Aku terjaga bila azan Isyak berkumandang.
Tertidur juga aku rupanya walaupun aku cuba menahan mata yang mengantuk ini sebaik sahaja menunaikan solat Maghrib.
"Ummi?" panggilku ketika melangkah keluar dari bilik.
Tercari-cari gerangan orang tua itu. Ingin tahu apa yang sedang dimasaknya bila haruman masakan begitu semerbak sekali.
"Eh, bila balik? Ummi tak dengar pun An sampai? Dah lama ke balik?" Dia bertanyaku sambil matanya mengamati diriku dari atas ke bawah, dan kembali ke atas semula.
"An balik pukul 5.00 macam tu. Saja balik awal. Perut tak sedap. Badan letih lain macam."
"Perut sakit? Makan tak?"
Aku mengangguk sahaja sambil menjeling ke dalam periuk. Lauk ayam masak beriyani. Berserta ulam-ulaman sahaja di atas meja.
"Nak makan? Ummi masak sedap hari ni."
Aku segera menanggalkan telekungku dan mengangguk.
"Lapar."
Ummi tersenyum.
"Hmm..... duduklah. Ummi ambil nasi. Makan lebih sikit malam ni. Lepas tu, solat Isyak, makan ubat, terus tidur."
Aku mengeluh perlahan mendengar arahannya sambil membantunya mengisi air kosong ke dalam gelas. Dan sekelip mata kami mula menikmati hidangan makan malam.
"Entah macam mana agaknya budak-budak dua orang tu ya? Daddy dia pergi kerja malam ni, tentu tak ada siapa yang jaga."
Ummi membuka topik perbualan di meja makan.
"Pandai-pandailah dia uruskan. Kita jangan ambil berat sangat ummi. Anak orang. Bukan anak kita, ujarku bersahaja.
Namun hakikatnya, seharian fikiranku tidak mampu berhenti dari memikirkan kebajikan kedua-dua anak itu. Aku mula suka mereka berdua. Aku mula sayang pada Yaya dan adiknya Lea. Bagaimana diri mereka? Bagaimana malam ini nanti? Bagaimana juga dengan hari-hari seterusnya?
Namun setiapkali memikirkan sikap sombong dan lepas tangan bapanya, aku jadi marah. Jadi benci. Dan tak semena-mena kedua-dua anak yang tak bersalah turut terpalit sama.
Tapi aku juga sedar, aku tidak berlaku adil pada anak-anak kecil itu yang bagaikan mengharap aku sebagai tempat mereka mencari perlindungan seketika dalam ketiadaan bapa mereka ke tempat kerja.
"Ummi pelik betul tengok bapak dia boleh biarkan anak-anak dia tidur dalam rumah tanpa orang tua," keluh ummi sambil menggeleng-geleng. "Dari siang tadi sampai sekarang ummi tak boleh nak percaya ada juga bapak sanggup biarkan anak macam tu."
"Ramai lagi lelaki perangai macam tu. Bukan dia je," balasku.
"Tapi ummi kesian betul dengan budak-budak tu. Bapak sia sibuk, takkanlah anak jadi mangsa? Itu tanggungjawab dia untuk jaga keselamatan anak-anak dia. Bukan dibiar-biarkan macam tu."
"Mangsa tak mangsa. Itu anak-anak dia. Pandai- pandailah dia uruskan."
"Takkan tak ada orang tua yang boleh jaga budak-budak tu? Susah-susah sangat hantar je anak-anak ke kampung." Terkumat-kamit bibir ummi mencemuh sikap lelaki yang tidak bertanggungjawab itu.
Ya, sesiapa sahaja akan mencemuh. Sesiapa sahaja akan timbul rasa marah dengan sikap seorang bapa yang seolah-olah lepas tangan dari bertanggungjawab menjaga anak-anaknya yang kecil itu.
"Dia dah fikirlah kot. Adalah masalahnya. Dahlah ummi, tak payah cakap lagi pasal hal orang. Budak-budak tu ada bapak dia. Kalau betul bapak dia kerja doktor, boleh je angkut anak-anak dia ke hospital. Macamlah hospital tu tak boleh nak sediakan satu bilik untuk anak-anak dia."
YOU ARE READING
Terima Kasih Cinta
General FictionPertemuan An dengan Yaya dan Lea membawa ke pertelingkahan antara dia dengan Harris Ibrahim. Lelaki sombong dan bongkak itu tidak perlukan pertolongan An untuk menjaga anak-anaknya malah memberi amaran untuk tidak lagi terlalu mengambil berat terhad...