BAB 6

24 10 2
                                    

"Julia? Julia!" laung Maisara.

Maisara berlari ke tengah lobi. Dia melingas ke sana ke mari mencari kelibat Julia.

"Afwan, mana Julia?!" Nada Maisara meninggi kerana cemas.

Afwan menggeleng, wajahnya turut terpampang riak terkejut dengan apa yang sudah berlaku.

"Aku tak tahu... Tadi aku dengar macam ada bunyi derap tapak kaki orang pergi dari sini. Aku tak tahulah sama ada tu tapak kaki Julia or..." Afwan tidak menghabiskan kata-katanya, dia menunduk dengan wajah resah.

"Damnit!" seranah Najid sambil melibas bidet yang dipegangnya ke lantai. Dadanya berombak kencang. Rasa geram, marah, sebal, semuanya teraduk menjadi satu.

Dharma lantas menekan kad kunci pada pengimbas di tepi pintu, namun lampu merah yang menyala menandakan akses ditolak. Nampaknya itu bukan kad yang betul untuk pintu tersebut.

Dharma terus menghentam pintu utama itu dengan besi yang digenggamnya, cuba untuk melampiaskan rasa kecewa. Pintu utama yang diperbuat daripada kaca itu hanya menerima kesan calar.

Najid mengangkat salah satu kerusi berdekatan dengan mereka. Dia mahu memecahkan kaca pintu namun tindakannya terbejat apabila Maisara tiba-tiba menjerit. Najid dan Dharma berpusing, mencari asbab jeritan gadis itu. Mereka semua tergamam apabila nampak Julia kini berada dalam tawanan Jaafar, yang kini dikenali sebagai Polygone.

Afwan pantas mendapatkan Maisara, lalu menarik gadis itu mendekati Dharma dan Najid. Di hadapan mereka sekarang ini, berdirinya seorang lelaki berketinggian 6 kaki 3 inci serta bertopeng. Dengan tubuh yang gedang, cukup untuk membuatkan sesiapa yang memandangnya berasa gerun.

Lengannya yang lebar sedang mengunci kepala Julia. Julia mencengkam lengan Polygone, berusaha untuk melepaskan diri. Wajahnya jelas menunjukkan yang dia sedang bergelut untuk mencuri nafas. Dharma menapak sedikit ke hadapan.

"Apa yang kau nak? Bagitahu je apa yang kau nak, kita boleh nego. Asalkan kau lepaskan Julia dan bagi kami keluar dari sini," ungkap Dharma, dia masih belum mengecami gerangan yang mengunci kepala Julia itu.

Sementara itu, Teh sedang memerhatikan mereka semua melalui skrin CCTV di dalam bilik kawalan. Dia zoom in ke wajah Dharma dan yang lain, mudah untuk dia memahami apa yang mereka perkatakan daripada gerak-geri mulut. Teh mengukir senyuman sinis.

"Abang, dia ni pakcik yang jaga kaunter tu," beritahu Afwan.

Dharma mengerling Afwan sekilas sebelum berkata, "Yeke? Mana kau tahu?"

"Saya perasan baju yang dia tengah pakai tu, sama dengan baju yang dia pakai petang tadi. Cumanya sekarang baju tu dah dibasahi dengan darah... Megat," jelas Afwan. Air liur ditelan. Seriau!

Dharma memerhatikan Polygone sekali lagi. Dia amati lelaki itu betul-betul. Nampaknya benar seperti yang didakwa Afwan.

"Kau ke Polygone?" tanya Dharma, tegas.

Polygone mengangguk.

"Jadi kau yang bunuh kawan kami?" soal Dharma lagi, untuk kepastian.

Polygone mengangguk lagi.

Berderau darah Dharma dibuatnya. Najid maju ke hadapan sambil menderam marah. Namun Afwan lebih pantas menghalang jalannya. Afwan dan Najid bertentang mata buat seketika. Afwan kemudiannya menggeleng sambil membisikkan sesuatu, "Jangan terburu-buru. We already know what this guy is capable of."

Najid merengus. Pegangannya pada bidet diperkemaskan.

"Tolong, lepaskan kawan kami. Kau nak berapa? Aku sudi bayar." Dharma masih cuba untuk berunding.

MENTEKEDARAH | [ON HOLD]Where stories live. Discover now