BAB 2

61 17 9
                                    

Esoknya, mereka berenam bertolak ke Melaka. Mereka menumpang kereta Toyota Hilux milik Dharma kecuali Megat yang memilih untuk memandu keretanya sendiri. Perjalanan dari Shah Alam ke Melaka itu mengambil masa yang lebih lama kerana kesesakan lalu lintas. Dharma memutuskan untuk berhenti seketika di R&R Ayer Keroh.

Dalam tempoh mereka berehat seketika itu, Julia mula berasa tidak sedap hati. Dia sendiripun tidak pasti kenapa. Ditepisnya perasaan itu jauh-jauh. Perjalanan disambung semula dan mereka tiba di Hotel Puspakona pada pukul 4.30 petang. Dharma melilau ke sekeliling. Kawasan itu memang agak sunyi. Selain daripada hotel itu, ada sebuah kedai runcit dan juga kedai 7-Eleven; itupun terletak selang beberapa lot kedai dengan Hotel Puspakona.

Hanya ada sebuah kereta Proton Persona di tempat parkir itu, dipercayai milik pemilik hotel tersebut. Terdapat juga beberapa buah motosikal agak jauh dari tempat kereta mereka diparkirkan.

Mereka semua keluar dari kereta. Hotel yang terbentang di hadapan mereka dipandang dengan pelbagai rasa. Teruja, gemuruh, semuanya bercampur-baur. Hotel Puspakona merupakan sebuah hotel tiga tingkat yang mengambil tiga lot kedai termasuk lot yang paling hujung. Hotel tersebut berwarna merah hati, namun sudah pudar. Mungkin telah lama dibiarkan tidak berganti catnya. Papan tanda Hotel Puspakona terpampang di atas bangunan.

Melihatkan hotel itu dari luar sahaja sudah cukup membuatkan jantung Julia berdebar-debar. Hatinya acap kali berasa tidak enak. Sekali lagi dia cuba sedaya-upaya untuk membuang rasa itu jauh-jauh. Mungkin perasaan aku aje. Tak naklah fikir yang negatif, lagipun bukan lama pun aku kat sini. Tiga hari dua malam je.

"Jom," ajak Dharma seraya mendahului langkah masuk ke dalam Hotel Puspakona, sekali gus mewakili mereka berenam.

Sebaik sahaja melangkah masuk, telinga mereka disapa dengan irama lagu klasik Bahasa Inggeris. Ketika itu Love Me Do oleh The Beatles sedang bergema. Kawasan lobi itu kosong, yang ada hanyalah seorang lelaki separuh abad sedang khusyuk membaca surat khabar di kaunter pendaftaran.

Dharma mendapatkan lelaki itu diikuti dengan mereka yang lain kecuali Megat. Sempat mata Dharma melihat plak nama di hadapan lelaki itu. Jaafar Bahaduri.

"Assalamualaikum, pakcik. Kami nak tempah dua bilik untuk tiga hari dua malam," ucap Dharma, memulakan bicara.

Jaafar meletakkan surat khabar yang dibacanya di atas kaunter. Cermin mata bacaannya juga ditanggalkan. Dia menarik satu kertas bersaiz A3 yang telah siap berlamina dari bawah kaunter lalu diunjukkan kepada Dharma. Maisara, Najid, Afwan dan Julia turut memanjangkan leher untuk melihat.

"Pilihlah nak bilik yang mana satu. Harga pun dah tertera kat situ," balas Jaafar, acuh tidak acuh. Malah salam yang diberikan Dharma tadi juga tidak dibalas.

Sementara mereka semua berbincang untuk memilih bilik, Megat meronda di sekeliling lobi yang sederhana besar itu. Dia tidak berminat untuk menyertai mereka. Matanya melilau ke segenap ruang lobi tersebut. Tiada apa yang menarik minatnya kerana baginya dekorasi lobi itu ketinggalan zaman.

Tidak semena-mena bulu tengkuknya meremang. Megat mengusap belakang lehernya. Dia berasa seolah-olah dirinya sedang diperhatikan.

Dari ekor matanya, dia terlihat seolah-olah ada seseorang atau sesuatu sedang mengintai dari sebalik dinding yang berhubung dengan lif. Dia pantas menoleh, namun tiada apa-apa disitu. Dia kembali melakukan halnya sendiri. Dia duduk di atas sebuah sofa yang bertentangan dengan dinding tadi lalu menatal skrin telefon pintarnya.

Sekali lagi bulu romanya merinding, kali ini merinding satu badan. Ekor matanya menangkap ada sesuatu sedang menghendap dari sebalik dinding yang sama. Megat memberanikan diri untuk mengangkat wajah, apa jua yang mengintainya tadi pantas menarik kepalanya semula.

MENTEKEDARAH | [ON HOLD]Where stories live. Discover now