Fikiranku menerawang sepanjang perjalanan pulang ke kediamanku.
Kata-kata Razman. Cinta antara kami adalah cinta pertamaku. Sikap Razman yang romantik, pandai mengambil hati, penyabar, jarang membuatkan diriku terluka dan marah. Malah dia juga bersemangat dan sering menunjuk ajar aku sepanjang kami bersama.
Tetapi dia tidak mampu bertegas dan berjuang akan cinta kami. Disebabkan tegahan dari keluarga yang mahukan dia berkahwin dengan pilihan ibu bapanya, membuatkan dia terlupa siapa diriku. Terus meninggalkan aku. Menghilang dan menyepikan dirinya dariku sehingga aku tidak tahu ke mana mahu mencarinya lagi.
Tidak adakah sekelumit rindu dirinya padaku? Itulah sikap paling pelik dan paling aku tidak mengerti pada lelaki ini. Tidak mahukah dia mahu bertanya khabar dan mengetahui keadaan aku dan keluarga sejak orang tuanya dengan lantang menolak hubungan anaknya dengan aku?
Namun aku bersyukur bila ALLAH membuka segala kebenaran satu persatu di hadapanku. Tentang sikap orang tuanya yang padaku mementingkan status dan harta dan juga tentang sikap sebenarnya Razman yang tidak diketahui olehku.
Lamunanku terhenti bila menyedari ada setitis air mata mengenai tanganku. Aku mengucap panjang. Menggeleng memaki diri!
An, tak penat ke menangis untuk jantan tak guna tu? Berapa banyak lagi air mata nak dikorbankan untuk dia? Cukup-cukuplah. Tak perlu berdrama sangat dengan lelaki macam tu. Kalau dia boleh tinggalkan kau, dan sebarang nekad untuk tinggalkan bakal isteri dia, maknanya dia bukan lelaki yang betul-betul boleh dijadikan suami, pelindung untuk diri kau serta anak-anak dan rumah tangga.
Lupakan dia. Dia sememangnya bukan lelaki yang boleh melindungi aku. Dia lelaki pengecut.
Itu suara hatiku yang berkata-kata.
Cinta, sayang, tiada lagi untuk dirinya. Semua itu dalam peti yang telah ku kunci mati. Aku sedar dalam keadaan umur yang makin meningkat, ia menjadikan aku lebih waras dan lebih berhati-hati untuk memilih lelaki yang boleh dijadikan teman hidup. Hidup berumah tangga bukan selalu bahagia dan gembira. Pasti ada perselisihan faham, rintangan dan dugaan yang mengundang kekecewaan dan kelukaan. Jika kita kuat menghadapinya, maka kuatlah ikatan sesebuah rumah tangga. Jika sebaliknya, cinta mampu hancur dalam sekelip mata seperti mana yang dia sendiri tunjukkan padaku. Dan aku amat bersyukur dalam waktu ALLAH mendatangi dugaan untuk kami, aku dengannya belum ada ikatan sah.
Sebaik sahaja tiba di parkir kereta bawah kondo kediamanku, aku terus meluru masuk ke lif untuk ke tingkat 8. Berselisih dengan salah seorang penginap di sini, aku enggan bertukar senyuman. Jauh sekali untuk menyapa seperti biasanya. Malah tidak sedikit pun mengangkat wajah melemparkan senyuman.
Suasana hening di sekelilingku. Aku harap sebaik sahaja aku masuk ke rumah, ummi tidur hendaknya. Supaya dia tidak bertanya apa yang ingin ditanya ketika aku hendak keluar awal tadi. Aku mahu rehat. Aku mahu terus tidur. Kerana perut kembali meragam. Lepas makan ubat nanti, ak betul-betul mahu tidur.
Namun, apa yang aku harapkan adalah sebaliknya.
Sebaik sahaja aku membuka pintu rumah, aku disambut dengan suara Yaya dan Lea dengan penuh keriangan.
"Auntie!" jerit Yaya dan Lea sambil meluru memeluk tubuhku seerat-eratnya. Suasana dipenuhi dengan gelak ketawa mereka berdua.
Aku termangu seketika. Tidak sangka begitu sekali sambutan mereka penuh mesra seolah-olah bertahun tidak jumpa. Namun aku terap tersenyum senang.
Ummi memandangku dengan penuh rasa bersalah.
"Harris baru pergi. Anje tak bertembung ke dengan dia?"
Dalam kekeliruan melihat dua orang adik-beradik itu, aku bagaikan kehilangan kata-kata. Bukan aku tidak pernah jangkakan yang kedua-dua adik beradik ini akan kembali bersama kami, tetapi selepas pertelingkahan kecil antara aku dengan bapa mereka, takkan semudah itu dia kembali meletakkan anak-anaknya di bawah jagaan kami?
YOU ARE READING
Terima Kasih Cinta
General FictionPertemuan An dengan Yaya dan Lea membawa ke pertelingkahan antara dia dengan Harris Ibrahim. Lelaki sombong dan bongkak itu tidak perlukan pertolongan An untuk menjaga anak-anaknya malah memberi amaran untuk tidak lagi terlalu mengambil berat terhad...