DHIYA berselindung di sebalik dinding. Tangannya naik mengurut dada. Bukan niatnya mahu mencuri perbualan Umi Khatimah dan tetamunya. Tetapi, Dhiya terlanjur mendengar.
"Saya tak tahu nak jawab apa lagi kalau Dhiya bertanya. Dia nampaknya nekad nak tahu tentang keluarga kandungnya. Saya tak sampai hati nak terus berahsia."
Umi Khatimah memberitahu wanita berjubah hitam di hadapannya.
Dhiya masih ingat. Itulah wanita yang selalu datang berkunjung ke rumah yayasan. Namun, wajahnya tidak diketahui kerana ditutupi niqab.
"Kita buat saja macam biasa. Umi teruskan berlakon yang umi tak tahu apa-apa pasal keluarga kandung dia. Lama-lama nanti, dia akan diam sendiri."
Dhiya terpempan. Mengapa? Adakah Umi Khatimah tahu tentang asal usulnya? Tetapi, mengapa dirahsiakan?
"Saya kesiankan Dhiya. Tak boleh ke awak berterus terang dengan Dhiya? Saya tak sampai hati nak berahsia lagi."
Umi Khatimah buntu. Selama ini dia merahsiakan tentang keluarga kandung Dhiya. Sekarang sudah tiba masanya Dhiya tahu tentang segala-galanya.
"Tak! Jangan bagi tahu dia apa-apa dulu. Kami belum bersedia lagi untuk berdepan dengan Dhiya."
"Saya tak sanggup lagi nak menipu Dhiya. Dia dah besar. Waktu dia kecil, saya boleh berikan macam-macam alasan. Sekarang dia dah dewasa dan mampu berfikir sendiri. Saya takut nanti dia akan membenci saya."
Umi Khatimah meramas jari-jemarinya yang terletak di atas meja.
"Saya mohon pada umi, tolonglah berlagak seperti biasa. Kalau dia bertanya pasal keluarga kandung dia, umi rekalah apa-apa cerita pun. Ataupun umi cakap aje yang umi memang tak tahu apa-apa. Nanti saya akan aturkan satu masa untuk kami bersua muka."
Umi Khatimah angguk kepala. Meskipun berat, dia tetap akur. Dia tiada hak untuk memaksa.
"Baiklah. Saya akan cuba simpan rahsia ini."
Air mata Dhiya mengalir. Tangannya naik menekup mulut. Menghalang tangisannya daripada pecah dan didengar orang.
Adakah wanita itu ibu yang ditunggu-tunggunya selama ini? Adakah itu ibu yang tidak mengiktiraf kehadirannya sebagai anak?
Allah, sakitnya di sini. Dhiya memegang dada.
Tidak menunggu lama, Dhiya terus angkat kaki dan menuju ke keretanya. Air mata mengalir semakin deras.
Benarlah sangkaannya selama ini. Memang dia dibenci oleh ibu kandung sendiri. Malah, Umi Khatimah juga bersubahat sama.
Kecewa. Orang yang paling disayangi tegar melukai hatinya. Ternyata selama ini Umi Khatimah berpura-pura tidak tahu tentang asul usul dirinya. Sedangkan dia tahu segala-galanya.
Tuhan... Dhiya menangis teresak-esak.
DHIYA termenung di meja kerjanya. Masih terngiang-ngiang perbualan Umi Khatimah dan wanita berpurdah itu di benaknya.
Argh! Apa yang harus dilakukan? Bukankah selama ini dia teringin sangat hendak mengenali keluarga kandungnya?
Dan kini peluang itu terbentang di hadapan mata.
Ya. Dia perlu berjumpa wanita itu untuk meleraikan segala kekusutan. Benarkah dia adalah keluarga Dhiya ataupun seseorang yang mempunyai jawapan yang dicarinya selama ini?
Dhiya tersentak tatkala Rosa menepuk bahunya. Terpinga-pinga apabila mendengar Rosa dan Umar gelakkan dirinya.
"Jauhnya kau berangan, dik. Sampai termuncung-muncung mulut kau, ye?"
YOU ARE READING
IZINKAN AKU BAHAGIA
RomanceTajuk: IZINKAN AKU BAHAGIA Penulis: AALIN AMILY Harga: RM24 / RM27 Apabila Nur Dhiya Fahani bertemu Tengku Fahmi, maka huru-haralah dunia jadinya. "Muka macam kasut aku, ada hati nak mengaku diri cantik!" - Tengku Fahmi "Kasut bos kasut kulit, kan...