Part 10

758 32 11
                                    

"UMMI," panggilku sambil mencapai kunci keretaku di meja kecil.

"Nak ke mana malam-malam macam ni?" tanya ummi bila melihat aku sedang bersiap-siap untuk keluar.

"An nak keluar sekejap jumpa kawan. Nanti dalam pukul 11.00 An balik. Jangan lupa, tutup pintu, kunci semua sebelum tidur." Aku pesan padanya.

"Dah malam ni, An," ujar ummi mengingatkan. Nada suaranya berbaur bimbang.

"Sekejap je. Nanti An balik. Kalau tak keluar hari ni pun, esok dia call lagi cari An."

Ummi memandangku.

"Kalau budak-budak tu datang nak tidur sini macam mana?"

Ah! Hal budak-budak itu lagi. Aku mengeluh.

"Terpulang ummi," desahku, acuh tak acuh.

Enggan melayani ummi tentang hal budak-budak itu lagi, aku bergegas keluar.

Pintu rumah kediaman Encik Harris Ibrahim dan anak-anaknya terkatup rapat. Namun suasana di dalamnya terang-berderang melihat dari tingkap dan alur pintu yang kelihatan cerah.

Apakah hari ini dia tidak bekerja? Atau shif malam lagi? Entahlah.

Stop it An! Tak penting pun nak fikirkan lelaki tu dengan anak-anaknya. Jangan jadikan orang luar tu beban hidup kau pulak!

Ya, hentikan semua ini. Mereka tiada kena-mengena denganku. Hanya kerana mereka tumpang berteduh semalaman di rumah, bukan jadi tanggungjawab kau untuk jaga mereka.

Aku tiba di Cafe Delicosa awal lima minit dari yang dijanjikan.

Sebaik sahaja aku melangkah masuk di kawasan yang suram-suram cahaya, aku ternampak kelibat Razman di satu sudut. Dia seorang diri, mengamati telefon bimbitnya penuh khusyuk.

Aku memberi salam, sekadar menyapa dari keasyikan dirinya itu.

Dia tersenyum sambil menyambut salamku dengan penuh mesra.

"Dah lama sampai?" tanyaku.

"Baru. Ada dalam lima minit. Senang dapat parking tadi?"

Aku mengangguk sahaja.

"You nak makan? Minum?" tanya Razman sambil matanya memandang ke arah menu di hadapan kami berdua.

"Minum cukup," ujarku ringkas.

Dia mengangguk sahaja.

"You masih dengan lemon tea you?"

Aku tersenyum kecil. Dia tahu, dan masih mengingatinya.

Lantas aku mengangguk.

"How are you?" tanya dia memulakan mukadimahnya denganku.

Sejak beberapa minggu lalu bertemu dengannya, ternyata terlalu banyak yang perlu kami bualkan. Terlalu banyak yang kami perlu tahu. Walaupun dia sudah tiada kepentingannya lagi dalam hidupku. Cuma seperkara tentang Razman sekarang jika dibandingkan dengan dulu, karisma kelakiannya terserlah. Dia nampak lebih matang, lebih relaks dan lebih terkawal.

"Macam yang you jumpa I dua minggu lepas. Macam tu I sekarang. Kenapa? I macam tak sihat ke?" Aku berseloroh.

Dia tersenyum. Kenapa senyumannya kelihatan kelat. Bagaikan tidak ikhlas untuk senyum padaku.

"I want you back, An."

Itu ayatnya. Ayat yang hendak diperkatakan kepadaku dari mula.

Aku sekadar tatap wajahnya dengan pandangan kosong. Kenapa aku tidak terkejut langsung dengan kata-katanya.

Terima Kasih Cinta Where stories live. Discover now