MAJLIS pernikahan Ahmad Hardimin dan pasangannya selesai kira-kira empat jam tadi. Ahmad Hardimin segak dalam persalinan baju Melayu putih gading, sedondon dengan orang rumahnya. Mereka berdua pasangan yang orang tua-tua kata, bagai pinang di belah dua.
Encik Ariff Ezanee tumpang gembira untuk pasangan merpati sejoli. Cuma dia tidak menduga, lima lagi teman baiknya membuat kejutan untuk menyambut ulang tahunnya. Sebenarnya mereka tidak perlu melakukan semua itu. Sudah lima tahun dia tidak menyambut ulang tahunnya.
"Kau sepatutnya beritahu aku dulu." Dia menahan suaranya daripada meninggi.
"Kalau kami beritahu, pasti sambutan ulang tahun kau batal. Macamlah aku tak kenal perangai suka menyendiri kau," sembur Zarul dengan mata yang sengaja dijengilkan. Zarul itu bekas kawan seuniversitinya. Bekas teman serumahnya sewaktu zaman belajar dahulu. Zarul bukan sahaja menjadi kepala perancang pada sambutan ulang tahunnya, malah lelaki itu turut membawa dua orang wanita bersamanya.
Yang memakai tudung bawal warna merah jambu itu namanya Ain. Manakala yang memakai tudung bawal warna hijau epal itu pula Raisha. Kedua-duanya masih bujang. Menurut Zarul, Ain itu sepupunya. Raisha pula kawan kepada anak kawan baik ayahnya. Begitulah penjelasan Zarul tadi.
"Jangan pandang saja, Ariff. Pilih mana yang berkenan di hati. Mana tahu sangkut, taklah kau kesepian lagi di malam hari. Tidur berdua ni lebih sedap." Zarul ketawa-ketawa, yang disambut oleh tawa empat orang lagi teman baiknya. Ain dan Raisha awal-awal lagi sudah tunduk tersipu malu.
Dia tidak ketawa. Lirikan matanya tajam. Dia tahu niat Zarul baik, cuma Zarul sepatutnya berbincang dengannya terlebih dahulu.
"Kau pun tahu aku tak suka dijodohkan."
"Nak tunggu kau cari jodoh sendiri, rasanya sampai hujung waktu pun kau tetap dengan gelaran duda kau tu."
Lirikan matanya semakin tajam sahaja. Sekarang dia perlu melayan Ain dan Raisha. Demi Allah, dia sudah lupa bagaimana menyantuni wanita muda.
"Aku tak tahulah macam mana kau boleh survive dalam tempoh lima tahun ni." Zarul berbisik di tepi telinganya.
"Maksud kau apa?"
"You know..." Zarul memberinya sorotan ada makna. Terus sahaja dia dapat menangkap apa yang sedang Zarul sampaikan. Membahang kedua-dua belah pipinya.
"Aku bukan macam kau yang tak boleh hidup tanpa perempuan," semburnya kemudian.
Bukan main kuat lagi ketawa Zarul. Lebih kuat berbanding tadi. Berdekah-dekah ketawanya. Bahu Encik Ariff Ezanee turut ditepuk berkali-kali.
"Aduh, Ariff... kau menceriakan hati aku."
Dia menepis tangan Zarul yang masih mendarat di atas bahunya. Kalau bertemu semula dengan bekas kawan-kawan seuniversitinya, beginilah jadinya. Sebab itu dia jarang-jarang bersetuju untuk bergabung dengan mereka semua.
"Kahwinlah, Ariff. Kau dah pernah merasa nikmatnya perkahwinan. Takkan selamanya kau nak hidup menyendiri? Kau perlukan teman. Nanti bila Mirul dah besar dah jumpa peneman hidup dia sendiri, kau macam mana?"
Dia tidak pernah memikirkan hal tersebut. Masih terlalu awal. Amirul sahaja baru berusia tujuh tahun.
"Aku dah tak ada hati nak kahwin lagi. Zaraa seorang dah cukup. Aku tak perlukan wanita lain dalam hidup aku."
Amat berat keluhan yang meletus keluar dari bibir Zarul. Nampak kecewa benar Zarul mendengar keputusan hatinya.
"Zaraa dan tak ada, Ariff. Dia takkan balik semula ke pangkuan kau."
"Aku tahu semua tu."
"Kalau kau dah tahu, kenapa kau tak juga faham apa yang kau sangat perlukan sekarang ni? Bukan saja kau, tapi Mirul pun perlukan kasih sayang seorang mama."
YOU ARE READING
AYAH SAYA DUDA | Best Seller
Romance𝗔𝗬𝗔𝗛 𝗦𝗔𝗬𝗔 𝗗𝗨𝗗𝗔 Tapi saya tak bagi dia kahwin Sinopsis/ Blurb: "Mana Encik Ariff?" "Dah balik." "Dah balik? Aku baru nak cuba pikat dia." "Engkau kalau nak pikat Encik Ariff, pastikan kau pikat anak lelaki dia dulu." "Kenapa?" "Sebab an...