Bab 2

267 19 7
                                    


            Bangun pagi ini, senyuman tak sudah menghiasi wajah Rian. Manakan tidak, hari ini followers di Instagram untuk koleksi Mimpi Rian sudah mencecah angka lima puluh ribu. Semua ini hasil dari usaha perniagaan atas talian selama dua tahun.

Dia tahu, pencapaian ini bukanlah sesuatu yang besar namun pujian tetap harus diberikan pada diri sendiri kerana masih bertahan dan terus melangkah untuk membina nama dalam dunia fesyen kasut.

            Kesemua kasut keluaran Mimpi Rian adalah limited edition. Kerana itu dia perlu lebih kreatif untuk memikirkan tentang kehendak pelanggan. Tak sabar rasanya untuk dia lancarkan koleksi kasut terbaru hujung bulan ini.

            Untuk melancarkan urusan dan meletakkan stok-stok kasut yang tersedia, Rian telah menyewa sebuah studio untuk dijadikan ruang untuk menyimpan semua stok kasut.  Studio ini juga dijadikan showroom memandangkan semua hasil rekaan kasutnya terpamir di sini. Buat masa ini dia masih belum mampu untuk menyewa sebuah  kedai lagi.

"Pergh, sebab kita buat sales 20% sempena 50 ribu followers tu, order masuk macam bukak paip air babe." Tutur Hanis teruja sambil melayan order di website dan whatsapp yang menderu masuk.

"Alhamdulilah. Rezeki." Rian sambut berita itu dengan senyuman.

"Eh babe, kau tengok tak news pagi ni?" Dalam sibuk-sibuk Hanis pun, sempat lagi dia ajak Rian bergosip.

            "News apa? Aku tak minatlah kisah artis-artis ni..." Bagai sudah terbaca fikiran Hanis. Mustahil sangat si Hanis ni tengok berita tentang politik atau isu semasa melainkan isu pasal artis Malaysia.

            "Bukan artis tapi pemain badminton yang menang pingat emas sukan asia tu. Dia ada skandal gempak."

            "Skandal dengan siapa? Artis mana pulak kali ni?" Sudah menjadi kebiasaan bila atlet terkemuka mempunyai gosip dengan artis wanita. Tengok barisan pemain bola sepak pun boleh tahu berapa ramai yang memilih artis sebagai pasangan hidup.

            "Kali ni bukan dengan artis tau tapi dia ada skandal dengan lelaki. Dia gay! Kau nak tengok tak video dia? Geli wehh..." Telefon miliknya dihulur pada Rian.

            "Atlet yang mana satu ni?" Berkerut-kerut dahi Rian. Mengemaskini koleksi pemain badminton yang dia kenali selain Dato Lee Chong Wei. Maklumlah, dia bukannya minat sukan sangat.

            "Ala... Aleeq Ebrahim."

            Mulut Rian terus berbentuk menjadi huruf O. Nama itu memang cukup sinonim di telinganya. Manakan tidak, setiap kali berjumpa dengan mama, pasti nama Aleeq tak lekang dari cerita mama. Bangga dengan anak asuhannya itu.

            "Oh, yang kau stalked hari-hari lepas dia menang pingat emas sukan asia tu kan." Rian tak pernah lupa lagi bila mulut Hanis tak sudah-sudah memuji lelaki itu menggunung tingginya. Sampai kerja pun tak jalan bila sibuk duk kendong angau.

            "Nak unfollowlah. Sayanglah handsome tapi gay buat apa?" Cebik Hanis. Nampak hampa.

            Rian gelengkan kepala.

            "Kau ni percaya sangat dengan khabar angin tu semua. Dunia akhir zaman ni semua benda di hujung jari kan? Fitnah di hujung jari. Dosa pun dihujung jari." Sambil membebel, Rian sudah menghidupkan PC.

            Bilalah Hanis ni nak letak jawatan sebagai presiden netizen. Telefon sendiri dicapai. Komen-komen yang ada dibaca sekilas. Kasihan Aleeq jadi mangsa kritikan sehingga trending di Twitter.

            Betul ke mamat tu gay?

            Hanis tersengih. "Ya ke semua kat hujung jari? Agak-agak jodoh boleh dapat di hujung jari ke tak eh?"

Kawan Sampai Kahwin Where stories live. Discover now