Perjalanan kerjayaku sepanjang minggu itu sibuk seperti biasa. Menuntut masaku untuk berada di tapak-tapak pembinaan, di bangunan-bangunan lama yang bakal dibina semula dengan reka bentuk yang diubahsuai semula agar kelihatan lebih moden. Sesuai dengan reka bentuk zaman kini.Namun padaku, mereka bentuk semula bangunan-bangunan lama adalah lebih merumitkan dari membina sebuah bangunan baru dari tapaknya. Kerja-kerja lebih tersusun dan teratur. Segala kesulitan dan masalah, dapat dijangkakan dan lebih pantas diatasi. Tidak pada sebuah bangunan lama, penyesuaian dan mereka bentuk semula banyak terganggu dengan pendawaian yang kadangkalanya tidak terdapat dalam rekaan asal. Malah kertas kerja pembinaan dari zaman 70an arau 60an lagi, ada yang tidak lengkap.
Itu yang menyukarkan kami.
Tatkala aku sibuk dengan kerja-kerja di pejabat, aku lupa dengan masalah peribadiku. Aku terlupakan Razman. Aku tidak ingat tentang Yaya dan Lea kerana sejak kebelakangan ini Harris yang menguruskan anak-anaknya. Sehingga satu malam ummi datang bertanya tentang mereka berdua padaku.
"Apa kata mama dengan papa? Dia orang kasi tak kalau ummi jaga anak-anak tu?"
Alamak! Aku terlupa!
"An belum tanya lagi."
"Lah.... kenapa tak tanya? Bila-bila masa je nanti Harris kerja malam."
Aku terdiam. Ya, terasa lama tidak bertemu anak-anak itu. Botol susu Lea ada di sini. Begitu juga dengan bantal peluk Yaya di katilku.
Esok hari Sabtu. Mungkin lebih elok kalau aku bawa ummi ke rumah orang tuaku dan dia sendiri yang bertanyakannya dari mama dan papa.
"Esok tengah hari kita balik sekejap rumah papa? Ummi tanya sendirilah dengan papa?"
"Eloklah sangatlah tu. Ummi pun dah lama tak jumpa papa dengan mama Anje."
Aku segera hubungi mama dan memberitahu kedatangan kami ke rumahnya esok.
YOU ARE READING
Terima Kasih Cinta
General FictionPertemuan An dengan Yaya dan Lea membawa ke pertelingkahan antara dia dengan Harris Ibrahim. Lelaki sombong dan bongkak itu tidak perlukan pertolongan An untuk menjaga anak-anaknya malah memberi amaran untuk tidak lagi terlalu mengambil berat terhad...