AKU mengelap meja makan sehingga bersih. Pinggan dan gelas aku kumpulkan sebelum meletakkannya di atas troli. Seusai itu, aku menolak troli ke arah dapur restoran.
Suasana dalam restoran ini sungguh meriah. Dapat kulihat dengan ekor mata di hujung sudut restoran ini terdapat sepasang kekasih yang sedang menjamu selera. Si lelaki menyeluk kocek seluar dan mengeluarkan sesuatu. Wanita jelita di hadapannya kehilangan kata saat si lelaki melutut di hadapannya. Aku pasti dia mahu melamar wanita itu.
Pantas aku mengalih pandangan. Tidak elok melihat privasi orang. Buatnya lelaki itu kena tolak ke, malu dia nanti apabila sedar ada orang yang memerhati.
Mataku tertancap pada sebuah keluarga besar yang sedang beramah mesra. Mereka tidak memesan sebarang makanan lagi. Atau mungkin mereka sedang menunggu hidangan disiapkan.
Pintu dapur restoran aku kuak. Kelihatan seorang rakan kerjaku sedang berdiri kaku di hadapanku. Tangannya pula aku lihat seperti membeku dengan gaya mahu memulas tombol pintu. Aku hanya memandang dia kosong.
Troli aku tolak tanpa menghiraukan dia. Aku meletakkan troli itu di sebelah singki. Usai memindahkan pinggan mangkuk yang kotor di tepi singki, aku berlalu pergi ke bilik persalinan. Nanti adalah tu rakan sekerjaku yang membasuh pinggan itu. Kerja aku cuma bawa pergi dapur je.
Jam dikerling. Sudah pukul sembilan malam. Masa untuk aku pulang.
Baju uniform diganti dengan hoodie berwarna kelabu. Beg galas aku sangkut pada sebelah bahu. Loker aku kunci. Aku melangkah keluar dari bilik persalinan.
"Dah nak balik ke?" soal Wani. Salah seorang pelayan di restoran mewah ini.
Aku mengangguk sebagai balasan. Aku beredar dari situ. Malas mahu berlama-lama. Perut aku dah berbunyi minta makanan.
Suasana di luar restoran penuh dengan bunyi kenderaan lalu lalang. Aku menunggu masa yang sesuai untuk melintas. Kiri dan kanan ditoleh. Selepas memastikan keadaan selamat untuk melintas, aku mula melangkah.
Aku duduk menunggu bas di perhentian bas. Tepat di hadapan aku, berdirinya sebuah restoran mewah tempat aku bekerja sambilan sebagai seorang pelayan. Nasib baik cuma bekerja sambilan kalau tidak, terpaksalah dia balik rumah pukul 11 malam.
Bas yang ditunggu sudah tiba. Orang yang sedang duduk tadi segera berdiri dan berbaris untuk memasuki bas. Aku juga turut berbaris. Dompet di tangan direnung. Harapnya ada lagilah duit lebih untuk beli makanan segera di kedai serbaneka yang terletak berhadapan dengan rumahnya.
Sedang ralit aku memikirkan makanan apa yang patut aku beli ketika turun nanti, terasa bahuku dilanggar seseorang. Dompetku terjatuh.
Aku pandang orang yang melanggarku. Lelaki.
"Maaf, maaf," ujarnya sambil menghulur dompetku.
Aku cuma mengangguk sebagai balasan. Senyuman kecil aku ukir.
Lelaki tadi mula beredar. Aku merenungnya sehingga kelibat dia hilang dari pandangan.
"Oi! Nak masuk ke tak ni?" Seseorang yang beratur di belakang aku bersuara.
Aku tersentak. Cepat-cepat aku memanjat tangga bas. Mata meliar mencari tempat duduk yang kosong. Mataku tertancap pada sebuah kerusi kosong bersebelahan dengan tingkap. Laju aku melabuhkan duduk di situ.
Pandangan ditala ke luar tingkap. Memerhati suasana malam di bandar ini. Masih ramai yang berlegar-legar di situ walau hari sudah malam.
"Tak penat ke diorang asyik berjalan sana sini? Manalah diorang dapat tenaga sebanyak tu?" gumam aku.
Badan disandar ke kerusi. Aku menyumbat earphone ke telinga. Lagu dipasang.
•••
PINTU rumah dikuak selepas salam diberi. Kaki mula melangkah masuk.
Kelihatan ibu bapaku sedang menjamu selera tanpa menghiraukan aku yang baru pulang.
Kaki diatur ke bilik. Usai membersihkan diri dan menunaikan solat, aku mendekati meja makan. Ibu bapaku sudah habis makan. Pinggan mereka cuma berbaki sisa-sisa makanan.
"Bila kamu balik?" sapa ibuku seraya meneguk air.
"Lima belas minit yang lepas," ujarku senada. Tangan sibuk menyenduk nasi.
"Laa..kenapa tak beritahu?" soal ibu.
Aku diam. Sibuk memikirkan sama ada wajarkah aku mengambil sayur atau sebaliknya. Akhirnya aku memilih untuk tidak mengambil sayur. Aku mula menyuap makanan ke dalam mulut.
Melihat aku tidak memberi sebarang respon, ibuku terus menukar topik.
"Macam mana sekolah?"
"Alhamdulillah. Masih sama. Tak ada apa yang berubah," jawabku.
"Peperiksaan dah nak dekat, kan? Berhentilah kerja sekejap. Fokus belajar pula," kata ayah.
Aku diam.
"Tengok tu. Tak dengar kata. Bila orang suruh berhenti kerja tak mahu, belajar main-main. Kamu dah 17 tahun bukannya budak kecil lagi. Tahun ni kan ada SPM,"
Aku mendengus perlahan.
Orang tak cakap apa-apa pun. Dah nak tuduh macam-macam. Bukannya aku tak nak berhenti, nak buat macam mana kontrak kerja aku sekurang-kurangnya genap dua bulan. Aku baru kerja tak sampai seminggu dah nak suruh berhenti.
Bukan apa, aku cuma mahu cari duit lebih. Duit saku yang ibu bapaku beri hanya cukup-cukup untuk keperluan sekolah sahaja.
Aku berdiri. Pinggan kotor diangkat dan kaki diatur ke dapur. Usai mencuci pinggan, aku terus masuk ke bilik tanpa menghiraukan ibu bapaku yang masih berada di meja makan. Lama betul diorang makan.
Badan kurebah ke atas katil. Tangan diletak di atas kepala. Aku mengeluh lagi. Siling bilik direnung.
"Macam mana agaknya kehidupan orang lain eh? Mesti best. Lagi-lagi kalau ada adik-beradik,"
"Macam mana kalau aku masuk dalam badan orang lain dan rasa sekejap macam mana kehidupan diorang yang menarik tu?"
Jeda.
"Huh, mengarut je. Benda macam tu takkan pernah terjadi. Tabah je la Aira," Tanganku menepuk-nepuk dada seakan cuba memujuk diri sendiri.
Aku mengiring ke kanan. Mata dipejam, memaksa diri untuk tidur.

YOU ARE READING
disebalik mimpi。
Fantasy/on going/ Berkenalan dalam mimpi? Memang tak pernah terlintas langsung dalam fikiran. Aku langsung tak kenal dia. Dan dia pun tiba-tiba muncul selamatkan aku. "Lain kali jangan main lari je dekat tengah jalan! Kau nak mati ke?!" Dia nampak begitu...