Part 8

122 11 0
                                        


"Encik... bawak bertenang. Tolong campak gunting tu." Pujuk salah seorang petugas kesihatan yang ada. Masing-masing bertukar panik bila seorang pelawat hospital dijadikan mangsa.

"Jangan ikut aku! Kalau tak perempuan ni akan jadi mangsa. Ke belakang semua! Jangan dekat!" Ugut lelaki itu lagi. Mereka sudah dikerumun.

Rian dipaksa untuk mengikut langkah lelaki itu yang menapak ke belakang. Dia cuba untuk melepaskan diri tapi pegangan lelaki terlalu kejap. Kudrat perempuannya tak mampu untuk menepis. Badannya sumpah terasa seram sejuk.

Ya Allah, tolong selamatkan aku.

Aleeq yang baru keluar dari kedai serbaneka jadi pelik menyambut kekecohan yang ada. Paling dia terkejut ialah bila melihat figura yang berada dalam gengaman seorang lelaki itu yang bersenjatakan gunting itu.

Rian?

Macam mana Rian boleh terperangkap dengan lelaki itu?

Tak boleh jadi ni. Dia perlu lakukan sesuatu.

Melihat lelaki itu leka memandang ke hadapan, Aleeq menapak perlahan dari belakang. Sedang dia mengatur strategi, kepalanya menggeleng. Tak boleh. Kalau dia meneruskan langkah, pasti lelaki itu akan sedar dengan kehadirannya.

Mata jatuh pada tin minuman teh bunga yang dipegang. Nampaknya tin minuman ini perlu dijadikan senjata untuk menyerang.

Setelah memberi fokus beberapa detik, akhirnya Aleeq menggunakan tenaganya untuk membaling tin minuman itu ke belakang kepala penjahat tersebut. Sasarannya perlu tepat jika tidak kepala Rian yang akan menjadi mangsanya. Dengan sekali balingan, tin minuman itu mendarat di kepala lelaki itu.

Tindakan reflex membuatkan lelaki itu memegang kepalanya yang sakit.

Sedang lelaki itu mengaduh kesakitan, postur tubuh lelaki itu berubah. Serta merta, Rian menggigit lengan lelaki itu. Tak cukup dengan itu, Rian menghentak tumit kasutnya di atas kaki lelaki itu. Tubuh lelaki itu membongkok dan menyeringai kesakitan.

Baru sahaja Rian hendak melarikan diri, lelaki itu kembali mencapai lengannya dan mengangkat tinggi tangannya untuk menikam Rian.

Namun Aleeq lebih cepat bertindak. Lengan lelaki itu ditahan menggunakan tangan kirinya sementara tangan kanan menarik Rian agar berdiri di belakangnya. Biar Rian jauh dari bahaya.

"Lepaskan aku!" Sekali lagi lelaki itu cuba meloloskan diri.

Sap!

Hujung gunting itu bergesel di lengan Aleeq. Darah menitik di atas lantai.

Tak pedulikan luka di tangan, kedua belah lengan lelaki itu ditarik ke belakang. Gunting terlepas ke lantai. Kelipat lutut lelaki itu ditendang dan akhirnya lelaki itu jatuh meniarap di atas lantai koridor.

Guard dan petugas kesihatan yang ada terus membantu Aleeq untuk menumpaskan lelaki itu.

"Lepaskan aku! Lepaskan aku! Aku tak nak masuk hospital. Aku tak gila!" Kuat lelaki itu menjerit dan meronta-ronta.

Rian yang dijadikan umpan tadi tak berkelip memandang lelaki yang bertindak agresif itu. Tak dapat dia bayangkan kalau gunting itu berjaya menusuk ke dalam lehernya tadi.

Usai lelaki itu dibawa oleh petugas kesihatan, Aleeq terus mendapatkan Rian yang masih tergamam.

"Rian, awak okay?" Panik suara Aleeq menampar peluput telinga Rian. Jika tidak mengenangkan batas agama, pasti tubuh itu sudah dipeluk untuk ditenangkan.

Rian sendiri teragak-agak samada untuk mengangguk ataupun menggeleng. Namun harus dia akui yang tubuhnya menggeletar saat ini.

"Rian... duduk kat sini dulu. Bawak bertenang." Hujung lengan baju Rian ditarik. Diarahkan Rian duduk di atas  kerusi yang tersedia.

Kawan Sampai Kahwin Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang