Bab 7

169 13 0
                                    



Usai dia berpuas hati dengan solekan nipis di wajah, Rian mula mengemas barang-barangnya. Dan sewaktu dia mencapai beg tangannya, barulah dia perasan yang kotak kasut yang menempatkan sample kasut dari kilang semalam tiada.

"Balik dari kilang semalam, aku letak dalam kereta kan? Entah-entah dalam kereta Aleeq?" Tangan sudah naik di pinggang. Pagi-pagi otak dah gagal untuk berhubung.

Tangan bermain di skrin telefon. Kaki dibawa turun ke tingkat bawah. Perlu ke dia telefon Aleeq? Tapi nanti Aleeq cakap ni taktik nak mengurat pulak. Hish.

Namun bila kakinya sampai di anak tangga paling bawah, mulutnya melopong melihat figura yang sedang duduk  di sofa rumah.

"Awak! Apa awak buat kat sini?"

"Hmm, nak sambung blind date episod dua." Kening terjungkit. Menduga gadis dihadapannya.

What?!

"Ibu...." Tidak pedulikan lelaki dihadapan matanya itu, Rian terus melangkah ke dapur. Setiap pagi memang disitulah tempat ibunya berkampung.

"Yerr... ada apa terjerit-jerit ni Rian? Malu kat orang." Bebel Puan Amira keluar dari dapur sambil menatang semangkuk meehun yang sudah siap digoreng.

"Kenapa ibu tak beritahu Rian yang dia datang?" Suara Rian sedikit berbisik namun bisikan itu sampai di telinga si 'dia' yang Rian maksudkan.

"Ibu tengah masak. Ibu ni sakit lutut nak naik tangga berulang kali." Sekejap Puan Amira memandang anaknya dan sekejap melepaskan pandangan pada lelaki itu yang sudah berdiri.

"Kenapa ibu bagi orang yang ibu tak kenal masuk rumah? Kalau dia nak rompak rumah kita macam mana?" Dibentangkan fikiran buruk yang memenuhi akal.

"Hish, apa tak kenalnya? Dia Aleeq Ebrahim. Dia nak rompak apa je dalam rumah kita ni? Harta dan duit dia lebih banyak dari kita, Rian. Mari makan, Aleeq." Mesra layanan yang Puan Amira berikan. 

"Aleeq ni datang tadi nak pulangkan sample kasut yang tertinggal dalam kereta dia." Terang Puan Amira.

Kali ini barulah fikiran Rian terasa celik. Jadi memang betullah sample tu tertinggal dalam kereta Aleeq. Lambat-lambat Rian mendapatkan tempat dihadapan Aleeq.

"Thanks. Buat susah-susah je datang sini. Saya boleh je ambil kat rumah awak." Terasa dia sudah begitu banyak menyusahkan Aleeq.

"Oh, tak boleh sebab perempuan tak dibenarkan masuk ke rumah saya kecuali kalau awak berminat nak jadi orang rumah saya." Ayat gurauan Aleeq itu disambut oleh tawa ibu.

Eh mamat ni memang sengaja je kan tabur gurauan begitu dihadapan ibunya? Ingat kelakar sangat ke?

"Kereta awak macam mana? Dah okay?"

Rian menggeleng. "Belum lagi. Petang nanti mekanik hantar."

Semalam Asraf ada menghubunginya. Dia telah mengarahkan seorang mekanik untuk menghantar ke studio nanti. Pagi ini, dia akan menggunakan kereta ibu ataupun naik Grab sahaja ke tempat kerja.

"Kalau macam tu, saya hantar awak pergi kerja."

Berubah air muka Rian. Apatah lagi bila menangkap senyuman ibu yang sudah bertukar panjang itu. Entah apalah yang bermain di fikiran ibu sekarang ini. Bukan boleh percaya sangat fikiran ibu tu. Mesti ada agenda tersembunyi.

"Eh tak apa. Jangan susah-susah. Saya pinjam kereta ibu je." Tolak Rian. 

"Alah tak bolehlah Rian. Ibu ada hal dengan kawan-kawan usrah ibu hari ni jadi ibu nak guna kereta." Sampuk Puan Amira dengan senyuman tak bersalah itu.

Kawan Sampai Kahwin Where stories live. Discover now