TIGA

28 10 7
                                    

"Autumn is coming!"

Dia hanya mendengar Haydar menjerit di tingkap biliknya. Sudah dijangka, tetamu tidak diundang itu suka menambah kerjanya untuk mengemas bilik. Habis komik-komik pun bertaburan.

Lebih menjengkelkan, Haydar suka mengejek, "kau orang kaya, jangan kedekut sangat!"

Dia hanya mendengus kuat, sudah terbiasa.

Lagipun, Haydar berisiko menambahkan tekanan darahnya di usia muda. Suka menjelir dan mengejek, datang ke rumah dan sepahkan bilik, mengajaknya ke taman permainan dan kalau bertuah, dia juga yang mesti belanja Haydar.

"Kau ni. Macam perempuanlah! Kalau kena ejek sikit dah menangis. Orang bergurau pun menangis. Perempuan pun tak manja macam kau!"

Nasihat wajib Haydar setiap hari juga.

Kalau orang lain mengejeknya, pandai pula dia menangis. Mungkin dia sudah terbiasa dengan Haydar. Semasa mula-mula kenal Haydar di tadika, dia banyak kali diejek sehingga 'kebal'.

Mungkin sebab itu dia terlalu bergantung dengan Haydar.

Dasar pengecut.

Pengecut tidak berguna yang selalu dibantu Haydar. Dipukul, Haydar juga dipukul kerana menyepak celah kangkang salah seorang pembuli. Jika diejek, orang lain mula membenci Haydar kerana mencurah air lada pada Si Pengejek Tidak Berbayar itu. Kalau ditinggalkan, Haydar ikut-ikutan dipulaukan kerana selalu bersama si gagap itu.

Lemah.

Dia masih ingat semasa rakan-rakan kelasnya berpura-pura tidak perasan kedatangannya. Seronok ketawa tanpa berpaling langsung.

Akhirnya, dia menegur, "aku pun... n-n-nak ikut—"

Seorang rakannya memotong, "tak payahlah! Kalau cerita hantu, nanti jadi cerita lawak dengar suara kau."

Mereka semua berdekah-dekah mengetawakannya sambil membelakangkan si gagap itu. Dia berdiri di belakang, sekurang-kurangnya kehadirannya dianggap wujud.

Dia salah.

Mereka langsung tidak melihatnya.

Penat.

"Untuk tugasan kali ini, cikgu mahu kamu semua buat lima kumpulan. Semua orang bebas memilih ahli masing-masing."

Guru subjek Inggerisnya pernah memberi arahan suatu hari Isnin. Kemudian, tapak kasut wanita itu berbunyi keluar dari kelas, mahu membuang air kecil.

Dia meneguk, gugup. Kerusi di sebelahnya kosong kerana Haydar demam panas.

Apabila dia menoleh, semua orang sudah berada di tempat masing-masing. Sama ada perasaan atau tidak, dia menunduk, takut menatap renungan tajam mereka ke arahnya.

Seolah-olah mereka mahu menjerit di telinganya—Jangan datang!

Sampai bila?

Dia mengetap kuat, menahan air mata yang bergenangan.

Sampai bila?

Sampai bila?

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Hai Dunia BerbezaWhere stories live. Discover now