai yang sunyi, seorang lelaki dalam lingkungan 30-an, merampas sebuah kamera daripada seseorang. Pemuda itu sedikit tergagap, cuba meminta semula barangnya.

"Kau lagi risaukan kamera ini atau nyawa kau, sebenarnya?" Penjahat itu menjerkah.

"Ta-tapi encik, ka-kamera itu daripada a-a-arwah... arwah ayah say—"

"Apa kata kau ikut bapak kau sekali?"

Haydar mengepal tangannya.

Bukan masalah dia. Haydar mengetap bibir lalu berpaling. Bukan masalah dia.

Haydar tersenyum, terasa lucu.

Dia cuma akan mengalami mimpi ngeri untuk beberapa hari, bukan? Dia akan mengelak daripada berjalan ke sini lagi. Lagipun, dia memang sudah tidak waras. Orang gila tidak perlu tolong orang lain, bukan?

Bukan masalah dia—

Dush!

Satu tendangan dilepaskan pada pinggang penjahat itu. Penjahat itu terjatuh lalu memegang pinggangnya yang perit.

Pemuda itu pula terkaku.

Haydar menjerit, "lari!"

Mereka berdua terus membuka langkah seribu. Tetapi, baru beberapa langkah mereka berlari, lengan Haydar dicengkam dari belakang.

"Kau nak pergi mana, budak?" Penjahat itu menghala pisaunya ke wajah Haydar. "Urusan kita belum selesai—"

Penjahat itu terbongkok apabila seseorang menumbuk perutnya. Pisau berdenting jatuh. Cengkaman penjahat itu terlepas. Pemuda itu menyepak di bahagian celah kangkang sehingga penjahat itu terjerit senak.

Haydar pula yang terkaku.

"Cepatlah!" Pemuda itu mendesak.

Mereka berdua berlari meninggalkan lelaki itu yang menangis. Semoga masa hadapan lelaki itu tidak hancur.

Mereka tidak sedar berapa detik sudah berlalu. Mereka berhenti di kawasan keramaian lalu melepaskan lelah. Peluh mula menitik. Debaran di dada masih terasa.

"B-bahaya betul." Pemuda itu mengucup kameranya berkali-kali. "Na-nasib baik aku sempat ambil kau, Titi."

Haydar hilang selera untuk takut.

Pemuda itu terus meminta maaf kerana menyusahkan Haydar dan berterima kasih berkali-kali. Suaranya tidak lagi bergetar atau tersekat-sekat.

Apabila Haydar mahu berpaling, pemuda itu bersuara, "sekurang-kurangnya, biarlah aku balas jasa kau semula."

Haydar menoleh dengan mata bersinar-sinar. Walaupun mereka sudah seri—kerana pemuda itu membantunya tadi—dia mengangguk laju dan membalas, "terpaksalah."

Mereka berjalan di kawasan pejalan kaki. Haydar mengambil masa untuk mengosongkan fikirannya seketika. Makanan. Rehat. Sekurang-kurangnya, dia dapat tuah.

Manusia boleh menjadi berbeza mengikut emosi. Sama seperti pemuda itu, kata-katanya mulai lancar dan bermelodi, seperti sudah dilatih. Tangannya menyeluk saku kot kekuning-kuningannya yang labuh. Rambutnya disisir rapi ke sisi. Pandangan cemasnya mula berganti dengan renungan jernih.

Betapa Haydar rindukan dirinya yang tidak bingung seperti sekarang.

Langkah Haydar terhenti dan dahinya berkerut.

"Sejak bila tempat tu dibuka?" Haydar menunjuk ke sebuah taman permainan. Tempat yang yang selalu dilawatinya dahulu. "Tak silap aku tempat ni ditutup sebab tak ada yang datang?"

"Tak pernah aku dengar tempat tu ditutup," kata pemuda itu sambil tersenyum, "tempat ini juga dah maju. Tapi, cukup memberi nostalgia."

"Kita pergi sini rupa-rupanya."

"Yup! Ada restoran terkenal tapi murah, tau?"

Mereka masuk ke dalam taman permainan itu. Mungkin sudah tidak layak digelar 'taman permainan' kerana sudah diperbesarkan. Kedai sudah dibina di mana-mana. Ramai pengunjung yang bergambar, menikmati pepohon kemerahan emas.

Haydar seperti mahu gelakkan diri sendiri.

Sedangkan memorinya mengatakan tempat ini sudah berkarat, terbiar dan dianggap tidak wujud.

"Restoran yang aku cakap tadi ada di sana." Pemuda itu menunjuk ke suatu tempat. "Berbaloi."

Kedai itu berbentuk petak, sederhana. Ramai orang yang keluar-masuk dengan wajah puas hati. Seekor kucing hitam menggoyangkan ekor di sebelah pasu besar, di sisi pintu kaca.

Mereka duduk di salah sebuah meja bulat lalu memesan beberapa menu. Selepas pelayan itu pergi, Haydar menggosok-gosok tangannya di dalam saku jaket.

Setitis.

Haydar memandang ke luar.

Titisan hujan berjatuhan di luar. Angin dingin bertiup, menggoyangkan pepohon. Langit yang baik-baik sahaja, mulai gelap.

Haydar memecahkan suasana, "kau kenal 'Haydar Ihtilzam'? Yang... dah meninggal 10 tahun lepas tu?"

Pemuda itu berkerut. "Kau kenal dia?"

"Mungkin," Haydar bermain-main dengan jam tangannya, "aku cuma nak tahu... apa yang terjadi."

Mungkin dia dapat petunjuk.

Pemuda itu terdiam beberapa ketika, lalu mengeluh.

"Dia meninggal sebab seseorang."

768 patah perkataan

Hai Dunia BerbezaWhere stories live. Discover now