BAB 5

142 9 0
                                    

DHIYA keluar dari perut kereta dan terkocoh-kocoh menuju ke Seoul Garden yang terletak di dalam Berjaya Mega Mall, Kuantan.

"Dhiya, sini."

Dhiya tersenyum saat pandangannya bertaut dengan Puan Faridah. Mereka bersalaman dan berpelukan sebelum duduk di kerusi yang disediakan.

"Tak sangka saya dapat jumpa mak cik lagi."

Senyuman tidak lekang dari bibir Dhiya. Seperti mimpi pula apabila mendapat panggilan telefon daripada Puan Faridah semalam, mengajaknya berjumpa. Sangkanya, dia tidak akan berjumpa wanita itu lagi.

"Itulah pasal. Nasib baik anak mak cik belum padam lagi nombor telefon Dhiya. Kalau tak, memang tak jumpa lagilah kita." Puan Faridah menyahut.

Nampaknya Tuhan masih memanjangkan jodoh antara mereka.

"Saya pun nak cepat sangat hari tu. Terlupa nak minta nombor telefon mak cik."

"Panjang jodoh kita rupa-rupanya. Dhiya sihat tak?"

"Alhamdulillah, sihat mak cik. Semakin mengembang dengan jayanya. Duduk rumah makan tidur aje." Dhiya berseloroh.

Nama pun penganggur. Itulah kerjanya. Makan tidur saja setiap hari.

"Ye ke? Mak cik tak nampak kembang pun. Masih lagi lawa, tip top."

Puan Faridah pandang Dhiya atas bawah. Tiada apa yang berubah. Masih sama seperti kali pertama pertemuan mereka beberapa hari lepas.

"Ye ke? Urgh! Lega sikit rasanya. Sebab kawan saya kata, saya dah macam macam kucing bunting."

Siapa lagi kalau bukan Paan? Celopar sangat mulutnya! Banyak-banyak benda, kucing bunting juga yang disamakan dengan Dhiya.

"Hahaha. Mana ada. Dia saja mengusik Dhiya agaknya. Kita makan dululah ye? Nanti kita bersembang lagi. Mak cik laparlah."

Dhiya ikut saja. Dia juga sedang kelaparan sebenarnya. Sambil makan, mereka bersembang dan ketawa bersama.

"Umur Dhiya berapa? Masih belajar lagi ke?"

Dhiya mengelap mulutnya dengan tisu sebelum menjawab pertanyaan Puan Faridah.

"Saya dah 23 tahun, mak cik. Dah habis belajar dah." Dhiya jawab jujur.

"Oh, dah bekerjalah ye? Kerja kat mana?"

Dhiya tersenyum tawar. Malu hendak menjawab.

"Buat masa sekarang, saya tak bekerja, mak cik. Baru saja resign sebab syarikat nak kurangkan pekerja."

Kerana syarikatnya tidak mahu mengeluarkan belanja lebih untuk menggajikan pekerja, Dhiya terpaksa diberhentikan kerja. Pada awalnya, memang Dhiya rasa marah. Namun setelah difikirkan semula, mungkin Tuhan mahu menggantikannya dengan rezeki yang lebih luas.

Siapa tahu, kan?

"Oh, takpelah. Nanti adalah rezeki di tempat lain. Insya-Allah."

Puan Faridah mengusap atas telapak tangan Dhiya.

"Ya. Saya pun anggap macam tu, mak cik. Tak sanggup nak menyandang jawatan penganggur lama-lama."

Puan Faridah tersenyum lebar. Serta-merta idea bernas muncul dalam benaknya.

"Atau Dhiya nak kerja dengan mak cik?"

Dhiya memandang Puan Faridah. Adakah ini rezeki yang Allah gantikan untuknya?

"Erk, kerja apa, mak cik? Kalau kena dengan kemahiran saya, apa salahnya saya mencuba."

Peluang yang datang haruslah diambil dan dimanfaatkan sepenuhnya.

IZINKAN AKU BAHAGIAWhere stories live. Discover now