Aku pulang awal hari itu. Mata mengantuk. Aku tidak mampu untuk terus bersengkang mata bekerja di pejabat. Rasa tidak selesa di perutku masih tidak reda-reda sejak lewat pagi tadi.
Dalam perjalanan pulang, aku singgah di klinik untuk mengambil ubat. Ubat gastrik, ubat tahan sakit dan ubat minum itu adalah ubat kebiasaan untuk sakit yang seringkali aku tanggung. Dan aku tidak tahu kenapa aku perlu membeli beberapa keping coklat sebelum masuk ke kereta semula.
Ketika aku melepasi pintu rumah jiran yang 'tidak bertanggungjawab' itu, aku terdengar peti televisyen terpasang. Suasana agak riuh dengan siaran kartun di kaca televisyen mungkin. Enggan ambil pusing, aku tetap dengan langkahku menuju ke pintu rumahku.
"Auntie dah balik kerja?" Suara Yaya menegurku.
Aku segera menoleh. Yaya dengan baju gambar Frozen dan seluar pendek warna biru tersenyum memandangku.
"Ya sayang. Auntie baru balik. Adik mana?" tanyaku.
Aku buka zip beg tangan. Pintu gril rumahku sentiasa terkunci. Itulah peraturan yang aku kenakan pada ummi setiapkali aku tiada di rumah. Aku tidak mahu sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku semasa ketiadaan aku.
"Lea tengah minum susu," jawabnya.
Aku mengangguk dan tersenyum kepadanya. Aku tercari-cari kunci. Kemudian aku terlihat kepingan coklat yang ada di dalamnya. Ah! Kalau aku bagi pada mereka tentu daddynya fikir aku mahu beli jiwa anak-anaknya. Paling teruk, aku dituduh mahu berbaik-baik dengan mereka.
Enggan menimbulkan sebarang masalah lagi, lebih baik aku makan sendiri!
"Yaya pergi masuk dalam okey. Teman Lea tengok tv. Auntie nak mandi, nak rehat," pujukku penuh lemah lembut.
"Yaya nak datang rumah auntie," ujarnya.
Aku tersentak buat kali kedua dengan permintaan si comel itu. Aku jadi serba-salah. Kunci rumah sudah berada dalam tangan. Hanya menanti untuk dibuka.
"Daddy bagi ke? Daddy dah marah auntie sebab bawa Yaya tidur malam tadi," pujukku.
"Daddy tak marah," katanya sungguh-sungguh. "Daddy!" Laungnya tiba-tiba membuatkan jiwaku gundah.
Ketika aku melihat Yaya menoleh mencari daddynya, mataku tertancap ke arah lelaki itu. Di tangannya sedang memegang sebiji pinggan.
Kami saling terpaku seketika. Namun wajahnya mencuka tatkala Yaya meminta izin mahu mengikutku ke rumah.
Sebelum dia menjawab, aku pantas memujuk Yaya dengan suara separuh merayu.
"Auntie nak solat, nak makan ubat, nak rehat, lepas tu auntie nak tidur. Yaya masuk dalam dulu. Esok-esok Yaya dengan Lea boleh datang rumah auntie main dengan nenek ummi."
Pintu gril rumahku sudah terbuka. Aku tidak mahu bertembung dengan daddy Yaya. Tidak mahu lagi berada di situ bersama anaknya. Namun langkahku tetap terhenti bila si kecil bertanya lagi.
"Auntie nak makan ubat? Auntie sakit? Kenapa auntie sakit?"
Aduh budak ni. Aku dah nak masuk ke dalam. Tinggal selangkah dua sahaja.
"Haah, auntie tak sihat."
"Nanti Yaya suruh daddy check auntie. Daddy doktor. Daddy boleh jaga auntie."
Ya ampun!!!
Aku sekadar tersengih meleret.
"Daddy! Auntie sakit. Daddy pergi check auntie," ujar Yaya bergegas berlari masuk ke dalam tanpa berlengah lagi.
Dan inilah masaku untuk melarikan diri dari mereka semua.
Sebaik sahaja pintu terkatup rapat, pantas aku bergegas masuk ke bilik. Aku tidak mahu mendengar suara si kecil melaung memanggilku.
YOU ARE READING
Terima Kasih Cinta
General FictionPertemuan An dengan Yaya dan Lea membawa ke pertelingkahan antara dia dengan Harris Ibrahim. Lelaki sombong dan bongkak itu tidak perlukan pertolongan An untuk menjaga anak-anaknya malah memberi amaran untuk tidak lagi terlalu mengambil berat terhad...