26 | EL

44 9 29
                                    

          MASIH ingat dengan Gonpachiro? Ya, awal pagi lagi sudah dihantar ke hospital. Masakan tidak, lengan terseliuh serta belakang badannya mengalami sakit yang mencucuk-cucuk. Memang bahaya betul Gopal dengan Sina Yaya ini. Sampai kena usung ke hospital anak orang itu.

   Tetapi siapa suruh masuk rumah orang tidak kunci pintu?

   "Orang tua itu sudah kenapa? Tiba-tiba hantar orang untuk ambil dara isteri orang. Kalau aku jumpa dia depan mata, memang aku ajar dia cukup-cukup!" Gopal menyembur kegeramannya. Tubuhnya telah siap disarung pakaian dengan satu tujuan, untuk 'menasihati' neneknya yang bongkak itu.
 
   Sina Yaya hanya mengetap bibir di tepi dinding. Sejak mengetahui nenek mertuanya dalang di sebalik semua ini, mulutnya seakan-akan terkunci. Lebih-lebih lagi melihat Gopal sanggup mengambil cuti  semata-mata untuknya.
 
   "Jangan harap aku nak jumpa dia lagi depan mata aku." Gopal mengambil kunci kereta yang tergantung lalu menoleh ke arah Sina Yaya. Risau pula melihat isterinya berdiam diri dari tadi. "Awak okey ke? Diam sahaja saya tengok? Ke awak terima mana-mana mesej daripada orang tua itu?"
 
   Tiada lagi panggilan hormat buat Puan Sarindi daripada Gopal.
 
   Sina Yaya melepaskan bibirnya yang diketap lama itu. Dia berpura-pura mempamerkan senyumannya sebelum mematikannya. "Saya tidak tahu nak rasa macam mana. Rasa sedih ada, rasa marah dan kecewa pun ada. Saya ingatkan pāṭṭi bencikan saya, tak sangka dia bencikan saya  seteruk ini."
 
   Gopal terkedu mendengar bicara itu. Dia perlahan-lahan menuju ke arah Sina Yaya. "Saya minta maaf. Kalau awak tidak kahwin dengan saya..." Gopal menarik nafas dalam-dalam lalu menyambungnya. "Mungkin awak tak akan rasa sesedih ini."
 
   Mata Sina Yaya terbuntang. Cepat-cepat dia menafikan. "Tak adalah sampai macam itu. Tak apalah, kita jumpa dengan pāṭṭi dan selesaikan masalah ini dengan baik, tau." Sina Yaya mengangkat lembut wajah Gopal yang menunduk.
 
   Tolonglah jangan ujarkan seperti itu, hatinya sayu seakan-akan Gopal menyesali berkahwin dengannya. Padahal ini seperti sebuah mimpi buatnya.
 
  "Okey, puan!" Sengaja Gopal membuat tabik spring, demi menghiburkan isterinya. Berjaya! Sina Yaya tergelak kecil. "Nampaknya puan sentiasa berfikiran positif."

   Sina Yaya mengangguk, kecil. "Mestilah. Kalau selalu berfikiran negatif, silap-silap kita yang akan tenggelam dengan lautan negatif yang sendiri kita cipta."

   Gopal memulas tombol pintu, namun perkara yang menyapanya bukanlah sesuatu yang diingini. Puan Sarindi betul-betul muncul di hadapan anak matanya. Di belakangnya terdapat kedua ibu bapanya serta Samantha.

  "Pāṭṭi hendak minta ma..."

   "PANG!"

   Tamparan kuat mengenai kulit berkedut dan topeng muka perempuan itu. Serta-merta keadaan menjadi sunyi di atas balasan yang diberikan oleh Gopal. Samantha bersuara, tidak puas hati melihat neneknya ditampar. "Kenapa aṇṇaṉ tampar pāṭṭi?"

   Encik Kumar berpaling ke arah anak perempuannya, memberi isyarat mata supaya duduk di dalam kereta. "Samantha, pergi duduk dalam kereta. Nanti appa terangkan."

   Budak kecil itu tidak mengerti. "Tetapi, pāṭṭi..."

   Puan Sarindi menyuruh, lembut. "Samantha, ikut apa yang appa katakan." Walaupun sebenarnya mulutnya ingin sahaja membalas kembali, dia sedar bahawa semua ini berpunca darinya. Lambat-lambat Samantha membawa diri ke kereta di luar pagar.

   "Kenapa amma dan appa bawa dia ke sini? Pagi tadi dia hantar seseorang nak rogol isteri Gopal." Gopal cuba menahan tangannya daripada menyakiti Puan Sarindi. Lagi-lagi hatinya berusaha menahan amarah melihat wajah Puan Sarindi yang disangka berpura-pura sayu itu.

   Puan Jivanta cuba meredakan keadaan ibu. "Sebab kami tahulah, kami bawa pāṭṭi kamu ke sini. Dia betul-betul rasa bersalah, Gopal. Lagipun tidak elok berdendam, pāṭṭi juga ahli keluarga kamu juga..."

Eternal LoveWhere stories live. Discover now